Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KURNIA@WGS mula khidmat mulai 1 Dis

Hab pertubuhan Melayu/Islam sasar hulur bantuan lebih lancar dan tersusun kepada masyarakat | Maliki mahu Wisma Geylang Serai juga jadi hab bagi raikan budaya dan 'ruang cipta sejarah baru'
Nov 03, 2018 | 05:30 AM



HAB pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di Wisma Geylang Serai (WGS) yang merangkumi lapan badan Melayu/Islam bakal dilancarkan secara rasmi pada hujung bulan ini.



Hab tersebut, yang diberi nama KURNIA@WGS, akan mula menawarkan khidmat kepada orang ramai mulai 1 Disember.



KURNIA merupakan akronim bagi Khidmat Untuk Rakyat: Nadi, Inspirasi & Aspirasi, dan bertujuan menyampaikan khidmat lebih lancar dan tersusun kepada masyarakat.



Hab inklusif itu juga akan memenuhi kepelbagaian keperluan masyarakat dan menjadi pusat sehenti bagi khidmat sepadu yang disesuaikan daripada pelbagai MMO demi memperbaiki kehidupan penduduk.



Lapan badan yang bakal menawarkan khidmat di bawah hab tersebut ialah Angkatan Karyawan Islam (AMP), Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Muhammadiyah, Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Berita Harian sebagai rakan media hab tersebut.



Memberikan maklumat terbaru WGS dalam satu sidang media kelmarin, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata beliau berharap lebih banyak kerjasama antara badan dapat dilaksanakan demi memenuhi keperluan masyarakat.



"Hab ini berfungsi sebagai pusat sehenti dengan orang ramai tidak perlu bergerak ke sana sini untuk mendapatkan khidmat, dan akan terus diarahkan kepada badan-badan yang relevan. Ia akan mewujudkan khidmat bersepadu yang dibentuk khas demi manfaat masyarakat," katanya.



Selain itu, Hab M Kuasa Tiga (M3), yang merangkumi merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), terletak dalam bangunan yang sama dan diharapkan dapat turut bekerjasama dengan KURNIA@ WGS untuk mewujudkan program-program demi manfaat masyarakat.



Dr Maliki turut menambah bahawa, kededua hab tersebut juga boleh bekerjasama dengan khidmat lain yang disediakan di WGS, seperti pusat khidmat keluarga, pusat penjagaan kanak-kanak, serta pusat penjagaan warga tua yang kebanyakannya mula beroperasi Disember tahun ini.



Khidmat yang ditawarkan hab tersebut tidak terhad kepada bantuan sosial, ia juga mempunyai matlamat untuk menyemarakkan lagi seni, budaya dan warisan.



Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang-ruang seni dan galeri yang dikendalikan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Nasional (NHB) dan Yayasan Warisan Melayu.



WGS juga bakal mewujudkan Sekolah Studio Media yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk mempelajari dan meneroka pelbagai aspek media baru melalui bengkel-bengkel serta program yang diadakan.



"Kami ingin menjadikan WGS ruang untuk meraikan budaya, memberikannya ruang untuk diperbaharui. Ini diharapkan dapat menghidupkan bangunan WGS, bukan hanya untuk memaparkan sejarah Melayu tetapi juga sebagai ruang mencipta sejarah baru," ujar Dr Maliki.



Selaras dengan misi tersebut, WGS bakal menganjurkan festival muzik belia pertamanya Gala-Laga pada 10 November, yang memaparkan gabungan genre music lama dan baru, dari gamelan sehingga rentak rap.



Menurut Dr Maliki lagi, festival tersebut merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk menekankan peranan WGS sebagai pusat budaya utama.



WGS, yang telah mula dibuka secara berperingkat sekitar empat bulan lalu, akan dibuka secara rasmi dan beroperasi sepenuhnya pada 26 Januari tahun depan. Pelancaran tersebut juga akan dihadiri tetamu terhormat Perdana Menteri Lee Hsien Loong.



Antara niaga yang bakal bertempat di WGS termasuk kedai gaya hidup seperti Fatimah Mohsin dan Toko Warisan Trading serta restoren seperti Marrybrown.



WGS juga kini dalam peringkat percubaan untuk menerapkan penggunaan teknologi terkini termasuk robot berautonomi yang mampu mengawasi keselamatan bangunan lima tingkat tersebut.



Menurut Dr Maliki, kegunaan robot yang dibentuk dengan keperluan WGS itu bakal meningkatkan produktiviti sambil membolehkan pengawasan bangunan tersebut.



LAPORAN LANJUT: 'Gala-Laga' tampilkan bakat muda




SEKILAS WGS



KHIDMAT:



-Hab MMO, KURNIA@WGS yang merangkumi lapan badan Melayu/Islam. Khidmat terbahagi kepada dua kategori, bantuan sosial serta seni dan media



- Hab M3 yang merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra)



- Pusat khidmat keluarga, pusat penjagaan kanak-kanak, serta pusat penjagaan warga tua



- Ruang seni dan galeri yang dikendalikan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Nasional (NHB) dan Yayasan Warisan Melayu



- Sekolah Studio Media yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk mempelajari dan meneroka pelbagai aspek media baru



KEDAI-KEDAI GAYA HIDUP:



- Fatimah Mohsin



- Toko Warisan Trading



- Swett Rose Couture



- Dwiz Pte Ltd



FESYEN:



- A'niz



- Anaqi Enterprise



- Lee & Begum



KEDAI MAKAN:



- Marrybrown



- Saap Saap Thai



- Kaffe & Toast



Sekilas:



WGS akan dirasmikan dalam sambutan tiga hari pada 25,26,27 Januari tahun depan. Pelancaran rasmi pada 26 Januari akan dihadiri Perdana Menteri Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >