Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Langkah ke sekolah menengah berkat program pengayaan Children's Wishing Well

Jun 10, 2019 | 07:00 AM



TATKALA menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun lalu, Fitri Amani Suhaini rasa begitu terkejut sekali.



Hanya beberapa bulan lalu, Fitri dan ibu bapanya tiada keyakinan pelajar berusia 13 tahun itu akan lulus dan melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah.



"Ibu bapa saya tak yakin saya akan lulus dan pergi sekolah menengah sebab saya selalu bermain di rumah dan tidak belajar atau sentuh buku langsung untuk ulang kaji pelajaran.



"Tapi, saya berjaya dapat (agregat) 122. Saya rasa terkejut," katanya, yang dahulu belajar di Sekolah Rendah New Town.



Kejayaan Fitri itu dapat dikecapi setelah dia menyertai Program Pengayaan Kanak-Kanak (CEP) Children's Wishing Well (CWW).



Program kendalian badan tidak meraih keuntungan itu membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik memperkukuh asas akademik mereka menerusi kelas tuisyen percuma yang diadakan di pusat mereka di Clementi Avenue 2.



Selain itu, pelajar dapat meraih kemahiran hidup dan sukan, menyertai kursus teknologi maklumat (IT) dan etika sosial, dan kembara pembelajaran di luar bilik darjah.



Program itu mendapat pembiayaan $3.8 juta buat tiga tahun hingga 2021 daripada Tote Board.



Fitri berkata dia menyertai program itu kerana mendapati kegiatan yang dijalankan menarik. Dia mendapat tahu tentang program itu tahun lalu daripada ibu bapanya.



Tambahnya, program itu telah membantu dia dalam subjek Matematik.



"Dulu, gred saya teruk. Saya gagal dalam peperiksaan. Saya pelajar yang dapat markah paling rendah dalam kelas. Markah saya cuma satu angka saja.



"Tetapi selepas saya ikuti kelas di sini dan guru membantu dengan menjelaskan soalan, saya dapat perbaiki markah sedikit demi sedikit. Daripada markah satu angka jadi markah dua angka," katanya, yang juga merupakan penerima skim bantuan kewangan Kementerian Pendidikan (MOE).



Selain kelas tuisyen itu, Fitri juga berpeluang menyertai kelas kraf tangan, seperti origami dan menggunakan barang yang dikitar semula untuk membuat kraf, dan kelas muzik untuk belajar bermain alat muzik seperti ukulele.



Dia juga dapat mengikuti lawatan ke pusat tarikan, seperti KidZania Singapore dan Universal Studios Singapore di Sentosa, dan Gardens by the Bay.



Walaupun sudah berpindah dan tidak lagi tinggal di Clementi, Fitri tetap kerap datang kembali ke pusat CWW.



"Cita-cita saya sebenarnya nak datang sini untuk tolong (pelajar lain) dan jadi anggota mereka sebab mereka dah banyak tolong saya dan saya nak balas jasa mereka," katanya.



Seorang lagi pelajar yang menyertai CEP itu tahun lalu ialah Nur Syazalia Muhammad Syahzalif.



Meskipun sudah menghadiri kelas tuisyen di luar bagi membantu dalam subjek Inggeris dan Matematik, Syazalia berkata dia tidak melihat sebarang peningkatan dalam markahnya sehingga dia menyertai program itu.



"Saya biasanya dapat markah satu angka dalam peperiksaan. Tapi selepas dapat bantuan di sini, saya dapat markah 50 ke atas. Untuk PSLE, saya dapat agregat 149 dan saya dapat gred C untuk Matematik. Saya tak sangka boleh dapat markah itu," katanya.



Sebagai sebahagian program itu, Syazalia berpeluang mereka tari untuk satu persembahan tarian Melayu di Istana tahun lalu.



Syazalia menganggap pusat CWW itu sebagai rumah keduanya dan sehingga hari ini terus mengunjungi pusat itu untuk meluangkan masa berbakti di sana.



"Saya suka dengan tempat ini, kegiatan yang diadakan dan guru-guru di sini. Saya datang kembali di sini untuk membantu pelajar lain yang bakal menduduki PSLE tahun ini," katanya.





LEBIH 100 KANAK-KANAK RAIH MANFAAT SEJAK 2017 





BADAN tidak meraih keuntungan yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, Children's Wishing Well (CWW), telah berjaya mendekati lebih 100 kanak-kanak menerusi program pengayaan menyeluruhnya sejak ia dimulakan pada 2017.



Malah, mereka menyasar mendekati seramai 500 pelajar menjelang 2021.



Di bawah Program Pengayaan Kanak-Kanak (CEP) itu, pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah boleh mendapatkan bantuan dalam pelajaran dan memperkukuh asas akademik mereka serta menyertai kegiatan pengayaan lain secara percuma.



Selain itu, program menyeluruh selepas sekolah itu melengkapi kanak-kanak dengan kemahiran hidup dan sukan, seperti pertuturan dan drama, kursus teknologi maklumat (IT) dan etika sosial, dan kembara pembelajaran di luar bilik darjah untuk meraih pengetahuan.



Program itu mendapat pembiayaan $3.8 juta buat tiga tahun hingga 2021 daripada Tote Board.



Jurucakap Tote Board berkata pihaknya percaya bahawa mobiliti sosial yang lebih luas bermula dengan menyediakan peluang pembelajaran yang sama untuk kanak-kanak daripada latar belakang keluarga yang kurang mampu.



Ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai peluang yang sama dalam kehidupan berbanding rakan-rakan mereka.



"CEP membantu menjadikan keadaan adil bagi semua dengan membina asas akademik kanak-kanak dan memperkukuh aspek pembangunan yang lain, seperti kreativiti, nilai-nilai dan keyakinan diri," kata jurucakap itu.



Demi menjayakan program itu, CWW, yang pusatnya terletak di Clementi Avenue 2, bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan dan rakan masyarakat.



Misalnya, mereka bekerjasama dengan guru tuisyen yang berkelayakan dan bekas guru sekolah untuk mengadakan kelas pelajaran bagi subjek seperti bahasa Inggeris, matematik, sukan, pertuturan dan drama, dan seni.



Relawan pelajar daripada sekolah menengah yang berdekatan dan institusi pengajian tinggi juga akan membimbing kanak-kanak yang memerlukan lebih banyak sokongan akademik di luar kelas standard yang diadakan di pusat itu.



Semasa program itu dirintis pada 2017, CWW telah mendekati sekolah di sekitar kawasan Clementi untuk mengenal pasti pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan. Tahun ini, mereka berharap dapat bekerjasama dengan satu lagi sekolah baru dan empat sekolah baru pada 2021.



Pengurus (Program Kanak-Kanak) di CWW, Cik Nur Hanisah Hamid, berkata pihaknya menyediakan pelbagai khidmat kepada lebih 1,000 benefisiari setiap tahun.



Ini termasuk khidmat yang menyokong keperluan pendidikan dan kehidupan seharian serta kemahiran untuk masa depan.



"Kami berharap bukan hanya untuk membina asas yang kukuh bagi mereka menyumbang kembali sebagai anggota masyarakat yang berguna dan keluar daripada lingkaran kemiskinan, malah juga bagi mereka berkembang sebagai individu yang mempunyai moral dan perwatakan yang baik," kata beliau.



*Rencana ini dibawakan oleh Tote Board



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >