Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Langkah selamat dikekal, vaksinasi dan ujian kerap ditingkat

Sep 04, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA akan mengekalkan langkah pengurusan selamat sedia ada, sambil terus meningkatkan usaha memberi vaksin dan kerap menjalankan ujian untuk mengawal situasi terkini Covid-19.



Ini bermakna pemerintah tidak akan mengarahkan sekatan lebih ketat walaupun bilangan kes Covid-19 harian dilaporkan tinggi dan tidak akan membuat kelonggaran baru, kata Menteri Kewangan Encik Lawrence Wong di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) semalam.



Sementara itu, Singapura akan meningkatkan usahanya untuk menjalankan ujian secara kerap di kalangan individu dan pekerja sebagai norma baru bagi membolehkan kes dikesan dengan lebih awal dan lebih cepat supaya penyebaran dapat dikekang.



Encik Wong berkata, peningkatan dalam kes jangkitan yang dilihat baru-baru ini bukan sesuatu yang tidak dijangkakan kerana ia berlaku ekoran penyambungan semula kegiatan dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini.



"Sebelum ini, apabila kita berdepan dengan kes harian yang sebegitu tinggi, kita akan melihat kepada langkah-langkah seperti kewaspadaan dipertingkat atau pun pemutus rantaian jangkitan untuk mengawal jangkitan.



"Tetapi kita kini dalam fasa baru, di mana kita mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi untuk melindungi warga Singapura. Dan kini kita beralih ke fasa hidup dengan Covid-19 dan menjadi berdaya tahan terhadap Covid-19, jadi kami menilaikan bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan sekatan lebih ketat.



"Malah kami hanya akan kembali ke keadaan (kewaspadaan) dipertingkat sedemikian sebagai pilihan terakhir untuk mengelakkan sistem hospital daripada terlalu dibebani," kata Encik Wong.



Pada masa sama, beliau berkata tiada langkah pembukaan baru akan dibuat setakat ini, bagi mengambil sedikit masa untuk memantau keadaan kerana terdapat renggangan masa antara berlakunya jangkitan dengan penyakit serius.



Pemerintah juga mahu membolehkan berapa usaha perintis seperti perjalanan ke luar negara bagi orang yang divaksin berlangsung untuk beberapa hari dan minggu, sebelum menimbangkan langkah lanjut.



Ujian dan penjejakan kontak akan diteruskan supaya dapat memperlahankan penularan selain mengelakkan lonjakan kes yang tidak terkawal hingga boleh membebani sistem hospital di sini, kata Encik Wong.



Pemerintah juga akan menggandakan usaha menjadikan ujian kerap sebagai sebahagian daripada kebiasaan baru.



Encik Wong berkata, pemerintah telah mewajibkan ujian rutin berjadual ke atas pekerja dalam sekitaran berisiko tinggi, tetapi ujian akan digalakkan ke atas semua orang, sama ada telah divaksin atau tidak serta penggunaan kit ujian pantas antigen (ART) sebagai satu tanggungjawab sosial.



"Kami mahu menggalak semua orang untuk pertimbangkan kesediaan melakukan ujian secara kerap terutama sekali jika mereka mengambil bahagian dalam kegiatan berisiko tinggi atau menghadiri acara berskala besar bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang virus," kata Encik Wong.



Beliau menambah, majikan juga boleh memainkan peranan menjadikan ujian kerap di tempat kerja sebagai satu norma.



Ini akan membolehkan kes dikesan awal, mengurangkan penyebaran di tempat kerja dan mengelakkan kelompok besar di tempat kerja terbentuk sedang lebih ramai orang kembali ke lokasi kerja.



Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya berkata, warga Singapura boleh menggunakan kit ART yang kini diagihkan kepada semua isi rumah.



Mereka juga boleh membeli kit uji ART di banyak kedai dan wadah e-dagang.



Orang ramai juga boleh membuat janji temu bagi ujian pantas dan mudah (FET) yang dibiayai sendiri di 20 Pusat Ujian Cepat (QTC) mulai 1 Oktober ini.



Ini boleh dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan pekerjaan atau bagi orang yang belum divaksin untuk menghadiri acara besar-besaran.




"...kita kini dalam fasa baru, di mana kita mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi untuk melindungi warga Singapura. Dan kini kita beralih ke fasa hidup dengan Covid-19 dan menjadi berdaya tahan terhadap Covid-19, jadi kami menilai bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan sekatan lebih ketat."
- Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >