Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lari dengan teman berkeperluan khas sambil beri dorongan

Aug 06, 2023 | 05:30 AM



Hampir setiap minggu, Cik Sarah Nahar Azmi menemani seorang teman bersenam bersama.

Namun, teman ini bukan sembarang teman.

Teman beliau itu merupakan individu berkeperluan khas dengan Cik Sarah memberi sokongan untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.

Cik Sarah, 20 tahun, merupakan seorang pembimbing di bawah Runninghour, sebuah inisiatif sukan inklusif yang menggalak penyepaduan individu dengan keperluan khas melalui sukan.

Antara kegiatan yang diadakan termasuk larian, yoga dan kelas olahraga cergas.

Sebagai pembimbing, beliau dipadankan dengan individu berkeperluan khas, seperti mereka yang cacat penglihatan atau pendengaran dan mereka yang kurang upaya dari segi intelektual, untuk bersenam bersama dan memberi sokongan kepada mereka.

“Saya dapat tahu tentang inisiatif Runninghour melalui catatan Facebook yang dimuat naik guru sekolah menengah saya. Beliau berkongsi tentang kegiatan yang mereka lakukan dan dari situ, mula timbul minat untuk saya menyertainya,” kongsi beliau.

“Semasa baru menyertainya, saya melalui sesi pengenalan untuk mengenali jenis kurang keupayaan yang berbeza dan juga berpeluang mengikuti seorang pembimbing berpengalaman untuk melihat bagaimana beliau membantu individu berkeperluan khas itu.

“Setelah itu, barulah saya dipadankan dengan seorang ‘teman’,” tambahnya.

Antara teman beliau ialah Cik Siew Ling, seorang individu yang cacat penglihatan dan juga pendengaran.

Cik Sarah berkomunikasi dengan beliau melalui abjad khusus untuk mereka yang cacat penglihatan dan pendengaran secara sentuhan ataupun melalui satu alat istimewa.

Alat itu dihubungkan ke telefon bimbit Cik Siew Ling melalui bluetooth. Setiap kali beliau menerima mesej di telefon, perkataan dalam mesej tersebut akan diubah menjadi braille dan muncul pada alat itu.

“Peranan sebagai pembimbing ini lebih kepada memberi sokongan dan kata-kata dorongan agar mereka tahu ada orang di sisi mereka dan mereka rasa sebahagian daripada masyarakat.

“Selain itu, dengan adanya pembimbing, mereka tidak akan sesat atau terus berlari melebihi masa atau di luar tempat yang ditetapkan. Jadi ini juga demi keselamatan mereka,” kata beliau.

Cik Sarah berkata terdapat salah faham yang sering berlaku dalam masyarakat, dengan orang ramai biasanya melayani individu kurang upaya atau berkeperluan khas seolah-olah mereka anak kecil atau bayi yang tidak dapat memahami pertuturan atau perbuatan.

Sebaliknya, Cik Sarah menekankan bahawa tidak ada keperluan melayani mereka dengan cara demikian kerana “mereka juga seperti orang biasa, dan dapat memahami kita dengan baik, namun mungkin cara mereka memberi respons itu berlainan”.

“Contohnya, saya pernah menjadi teman kepada individu yang mengalami spektrum autisme. Semasa kelas olahraga cergas, saya akan bertanya kepadanya sama ada dia tahu apa yang perlu dilakukan.

“Namun, dia beritahu saya agar jangan bimbang kerana dia tahu bagaimana melakukan senaman yang ditunjukkan. Pada awalnya, saya ingatkan saya perlu ‘sayang’ dia lebih tetapi sebenarnya teman ini dapat memahami sepenuhnya apa yang perlu dilakukan.

“Jadi perspektif kita perlu berubah kerana mereka juga boleh hidup berdikari. Cara dan nada suara kita juga perlu diubah, kita boleh bercakap dengan mereka seperti biasa dan mereka dapat fahami kita seperti biasa,” kata beliau, yang akan melanjutkan pengajiannya dalam jurusan pendidikan di Universiti College London tidak lama lagi.

Cik Sarah berkata Singapura telah banyak berkembang maju dalam usaha membina sebuah masyarakat yang inklusif, namun masih terdapat lebih banyak ruang yang boleh dipertingkat.

“Mungkin daripada menceritakan tentang kisah individu berkeperluan khas dengan nada simpati, saya rasa adalah lebih baik jika kita dapat tonjolkan kekuatan dan kelebihan mereka.

“Saya rasa jika kita dapat paparkan kepada rakyat Singapura bahawa meskipun jika mereka individu berkeperluan khas, mereka juga hidup seperti biasa dan boleh mengecapi pelbagai pencapaian.

“Dengan ini, saya rasa ia juga akan menggalak lebih ramai orang untuk tampil sebagai sukarelawan untuk mengenali dan melakukan kegiatan bersama individu berkeperluan khas dalam masyarakat,” kata Cik Sarah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >