Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERJUANGAN MENENTANG COVID-19 BELUM SELESAI

Lega tapi perlu terus waspada

Singapura melangkah masuk ke Fasa Ketiga esok dengan beberapa pelonggaran sekatan Covid-19 dibuat. BERITA MINGGU mendapatkan pandangan pakar kesihatan dan pemimpin masyarakat menyusuli pengumuman ini dan nasihat mereka kepada masyarakat.
Dec 27, 2020 | 05:30 AM



SINGAPURA telah mengharungi satu perjalanan yang panjang dan sukar untuk akhirnya dapat beralih masuk ke Fasa Ketiga yang dinanti-nantikan.



Peralihan ini tidak dapat dikecapi tanpa usaha gigih yang diletakkan dari pelbagai pihak untuk menangani wabak koronavirus daripada menular dalam masyarakat.



Sejak kes pertama Covid-19 dikenal pasti pada 23 Januari lalu, banyak yang telah dilalui negara ini.



Antara kejadian penting yang berlaku di Singapura sepanjang tempoh ini termasuk pengisytiharan Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) yang ditingkatkan daripada kuning ke jingga setelah beberapa kes setempat dilaporkan tanpa kaitan; pengumuman pemutus rantaian jangkitan yang berlangsung dari 7 April hingga 4 Mei sebelum dilanjutkan lagi hingga 1 Jun serta kes penularan di dormitori pekerja asing, yang turut menyaksikan bilangan kes dalam masyarakat melonjak ke paras tertinggi pada April lalu.



Ini disusuli pula dengan penutupan semua masjid di Singapura.



Dengan tujuan yang sama, rakyat Singapura berjaya memberikan kerjasama untuk memastikan kadar jangkitan kekal rendah sejak beberapa minggu yang lalu, sekali gus membolehkan pembukaan semula Fasa Ketiga esok, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini.



Encik Lee berkata ia mungkin dilaksanakan untuk jangka masa yang agak lama, kemungkinan setahun atau lebih.



Meskipun ini merupakan langkah penting dalam usaha negara ini mengekang penularan virus tersebut, beberapa pakar dan pemimpin masyarakat yang dihubungi Berita Minggu (BM) memberi amaran bahawa perjuangan masih belum selesai.



Anggota Parlimen (AP) GRC Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata peralihan ke Fasa Ketiga disambut baik kerana ia menandakan satu harapan.



"Harapan bukan untuk kembali ke keadaan sedia kala seperti sebelum Covid, tetapi sekurang-kurangnya jalan menuju pemulihan negara ini," ujarnya sambil mengingatkan virus tersebut tidak mengenal masa, usia ataupun kaum untuk menyerang.



Namun begitu, beliau juga menegaskan bahawa pengumuman tentang pembukaan Fasa Ketiga serta ketibaan stok vaksin yang pertama, tidak bererti risiko berjaya ditangani sepenuhnya.



"Semestinya, ramai yang teruja dengan pengumuman Fasa Ketiga yang akan bermula esok. Namun ini tidak bererti kita sebagai sebuah masyarakat telah terselamat atau keluar dari risiko wabak ini.



"Oleh itu, kita harus teruskan usaha membendung wabak ini dan mengambil langkah-langkah yang telah lama kita praktikkan sepanjang beberapa bulan yang lalu.



"Janganlah kita mensia-siakan pengorbanan yang telah kita semua lakukan sejak seawal Mac lalu," kata Encik Zhulkarnain.



Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya berkata dalam Fasa Ketiga, sehingga lapan orang dibenar menghadiri perhimpunan sosial - seperti makan di luar bersama - berbanding lima orang yang dibenarkan pada masa ini.



Sekatan bagi pertubuhan agama, acara perkahwinan, pengebumian dan persembahan secara langsung juga dilonggarkan.



Had kapasiti bagi pusat beli-belah dan kedai kendiri yang besar akan ditambah kerana ruang bagi setiap orang dikurangkan kepada 8 meter persegi daripada 10 meter persegi sekarang.



Tarikan juga boleh mula memohon kepada Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk meningkatkan kapasiti operasi mereka kepada sehingga 65 peratus.



Memandangkan pembukaan semula jatuh pada musim perayaan, masyarakat setempat diingatkan untuk sentiasa mematuhi langkah pengurusan selamat yang ditetapkan.



Minggu lalu, Menteri Pendidikan Encik Lawrence Wong berkata pihak berkuasa akan meningkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di tempat-tempat awam untuk beberapa hujung minggu mendatang ini.



Menurut beliau, lebih ramai Duta Jarak Selamat dan pegawai penguatkuasaan juga akan dikerahkan sepanjang tempoh ini.



Encik Wong, yang juga merupakan pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), mengingatkan rakyat Singapura agar tidak mengambil sikap sambil lewa.



"Saya sekali lagi ingin mengingatkan dan menggalak orang ramai untuk terus memainkan peranan anda dengan mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang telah ditetapkan," katanya.



"Ini bukan masanya untuk usah ambil mudah perkara ini...dengan memikirkan bahawa Singapura kini selamat dan oleh itu kita mampu melanggar peraturan ini, bersantai dan berseronok dengan mengadakan perjumpaan besar-besaran."



Bersependapat, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Anggota Parlimen (AP) gerakan buruh, Encik Mohd Fahmi Aliman berkata berkumpul dalam kumpulan sehingga lapan orang menjelang fasa ketiga boleh menjejaskan usaha negara ini dalam mengekang Covid-19 dalam kalangan masyarakat.



"Walaupun saya memahami bahawa ramai diantara kita gembira atas pengumuman fasa ketiga, saya menggesa orang ramai untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan yang selamat yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa.



"Saya yakin bahawa rakyat Singapura akan mendahulukan kepentingan umum dan memainkan peranan penting dalam membendung penularan virus ini," katanya.



Konsultan Kanan, Perubatan Geriatrik, Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main, pula berpendapat bahawa jika orang ramai tidak mematuhi peraturan jarak yang selamat di pusat membeli-belah dan makanan serta tempat tarikan, perniagaan di situ mungkin diarah ditutup kerana gagal melaksanakan langkah pengurusan selamat.



"Agak malang jika terdapat kluster jangkitan baru yang muncul disebabkan perhimpunan dengan jumlah hadirin yang besar daripada apa yang dibenarkan," kata Dr Norhisham.



Menyentuh tentang peranan masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang pandemik ini, kedua-dua Encik Zhulkarnain dan Encik Fahmi gembira dengan tahap sokongan dan kerjasama yang telah diberikan.



"Bagi saya, masyarakat Melayu/Islam kita sudah banyak membuat adaptasi dalam segi cara kehidupan, rangkaian sosial dan ibadah kita.



"Ini berlandaskan keputusan dan tindakan oleh kepimpinan di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan agensi pemerintah," ujar Encik Zhulkarnain.



Encik Fahmi menambah walaupun terdapat banyak cabaran dan kesulitan yang ditimbulkan oleh wabak itu, masyarakat berjaya mempamerkan daya ketahanan, sikap bersatu dan kasih sayang antara satu sama lain.



Beliau berkata: "Nilai-nilai luar biasa seperti ini telah ditunjukkan sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan di mana masyarakat Melayu/Islam saling memberi sokongan di tengah-tengah pandemik ini.



"Lebih-lebih lagi, sewaktu sambutan Hari Raya tahun ini, ramai umat Islam di Singapura menyesuaikan diri dengan langkah-langkah yang dilaksanakan dengan menjaga jarak sosial.



"Mereka membuat penyesuaian ini dengan cepat sewaktu mematuhi sekatan Covid-19 yang dilaksanakan pemerintah di sini."



Bagi anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, masyarakat Islam di sini turut menunjukkan kematangan apabila terpaksa mengorbankan cara melaksanakan ibadah yang sudah lazim mereka lakukan.



Beliau yang juga merupakan anggota Kumpulan Kerja Covid-19 Melayu/Islam yang ditubuhkan bagi memberi bimbingan cara menyesuaikan amalan agama semasa pandemik untuk masyarakat, berkata:



"Kesanggupan mereka membuat penyesuaian demi kebaikan masyarakat umum Singapura menunjukkan sikap tanggungjawab serta ihsan masyarakat Islam Singapura terhadap kebajikan umum negara ini. Ia adalah sebahagian daripada identiti keagamaan kita." - Laporan tambahan Natasha Mustafa




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >