SEORANG lelaki tua yang dituduh membunuh rakan serumahnya yang berusia 79 tahun itu muncul di mahkamah pada Isnin (2 September) melalui tayangan video dari Bahagian Polis Pusat.
Pek Kian Huat, atau lebih dikenali sebagai Pak Kiah Huat, 82 tahun, didakwa telah membunuh Cik Lim Soi Moy di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat 21 Blok 191 Lorong 4 Toa Payoh.
Polis menerima panggilan mengenai kes itu pada sekitar 3.40 pagi pada Ahad.
Pegawai polis menemui Cik Lim dalam keadaan tidak bergerak dalam unit itu.
Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Jiran-jiran mangsa memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa Pak dan Cik Lim bukan pasangan suami isteri, tetapi telah menetap di flat yang sama selama lebih daripada 20 tahun.
Mereka menyifatkan Cik Lim sebagai seorang yang peramah, dengan raut wajah yang jauh lebih muda daripada usianya yang sebenar.
Mereka turut mendedahkan bahawa mereka tidak pernah mendengar sebarang pertelingkahan dari unit itu.
Seorang pesarah, Encik Goh Leng Sim, yang tinggal di unit bawah Cik Lim, berkata Cik Lim bekerja di restoran McDonald's di Safra Toa Payoh, dan mempunyai dua anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
ST mengunjungi cawangan McDonald’s tersebut dan mereka mengesahkan bahawa Cik Lim telah bekerja di sana sejak 2013, tetapi telah meletak jawatan beberapa bulan lalu.
Seorang bekas rakan sekerja, yang enggan namanya disebut, berkata kakitangan di restoran itu memanggil Cik Lim "Ah Ma", dan mereka sangat menyukainya.
“Beliau selalu menganggap kami yang lebih muda seperti cucunya sendiri."
Akhbar Lianhe Wanbao melaporkan bahawa pegawai polis telah mengepung rumah mangsa pada pagi Ahad, dan kelihatan mengumpulkan bukti dari dalam unit itu, termasuk barangan peribadi seperti bantal dan sarung bantal.
Jejak tapak kaki yang berdarah boleh dilihat di dalam unit itu, serta terdapat juga titisan darah di luar unit tersebut.
Dua lelaki dilihat memasuki flat itu tetapi enggan bercakap dengan wartawan.
Kes Pak ditangguhkan sehingga 9 September.
Jika disabit kesalahan membunuh, Pak akan menghadapi hukuman mati.