SETAHUN selepas teman wanitanya meninggal dunia dalam kemalangan, seorang lelaki didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman kerana menyebabkan kematiannya akibat perbuatan cuai.
Danial Andika Mohman, 23 tahun, merancang untuk berkahwin dengan Cik Nur Diana Lim, 20 tahun, selepas tamat Perkhidmatan Negara.
Namun dalam kejadian yang malang itu, Cik Lim terbunuh dalam satu kemalangan pada 12 Disember selepas dilanggar sebuah bas.
Danial disaman $6,000 semalam dan dilarang memegang sebarang lesen memandu kerana kecuaiannya menyebabkan kematian Cik Lim.
Mahkamah diberitahu pasangan tersebut sedang menunggang motosikal sepanjang Ekspreswe Rentas-Pulau (PIE) sekitar 10 malam pada 12 Disember tahun lalu. Cik Lim merupakan pembonceng motosikal tersebut.
Dua kenderaan telah bertembung secara tiba-tiba, dan lori di belakang kenderaan tersebut telah menekan brek untuk mengelakkan pertembungan.
Namun, Danial tidak sempat brek dan melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Pasangan tersebut tercampak dari motosikal mereka dan jatuh di jalan raya. Bas yang berada kurang 10 meter di belakang mereka tidak sempat mengelak dan melanggar Cik Lim.
Beliau terpaksa ditarik dari bawah bas tersebut dan dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Cik Diana tiba di hospital pada 11.10 malam namun meninggal dunia 15 minit kemudian akibat kecederaan yang teruk.