SEBUAH letupan kecil berlaku di Bukit Batok West Avenue 8 pagi Selasa (24 Ogos).
Dalam satu video rakaman kamera kereta yang tular di media sosial, letupan kecil itu jelas kelihatan di hadapan tempat letak kereta Blok 439B.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mereka telah menerima panggilan pada 9.10 pagi berkenaan letupan (flash fire) dari sebuah lurang (manhole) di Blok 439 Bukit Batok West.
Tiada kebakaran ataupun sebarang kecederaan yang dilaporkan semasa SCDF tiba di tempat kejadian.
Siasatan awal SCDF menunjukkan bahawa insiden itu berlaku secara kebetulan dan siasatan lanjut kini dijalankan.
Menyentuh tentang kejadian itu dalam satu kiriman di Facebook, Penasihat Akar Umbi Hong Kah North yang juga Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor berkata semasa beliau tiba di tempat kejadian SCDF dan wakil dari agensi lain termasuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan juga PUB turut hadir untuk menyiasat dan memberi bantuan.
“Mujur tiada yang cedera akibat insiden ini. Saya telah meminta agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas semua lurang di sini untuk memeriksa dan memastikan keselamatannya.
“Lurang di mana letupan berlaku merupakan lurang Telco dan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan punca kejadian,” kata Cik Khor.