Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lima teras agar sistem pendidikan S'pura kekal relevan: Chun Sing

Syor warga rebut peluang di sebalik kepelbagaian, saingan lebih besar sedang negara kian terhubung dengan dunia luar
Jan 06, 2023 | 05:30 AM



SINGAPURA perlu mengurus dan merebut peluang sedang ia terus menjadi lebih pelbagai dari sudut latar belakang dan aspirasi, kata Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing.



Pada masa yang sama, beliau menggariskan keperluan memacu pembelajaran sepanjang hayat dan merapatkan jurang pembelajaran di peringkat awal kehidupan sebagai antara lima bidang tumpuan utama yang diperlukan untuk memastikan sistem pendidikan Singapura kekal relevan dalam dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar.



Berucap semasa pembukaan persidangan Perspektif Singapura anjuran badan pemikir Institut Pengajian Dasar (IPS) bertema kerja semalam, Encik Chan berkata Singapura akan menghadapi lebih persaingan sedang negara ini menjadi lebih berjaya dan terhubung dengan dunia luar.



"Dalam masyarakat, tiga set kuasa akan membentuk masa depan kita.



"Pertama, masyarakat akan menjadi lebih pelbagai dari sudut latar belakang dan aspirasi.



"Kita mesti belajar menguruskannya dan merebut peluang yang datang bersamanya.



"Serupa dengan cabaran bagi kebanyakan masyarakat serta bandar dunia yang maju, sekiranya kita tidak dapat lahirkan anak, lebih besar cabaran untuk kita berintegrasi dengan lebih ramai rakyat yang bukan kelahiran sini, dalam usaha mengekalkan kerancakan ekonomi dan perpaduan sosial.



"Pada masa yang sama, sekiranya kita lebih terhubung dan bersepadu dengan ekonomi sejagat sebagai tempat bergantung, lebih perlu untuk kita memahami orang lain, dan mampu beroperasi dengan lancar melepasi sempadan, budaya dan sistem politik," katanya.



Encik Chan juga berkata sedang Singapura terus lebih bersepadu dengan dunia luar, lebih banyak tekanan persaingan akan dihadapi rakyatnya.



Dalam hal ini, kata Encik Chan, negara perlu menentang kebiasaan sikap memulau dan berundur.



Encik Chan berkata minat dan disiplin untuk berhubung menjangkau zon-zon keselesaan adalah kelebihan persaingan.



Pada masa yang sama, Encik Chan menekankan bahawa sedang negara terus berjaya, risiko yang membuat orang ramai berfikir bahawa pemerintah dapat melindungi masyarakat daripada realiti cabaran dunia di luar Singapura, kian bertambah.



"Perspektif sedemikian akan mengancam kemampuan kita untuk kekal relevan dan mencari rezeki menerusi perhubungan dengan dunia.



"Justeru adalah penting bagi sistem pendidikan kita membantu rakyat memahami dunia seperti sedia ada," kata beliau, sambil menekankan lima tumpuan utama yang diperlukan untuk memastikan sistem pendidikan di sini kekal relevan dalam dunia yang kian tidak menentu dan mencabar.



Salah satu tumpuan itu termasuk mendorong pembelajaran sepanjang hayat dan merapatkan jurang pembelajaran di peringkat awal kehidupan.



Persidangan tahun ini menyemak bagaimana gangguan dan trend dalam teknologi, pembangunan sosio ekonomi, dan demografi negara ini akan membentuk masa depan pekerjaan di sini.



Menyentuh tentang masa depan pekerjaan, Encik Chan berkata kaitan antara teknologi dengan lingkaran perniagaan akan terus memberi tekanan kepada masa dan ruang.



Menurutnya, jangka hayat idea, produk, syarikat dan pekerjaan akan terus menjadi singkat daripada berdekad kepada bertahun, dan mungkin kurang.



"Kemampuan kita untuk berhubung dan menggarap kumpulan bakat sejagat, dan bukan sekadar kumpulan bakat setempat akan mentakrifkan persaingan kita.



"Lantas tumpuan utama kita bukan berapa ramai penduduk setempat berbanding warga asing di Singapura, sebaliknya berapa ramai warga dan bukan warga Singapura berbakat yang boleh digarap di serata dunia untuk bersaing bagi pasukan Singapura," katanya.




Pembelajaran sepanjang hayat antara teras sistem pendidikan



Tumpuan pada pembelajaran sepanjang hayat merupakan antara lima teras utama yang diperlukan bagi memastikan sistem pendidikan negara ini kekal relevan



1. Menyesuaikan pembelajaran dan merapatkan jurang pembelajaran di peringkat awal



Pelaburan kukuh diperlukan di peringkat awal terutamanya bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik dengan keperluan yang lebih tinggi.



2. Bergerak menjangkaui 15 tahun pertama kepada 50 tahun selanjutnya



Para individu perlu melihat kepada tanda aras kejayaan yang baru, seperti menanam semangat untuk bertanya dan keinginan menghasilkan pengetahuan dan nilai baru.



3. Pihak akademik dan industri bekerja lebih rapat bersama



Apabila industri dan pihak akademik menghasilkan, membangun dan menyampaikan bersama modul pra pekerjaan dan pendidikan berterusan bagi kededua pelajar muda dan pelajar dewasa, kita akan dapat memperbaharui kemahiran rakyat dengan lebih pantas.



4. Mendapatkan semua masyarakat terlibat sama



Kementerian Pendidikan (MOE) tidak pernah percaya bahawa ia mampu mengubah masyarakat atau membangunkan generasi selanjutnya dengan sendiri. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama ibu bapa, rakan masyarakat dan industri bagi meluaskan kepelbagaian kekuatan dan takrifan kejayaan.



5. Melabur dalam kumpulan pendidik



Pendidik juga perlu kemas kini kemahiran, memandangkan mereka penyelaras penerokaan dan pembelajaran, menawarkan sokongan emosi, mendekati dan memupuk kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas, dan lain-lain lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >