Mahkamah boleh buat keputusan berhubung pembahagian aset bagi pasangan Muslim yang bercerai di luar negara

MAHKAMAH telah memutuskan bahawa pasangan Islam yang bercerai di luar negara masih boleh merujuk ke mahkamah sivil Singapura bagi pembahagian harta perkahwinan mereka di sini.

Mahkamah lima hakim, yang membenarkan rayuan seorang wanita Islam, menyatakan Parlimen tidak bertujuan memberi kelegaan hanya kepada orang bukan Islam semasa ia mengemas kini Piagam Wanita pada 2011.

"Di tengah-tengah rayuan ini terletak persoalan sama ada pihak berkenaan, apabila perkahwinan Islam dibubar melalui suatu perintah mahkamah asing, dalam kes ini mahkamah di Johor Baru... boleh mendapatkan hak kewangan serupa dengan perceraian dari mahkamah Singapura," tulis Hakim Besar Sundaresh Menon dalam penghakiman mahkamah yang dikeluarkan pada Selasa.

Menekankan pentingnya isu ini, mahkamah rayuan lima hakim telah bersidang untuk mendengar rayuan itu November lalu. Ia biasanya merangkumi tiga hakim.

Ia terdiri daripada Hakim Rayuan Chao Hick Tin, Andrew Phang, Judith Prakash dan Tay Yong Kwang, di samping Hakim Besar Menon.

Pasangan Singapura itu bernikah di bawah undang-undang Islam pada 1998 dan berpindah ke Johor Baru 10 tahun kemudian.

Pada 2012, suami berusia 52 tahun itu menceraikan isterinya, 37 tahun, di Mahkamah Rendah Syariah Johor, dikatakan tanpa memberitahu isterinya itu.

Kedua-duanya kini sudah berkahwin semula. Si isteri mempunyai hak penjagaan dua anak mereka.

Berikutan perceraian tersebut, wanita itu memohon kepada mahkamah di sini untuk membahagikan aset mereka, termasuk flat lima bilik mereka di Yishun, sebuah apartmen di Johor, dan baki wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bekas suaminya sebanyak $210,000 pada 2013.

Aset yang harus dibahagi berjumlah $1,079,249.

Beliau pada mulanya memohon kepada Mahkamah Syariah Singapura untuk membahagikan aset itu, tetapi ia tidak mempunyai bidang kuasa kerana ia bukan mahkamah yang membubarkan perkahwinan.

Bagaimanapun, ia mempunyai kuasa di bawah undang-undang Islam untuk memperuntukkan beliau $45,847 terhadap bekas suaminya sebagai penyenggaraan dan hadiah.

Peguamnya, Encik Mohamed Ibrahim dan Encik Sri Balan Krishnan, kemudian memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi pembahagian aset. Tetapi permohonan itu ditolak April lalu, yang membawa kepada rayuan ke mahkamah tertinggi.

Mahkamah menyatakan bahawa undang-undang berkaitan memutuskan bahawa jika perkara yang diajukan tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi mengekalkan "bidang kuasa residual" berhubung perkara itu.

Ia mendapati bahawa peruntukannya berkaitan Piagam Wanita, yang mengecualikan wanita daripada memohon bagi mendapatkan hak di Mahkamah Tinggi, boleh berlaku hanya jika Mahkamah Syariah di Singapura mempunyai bidang kuasa ke atas perkara itu - tetapi ini tidak dimilikinya.

Jika kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa, Hakim Besar Menon berkata ia bermakna bahawa "kedua-dua mahkamah tidak berkuasa dan ini akan membolehkan suami mengelakkan pembahagian harta sepencarian di Singapura dengan hanya dengan mendapatkan perceraian di luar negara".

"Kami tidak fikir bahawa Parlimen bertujuan menimbulkan keputusan seperti ini," tulis beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Parlimen memperkenalkan Bab 4A Piagam Wanita untuk menyelesaikan masalah dan memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memerintahkan huraian kewangan kepada mereka diceraikan oleh mahkamah luar negara yang diiktiraf sebagai sah di sini.

Mahkamah mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusan mengenai perintah yang harus ditetapkan, jika ada. - ST.