Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Mahu pemain genderang Melayu tahu cara baiki alat muzik tradisional

Sep 10, 2023 | 05:30 AM



Encik Yaziz Hassan telah ke sebuah festival budaya Melayu di Pekanbaru, ibu kota Riau, pada 1997, membawa ‘rangka kosong’ atau bingkai rebana dikir barat dengan harapan ada orang yang boleh memasangkan kulit baru.

Beliau menemui seorang pemain muzik di sana yang menukarkan kulit rebananya itu dalam masa hanya 24 jam, sedangkan proses itu biasanya mengambil masa tiga hari dan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Pak cik itu cuma tunjuk sekali sahaja dan berkata ‘pengalaman ini akan dapat diperbaiki dengan berlatih’,” kata Encik Yaziz, yang memberi upah 1 juta rupiah – lebih dua kali ganda daripada yang diminta lelaki itu.

“Saya tahu benda ini susah nak buat. Dari situ, saya mula ingin belajar… jika kulit rebana saya koyak, sekurang-kurangnya saya tahu cara untuk tukar kulit atau lilit balik,” tambahnya yang ketika itu bermain rebana bagi kumpulan muzik tradisional di bawah Persatuan Kemuning Singapura.

Sejak itu, Encik Yaziz berlatih hingga beliau menjadi orang yang dituju kedai-kedai muzik setempat untuk membaiki alat muzik yang menggunakan kulit pada akhir 1990-an hingga 2010.

Kemahiran membaiki rebana itu bagaimanapun tidak dapat dijadikan mata pencarian utama kerana kepakaran itu jarang diperlukan, mungkin hanya sekali dalam sebulan, kata Encik Yaziz, 48 tahun.

Kini, pengasas bersama dan pengarah eksekutif kumpulan genderang yang menggunakan alat muzik tradisional Melayu, Nadi Singapura, itu telah melatih lima anak buahnya cara membaiki alat genderang menggunakan kulit seperti rebana dan jidur yang rosak.

“Saya terapkan kepentingan ‘nak kena tahu’ sebab mereka adalah pemain perkusi Melayu. Dulu bila rebana atau jidur koyak, saya seorang yang baiki. Bila saya minta tolong baru mereka tahu betapa susahnya untuk baiki.

“Jadi saya letakkan syarat, siapa koyakkan jidur, merekalah yang sendiri kena tukar. Kalau mereka tak tahu, saya akan tunjuk ajar. Bila mereka tahu susahnya walaupun sekadar untuk tukar kulit, mereka akan bermain dengan lebih hati-hati dan tidak sambil lewa,” katanya sambil menambah alat-alat itu boleh rosak jika dipukul terlalu kuat.

Hari ini, Encik Yaziz masih menerima permintaan untuk membaiki alat muzik tetapi akan merujuknya kepada pelapisnya.

“Kalau betul-betul nak kasi budak-budak ini berlatih, beri peluang untuk mereka buat. Saya rasa mereka juga perlu diketengahkan. Sekarang saya cuma baiki barang-barang Nadi, barangan peribadi saya atau alat muzik orang-orang lama yang saya kenal,” kata Encik Yaziz yang membaiki alat muzik sekitar sekali dalam enam bulan.

Berbeza daripada kompang yang lebih baik dibeli baru daripada dibaiki jika rosak kerana harganya lebih kurang sama, rebana pula masih dibaiki jika rosak.

Ini kerana harga rebana baru sekitar $400 sedangkan membaikinya mungkin menelan belanja sekitar $150, kata Encik Yaziz.

Kerosakan yang boleh berlaku pada rebana tradisional termasuk rotan yang dililit di tepi putus atau kulit rebana koyak.

“Kalau anak-anak buah saya baiki rebana, macam mana pun saya akan tetap duduk di sebelah dan melihat cara mereka baiki,” kata bapa empat anak itu.







Pemilik 15 rebana yang dibeli dari pelbagai daerah di Indonesia dan Malaysia itu tidak sekadar mahir membaiki rebana, beliau juga kini dalam proses menghasilkan rebana versi plastik yang lebih ringan dan dibuat menggunakan bahan yang dikitar semula.

Badan rebana itu dibuat menggunakan balang plastik tinggi yang pernah menyimpan sejenis cecair.

Bahagian atas balang itu digunakan untuk membuat jidur plastik – idea Encik Yaziz yang mahu menghasilkan jidur lebih ringan dengan bunyi yang lebih melantun. Jidur plastik itu mempunyai satu permukaan yang masih menggunakan kulit, dan satu lagi yang telah diganti plastik.

Melihat baki balang berbentuk bulat, Encik Yaziz mendapat ilham menjadikannya rebana dengan permukaan plastik dan menggunakan ‘drum lug’.

Beliau dalam proses menghasilkan 10 rebana sedemikian sebagai permulaan dan merancang meningkatkan mutunya dalam masa akan datang.

Pengalaman Encik Yaziz membuat dan membaiki alat genderang tradisional Melayu telah disertakan dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH) Lembaga Warisan Negara (NHB) bagi Pembikinan dan Pembaikan Gendang Melayu (Making and Repairing of Malay Drums) pada November 2020.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >