Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AKTIF

Larian dua kawan demi alam

Mar 22, 2018 | 05:30 AM



SETIAP petang dalam Kawasan Pusat Bandar (CBD), ramai dilihat berlari-lari anak selepas sehari suntuk bekerja di pejabat.



Antara pekerja yang berlari itu ialah dua eksekutif khidmat pelanggan, Cik Shahidah Hanim Mohamed Yusof dan Cik Nur Rashidah Jamal, kedua-duanya berusia 27 tahun.



Bagi pasangan sahabat karib itu, mereka berlari bukan hanya demi menjaga kesihatan, malah kini mempunyai tujuan lebih besar, iaitu menekankan mesej memelihara alam sekitar.



Hal tersebut terbukti dengan penyertaan kali pertama dalam kategori 10 kilometer Income Eco Run 2018 anjuran NTUC Income.



Acara tersebut akan berlangsung pada 29 April ini di Bangunan Pit Formula Satu (F1).



"Matlamat larian tahun ini memang penting bagi kami, bahkan ia bagai bonus tambahan mencapai matlamat tiada pembaziran," kata Cik Rashidah, ketika ditemui baru-baru ini.



Menurut kenyataan NTUC Income, maraton tersebut edisi kedua dan akan menetapkan sasaran baru dalam usaha menjadi lebih mesra alam.



Larian itu unik kerana peserta tidak akan mendapat pingat atau baju selepas menyelesaikan larian seperti kebiasaan maraton lain.



Setakat ini, peserta larian, yang juga dikenali sebagai 'Zero Waste Runners', telah menjimatkan 150 kilogram besi, 88 kilogram bahan polyester dan 18,492 cawan kertas.



Seramai 1,182 peserta juga berjaya meluputkan 2,991 kilogram pelepasan karbon dengan menaiki bas ulang-alik yang disediakan.



Di samping itu, penganjur menggunakan borang penyertaan dalam talian dan sijil tamat larian digital. Justeru, sebanyak 526.5 kilogram kertas tidak dibazirkan.



Sisa buangan yang dihasilkan semasa larian juga dijadikan baja, termasuk sekitar 700 kilogram kulit pisang daripada pisang yang diberikan kepada peserta.



Tahun ini, Income Eco Run mempunyai matlamat menjimatkan hingga 300 kilogram besi dan 176 kilogram bahan polyester.



Sehubungan itu, Cik Shahidah dan Cik Rashidah seronok memikirkan penglibatan mereka.



Mereka pun berlari atas dorongan berlainan.



Menurut Cik Shahidah, beliau ingin menjaga kesihatan selepas bersalin April tahun lalu. Cik Rashidah pula berkata beliau ingin mempersiap diri bagi walimahnya.



Sebagai persiapan menjelang maraton, mereka berlari sekali seminggu sejak Oktober tahun lalu dan menambah jarak larian pada setiap latihan.



Cik Shahidah juga berkata lebih seronok berlari jika dilakukan dengan rakan di luar berbanding di 'treadmill' dalam gimnasium.



"Jika berlari sama-sama di kawasan terbuka seperti keliling Marina Bay, susah hendak rasa letih dan bosan.



"Bersenam dengan kawan yang suka berlari juga penting kerana mereka boleh tolong menstabilkan rentak larian. Ini amat diperlukan ketika berlari sejauh 10 kilometer," ujar Cik Rashidah.



Tambah Cik Shahidah:



"Kami juga ada rakan sekerja berumur 60-an tahun dan masih mempunyai stamina hebat yang akan mendorong kami!"



Akhir kata, mereka terharu dapat memainkan peranan menyelamatkan alam sekitar.



Ditanya tentang latihan mereka seterusnya, Cik Rashidah berkata:



"Selepas kerja hari ini, kami ingin mencapai lapan kilometer tanpa berhenti buat kali pertamanya!".




MAKLUMAT LANJUT 



Acara 'Income Eco Run 2018' meliputi beberapa kategori:



 - Lima kilometer tidak kompetitif bagi peserta berumur 13 tahun ke atas



- Kanak-kanak: 800 meter bagi kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun; dan 1.2 kilometer bagi kanak-kanak berumur sembilan hingga 12 tahun



- Maraton 21.1 kilometer bagi dewasa



Layari laman www.IncomeEcoRun.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >