Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Kian ramai karyawan tampil jadi relawan

Oct 09, 2022 | 05:30 AM



SEMENTARA solusi dan pendekatan berbeza diperlukan untuk memenuhi permintaan sistem pendidikan yang telah berubah selama ini, semangat sukarela dalam kalangan masyarakat serta keinginan individu yang telah berjaya untuk berbakti kepada masyarakat kekal sama.



Malah menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semakin ramai daripada relawan yang telah tampil ini merupakan daripada golongan karyawan, tidak semestinya daripada kepimpinan badan Melayu/Islam.



"Mereka merasakan tanggungjawab untuk membantu mereka yang masih tertinggal dan perlu bantuan, (maka) ingin menyumbang dalam badan seperti Yayasan Mendaki.



"Ini adalah satu petanda baik bahawa dalam masyarakat kita, walaupun setelah lebih ramai menjadi... individu yang berjaya, mereka tidak meninggalkan rasa untuk sama-sama bergotong-royong untuk membantu dan ini adalah petanda kejayaan yang diberkati, bukan hanya kejayaan yang memanfaatkan diri sendiri sahaja," ujarnya.



Encik Masagos berkata demikian kepada media di Persidangan Masyarakat Gemilang Mendaki di Pusat Konvensyen Suntec City semalam.



Kalau masyarakat telah menubuhkan pelbagai institusi untuk mengatasi isu tertentu dahulu, beliau berkata diharapkan semua institusi itu dapat menggembleng tenaga dan mencapai sinergi untuk mencapai semua matlamatnya bersama pada masa akan datang.



"Ini memberikan satu wadah kepada masyarakat kita dan mereka yang mahu menyumbang, terutamanya mereka yang muda dan mungkin melihat perspektif masalah masyarakat secara berbeza.



"Wadah ini akan membolehkan mereka untuk turut sama turun padang untuk meningkatkan lagi keberadaan masyarakat kita," ujarnya.



Persidangan Masyarakat Gemilang itu diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 Mendaki sempena Bulan Raikan Ilmu 2022 yang meraikan semangat pembelajaran sepanjang hayat.



Dihoskan Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga serta Pengerusi Mendaki, acara itu disertai lebih 200 orang termasuk wakil daripada pertubuhan Melayu/Islam, rakan kerja M3, karyawan dan belia.



Acara itu turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; serta beberapa Anggota Parlimen Melayu (MMP).



Menurut Mendaki, Persidangan Masyarakat Gemilang itu bertujuan memperkukuh kesedaran tentang keberadaan masyarakat dalam landskap operasi baru serta peluang untuk memperkukuh keupayaan dan kebolehan.



Tambahnya, persidangan itu juga merupakan wadah bagi belia dan pemimpin masyarakat untuk mencipta bersama serta mengadakan perbincangan tentang idea untuk mempertingkat masyarakat.



Encik Masagos berkata beliau bersyukur ramai relawan dan karyawan telah tampil menyertai persidangan itu untuk mengimbas kembali perjalanan masyarakat menjadi Masyarakat Gemilang, sekali gus memberi sumbangan, idea dan juga pendapat mereka tentang apa yang harus dilakukan masyarakat ke depan serta bagaimana mereka dapat menyokong perjalanan masyarakat dalam usaha mencapai peningkatan dalam pendidikan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >