TIADA keperluan untuk melakukan perubahan dasar 'besar-besaran' kepada dua institusi utama Melayu/Islam setempat - Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Yayasan Mendaki - kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Sebaliknya, keutamaan beliau ialah untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi kededua badan itu berkongsi idea dan bekerjasama bukan hanya antara mereka bahkan dengan badan-badan lain dan juga masyarakat secara amnya.
Encik Masagos berkongsi pemikirannya itu dalam wawancara dengan Berita Harian sehari selepas beliau diumumkan akan dilantik Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Menurutnya, Muis dan Mendaki adalah dua pertubuhan mapan yang telah menjalankan kerja baik bagi masyarakat.
Muis, yang merupakan sebuah badan berkanun, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, dengan agensi-agensi pemerintah lain dari segi profesionalisme dan tahap pentadbirannya manakala Mendaki pula adalah pertubuhan penting dalam sektor masyarakat.
Pelantikan Encik Masagos, 55 tahun, yang berkuatkuasa 1 Mei ini diumumkan Perdana Menteri dalam rangka rombakan Kabinet yang melihat menteri muda diberi tugas menerajui hampir dua pertiga kementerian selain diberi tanggungjawab tambahan.
Dalam rombakan tersebut, Dr Yaacob Ibrahim akan bersara dari Kabinet dan akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber selain Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Mengenai pelantikannya Encik Masagos, yang menyertai politik pada 2006 dan menjadi menteri penuh pada 2010, berkata beliau mengambil alih teraju dengan masyarakat Melayu/Islam kini berada dalam kedudukan yang kukuh.
"Kita harus berbangga...pencapaian masyarakat Melayu secara relatif dengan masyarakat minoriti di negara-negara lain adalah sesuatu yang menakjubkan. Malah, ramai warga asing yang datang ke Singapura dan melihat kemajuan yang kita capai sebagai sebuah kaum minoriti, melihatnya sebagai satu miracle (keajaiban) yang susah dicontohi negara-negara lain," ujar beliau.
"Tugas saya ialah untuk membina terus kemajuan ini dengan sokongan para pemimpin lain dan juga masyarakat," tambahnya.
Susulan rombakan Kabinet:
- Sorotan... ...tertumpu kepada tiga pemimpin 4G
- Yaacob berperanan penting dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam dari segi pendidikan, sosial dan agama
- Masagos berpengetahuan, layak dan berkebolehan pimpin masyarakat Muslim S'pura menjadi lebih dinamis
Ikuti wawancara dengan Encik Masagos di Berita Minggu