Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Persiapan haji lancar meski terdapat tambahan jemaah

Jul 04, 2022 | 05:30 AM



MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata persiapan jemaah haji Singapura berjalan lancar meskipun terdapat penambahan tempat bagi jemaah menunaikan haji daripada yang diumumkan pada awalnya.



Beliau berharap mereka dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan baik sedang beliau berangkat ke Jeddah bersama kumpulan terakhir jemaah dari negara ini semalam.



Ketika ditemui di Lapangan Terbang Changi, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan kedutaan Saudi di sini kerana telah membantu jemaah Singapura melalui semua proses yang diperlukan supaya mereka dapat berangkat dan sampai ke Tanah Suci serta menambah jumlah tempat yang diperuntuk bagi jemaah Singapura untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.



Encik Masagos turut merakamkan penghargaannya buat ejen penjualan pakej haji (GSA) yang turut bertungkus-lumus membantu jemaah antara lain dengan visa dan penginapan mereka walaupun dengan kelulusan yang diberi pada saat akhir.



"Saya mengimbau kepada semua agar mendoakan jemaah kita yang ada di sana nanti supaya mereka mendapatkan haji yang mabrur dan juga perjalanan yang selamat dan terus sihat hingga pulang ke tanah air nanti," ujarnya.



Encik Masagos yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura tahun ini turut berangkat bersama Ketua Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) iaitu Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, dan 180 jemaah daripada GSA konsortium (CGSA) yang diketuai TM Fouzy Travel & Tours dan konsortium pimpinan Jalaluddin Travel & Services serta GSA individu (IGSA) Shahidah Travel & Tours dengan menaiki penerbangan Saudia.



Encik Masagos dan Encik Kadir akan berada di Saudi hingga 14 Julai.



Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad serta Charge d'Affaires di Kedutaan Diraja Arab Saudi, Encik Omar Alharithy, dan Atase Protokol Kedutaan Diraja Arab Saudi, Encik Anmar Ashoor, turut hadir di Lapangan Terbang Changi untuk menghantar mereka.



Pada 26 April lalu, Muis mengumumkan bahawa sebanyak 407 tempat diperuntuk bagi jemaah Singapura untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, iaitu kira-kira 45 peratus daripada kuota rasmi negara sebanyak 900 jemaah sebelum pandemik.



Namun pada 20 Jun lalu, Muis mengumumkan bahawa lebih banyak tempat telah diperuntuk bagi jemaah Singapura untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.



Ini merupakan kali pertama Arab Saudi menerima semula kedatangan jemaah haji antarabangsa selepas dua tahun sejak pandemik Covid-19 mula menular pada 2020.



Semasa bercakap dengan media ketika ditemui di Terminal 3 petang semalam, Encik Masagos turut berkata beliau meminta semua jemaah supaya terus menjaga kesihatan mereka supaya dapat berwukuf dengan selamat dan sihat hingga pulang ke tanah air.



Sekiranya jemaah dijangkiti Covid-19 di sana, beliau berkata mereka perlu menjalani kuarantin di bilik masing-masing.



"Tapi saya difahamkan oleh pihak kerajaan Saudi bahawa mereka akan berusaha supaya jemaah dapat bersama berwukuf nanti di Arafah supaya sempurna ibadah mereka menunaikan haji walaupun mereka dalam keadaan sakit insya-Allah," ujarnya.



Antara jemaah daripada kumpulan terakhir jemaah haji Singapura yang berangkat semalam termasuk Cik Aniza Lazim, 55 tahun, yang akan mengerjakan haji bersama suaminya, Encik Muhammad Yusri Muhammad Yusof, 52 tahun.



"Kami betul-betul gembira bila menerima e-mel mengatakan kami terpilih untuk menunaikan haji tahun ni sehingga saya dan suami terus bersujud syukur sebab kami tunggu lebih 10 tahun lamanya untuk ke sana," ujar suri rumah itu.



Bagi Encik Adli Adam, 25 tahun, beliau teruja menerima panggilan untuk menunaikan haji tahun ini, dua tahun lebih awal daripada yang dijangkakan.



Beliau akan mengerjakan haji bersama ibu bapa dan dua adik perempuannya yang berusia 18 dan 24 tahun.



"Walaupun terpaksa meninggalkan isteri saya di Singapura dalam waktu yang agak merisaukan dengan kes jangkitan harian yang kian meningkat, saya anggap peluang ini sebagai anugerah terindah yang tidak ternilai," ujar pegawai bomba itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >