Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: S'pura akan terus tangani keperluan, perkasa wanita

Dec 09, 2022 | 05:30 AM



WALAUPUN Singapura telah mencapai kemajuan dan diletakkan di tempat ketujuh di seluruh dunia untuk kesaksamaan jantina dalam Indeks Ketidaksamaan Jantina Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terkini, ia akan terus menangani keperluan wanita dan memperkasakan mereka melalui pelan tindakan yang digariskan dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura, kata Menteri bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Encik Masagos, yang berada di Tokyo, Jepun, minggu lalu, turut berkongsi pendekatan dan visi Singapura untuk masyarakatnya, yang menyaksikan lelaki dan wanita bekerjasama dan menyokong satu sama lain untuk mencapai aspirasi mereka.



Dalam Persidangan Wanita Sedunia (WAW!) itu, pemerintah, ahli akademik, organisasi antarabangsa, sektor swasta dan masyarakat sivil berkumpul untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh wanita dan langkah ke hadapan.



Di laman Facebooknya semalam, Encik Masagos berkata: "Saya berkongsi pendekatan dan visi Singapura untuk masyarakat kita yang menyaksikan di mana lelaki dan wanita bekerjasama dan menyokong satu sama lain untuk mencapai aspirasi mereka secara bebas dan sepenuhnya.



"Kami percaya bahawa keluarga membentuk asas masyarakat - di mana nilai diterapkan dan perkongsian yang sama antara lelaki dan wanita dipupuk."



WAW! adalah persidangan tahunan membincangkan peranan kepimpinan unik yang boleh dimainkan oleh wanita dan gadis dalam agenda seperti alam sekitar, perubahan iklim, tenaga, kewangan, dasar awam dan keselamatan awam dan banyak lagi.



Persidangan antarabangsa ini telah dihoskan oleh pemerintah Jepun sejak 2014 sebagai sebahagian usahanya merealisasikan kesaksamaan jantina dan memajukan pemerkasaan wanita.



Ia dirancang untuk menampilkan perbincangan mengenai pelbagai topik berkaitan jantina yang menjadi lebih jelas disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan hal ehwal dunia.



Bercakap dalam ucapan pembukaannya dalam sidang itu, Cik Sima Bahous, Setiausaha Agung PBB dan Pengarah Eksekutif Wanita UN berkata : "Kita hampir separuh jalan ke titik akhir 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mapan.



"Hanya tujuh tahun lagi tetapi saya sedih untuk melaporkan bahawa pada kadar kemajuan semasa, ia tidak akan mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai kesaksamaan jantina tetapi 300 tahun - ini adalah anggaran terkini untuk masa yang diperlukan menghapuskan undang-undang diskriminasi dan merapatkan jurang dalam perlindungan undang-undang untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.



"Saya yakin bahawa tiada seorang pun di sini pada hari ini mahu menunggu 300 tahun."



Beliau menambah, "di seluruh dunia, lebih 380 juta wanita dan kanak-kanak perempuan hidup dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada AS$1.90 ($2.57) sehari.



Itu adalah sekitar tiga kali ganda penduduk Jepun, semuanya bergelut untuk bertahan dengan AS$1.90 sehari. Penutupan sekolah dan pusat jagaan harian akibat pandemik Covid-19 membawa anggaran 512 bilion masa tambahan penjagaan kanak-kanak tanpa gaji di seluruh dunia, semuanya dilakukan oleh wanita."



Menurut Cik Sima, keganasan terhadap wanita begitu berleluasa sehingga setiap 11 minit, seorang wanita atau gadis dibunuh oleh seseorang dalam keluarganya.



"Ini adalah statistik yang menyedihkan tentang penderitaan, kemiskinan dan ketidakadilan.



"Tugas kita bukanlah mengusahakan apa yang perlu dilakukan, sebaliknya menggerakkan kemahuan dan komitmen untuk melakukannya.



"Kita tidak mempunyai alasan bahawa ini terlalu rumit, terlalu baru, atau terlalu mahal. Kita boleh melakukan ini kerana kita boleh, kita mesti," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >