Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Masih menanti kunci flat BTO

Kelewatan pembinaan dek kurang tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19
Apr 14, 2021 | 05:30 AM



SEPTEMBER 2020 merupakan tarikh beliau sepatutnya berpindah ke rumah barunya di Northshore Drive Straits View.



Namun, bagi peguam, Encik Norhakim Md Shah, 39 tahun, dan isteri, Cik Nur Asliana Mohd Salim, 37 tahun, tarikh tersebut berlalu pergi dan sehingga kini, pasangan tersebut masih menanti-nanti tarikh siap terkini bagi rumah mereka di Punggol itu.



Dihubungi Berita Harian, Encik Norhakim berkata beliau menjangkakan akan dijemput untuk mendapatkan kunci flatnya pada September tahun lalu.



Namun, sebulan kemudian, beliau dimaklumkan bahawa pembinaan rumahnya ditundakan selama enam sehingga sembilan bulan.



"Sehingga ke hari ini, portal HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) saya masih lagi menyatakan bahawa pembinaan rumah akan selesai pada hujung Mac 2021 tetapi saya masih belum menerima tarikh untuk kami mengambil kunci," katanya.



Encik Norhakim dan isteri merupakan antara 43,000 isi rumah yang akan menerima kunci flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka lambat.



Hal itu disebabkan kelewatan pembinaan dek kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19.



Daripada 89 projek BTO yang sedang dijalankan, sekitar 85 peratus berada enam hingga sembilan bulan di belakang jadual, dedah Kementerian Pembangunan Nasional (MND) baru-baru ini.



Meskipun tidak banyak rancangan yang perlu diubah akibat kelewatan dalam mendapatkan rumah mereka, Encik Norhakim akur beliau dan isteri risau tentang persekolahan anak lelaki mereka, Aushaf Hawari Norhakim, empat tahun.



"Kami tidak pasti bila kami patut mengalihkan persekolahan anak kami sebab kalau terlalu siang, agak susah untuk kami menghantar dan mengambilnya dari sekolah.



"Kalau terlambat pula, kami bimbang dia tidak akan dapat tempat di sekolah yang berdekatan dengan alamat kami," ujarnya.



Selain itu, mereka juga terpaksa tundakan penghantaran perabot dan pemasangan alat-alat perumahan.



"Kami juga tidak dapat memberi kepastian (kepada pembekal barangan) tentang tarikh penghantaran sebab kami sendiri tidak tahu bila kami akan dapat kunci rumah.



"Kami juga masih menyimpan barang-barang yang kami telah beli awal di rumah ibu bapa kami dan ia memakan tempat," tambah beliau.



Encik Norhakim dan Cik Asliana serta anak mereka berulang-alik antara rumah kedua belah ibu bapa mereka "dan ia amat memenatkan".



"Sememangnya, saya dan isteri saya sudah tidak sabar menantikan pengumuman daripada HDB untuk kami mengambil kunci sebab sudah hampir lima tahun kami tunggu untuk pindah," kata beliau.



Mengalami nasib serupa, Cik Nurafiqah Daud dan suaminya, Encik Muhammad Audi Mohamed Rathi, yang telah memohon bagi rumah BTO mereka di Tampines GreenCourt pada November 2017.



Mereka sepatutnya dapat berpindah pada suku pertama 2022.



Namun, mereka diberitahu mereka mungkin dapat berpindah hanya pada suku keempat 2022.



Cik Nurafiqah, 27 tahun, seorang pegawai awam, dan Encik Muhammad Audi, 31 tahun, yang bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan, kini menetap di rumah ibu bapa Cik Nurafiqah.



"Sebenarnya ia (menetap di rumah ibu bapa saya) hanya rancangan jangka pendek, sekitar setahun sahaja, tetapi kini nampaknya terpaksa dipanjangkan kepada sekitar dua tahun.



"Situasi ini memang tidak ideal, meskipun ia memang lebih senang kerana ada ahli keluarga lain untuk membantu menjaga bayi saya," kata Cik Nurafiqah.



Katanya, beliau dan suami sudah cuba mencari pengaturan tempat tinggal alternatif, termasuk memohon bagi flat sewa daripada HDB menerusi Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS).



Namun jumlah permohonan bagi skim tersebut selalu melampaui bilangan flat yang ditawarkan "jadi kami tidak dapat nombor giliran pun".



Ibu kepada seorang bayi perempuan itu berkata, mendengar berita penangguhan BTO, beliau pada awalnya gembira "kerana ia bermakna kami mempunyai lebih banyak waktu untuk menyimpan wang bagi ubah elok rumah baru".



"Namun, setelah setahun, kami benar-benar inginkan ada tempat tinggal sendiri kerana keadaan sekarang agak sempit dengan lapan orang tinggal serumah," ujar beliau.



Bagi jurutera perunding, Encik Farhan Che Adnan, 29 tahun, pula, ada hikmah di sebalik penangguhan BTO-nya.



Beliau yang sepatutnya mendapat rumah barunya di Plantation Acres di Tengah Estate pada suku ketiga 2022, kini mungkin hanya dapat berpindah pada suku ketiga 2023.



Selama setahun tiga bulan kini beliau dan isteri berulang-alik antara rumah ibu bapa mereka.



"Tiga bulan dengan bayi yang baru lahir memang amat membantu kerana mereka (ibu bapa) tolong jaga bayi dan kami tidak perlu lakukan kerja rumah," kata Encik Farhan.



Beliau menambah bahawa mereka juga mempunyai lebih banyak waktu untuk menyimpan wang bagi menampung kos ubah elok rumah baru itu kelak kerana kebanyakan wang yang disimpan telah digunakan untuk majlis perkahwinan serta keperluan bayi.



Yang negatifnya pula, katanya, mereka perlu tunggu lebih lama untuk mendapatkan tempat tinggal sendiri di mana mereka "mempunyai lebih banyak kebebasan untuk melakukan apa yang kami mahu".



Sementara itu, HDB telah mengambil langkah yang perlu untuk mempercepat kerja pembinaan.



Untuk mempercepat proses pembinaan flat, kegiatan pembinaan kurang bising di tapak BTO mungkin dibenarkan dijalankan pada Ahad atau cuti umum, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee di Parlimen baru-baru ini.



Meskipun HDB telah mengambil langkah tambahan untuk mengurangkan kelewatan, Encik Lee berkata amat mustahak memastikan tidak ada kompromi terhadap keselamatan dan kesejahteraan pekerja setempat dan asing, serta mutu kerja.



Encik Lee berkata selain projek BTO, garis masa pembinaan untuk projek kediaman, komersial dan industri swasta juga terjejas.



"Namun, dengan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia masih tinggi sekarang, agak susah bagi syarikat membawa masuk jumlah pekerja yang cukup dan sektor itu terus berdepan kekurangan tenaga kerja," ujar Encik Lee.



Pemilik rumah yang menghadapi masalah berkaitan perumahan dan tidak mempunyai pilihan alternatif boleh menghubungi HDB bagi bantuan lanjut.




"Kami tidak pasti bila kami patut mengalihkan persekolahan anak kami sebab kalau terlalu siang, agak susah untuk kami menghantar dan mengambilnya dari sekolah.

Kalau terlambat pula, kami bimbang dia tidak akan dapat tempat di sekolah yang berdekatan dengan alamat kami...

Kami juga tidak dapat memberi kepastian (kepada pembekal barangan) tentang tarikh penghantaran sebab kami sendiri tidak tahu bila kami akan dapat kunci rumah."

- Encik Norhakim Md Shah, 39 tahun, peguam yang menanti flat Northshore Drive Straits View di Punggol.



"Sebenarnya ia (menetap di rumah ibu bapa saya) hanya rancangan jangka pendek, sekitar setahun sahaja, tetapi kini nampaknya terpaksa dipanjangkan kepada sekitar dua tahun. Situasi ini memang tidak ideal, meskipun ia memang lebih senang kerana ada ahli keluarga lain untuk membantu menjaga bayi saya."
- Cik Nurafiqah Daud, 27 tahun, yang memohon rumah BTO di Tampines GreenCourt pada November 2017.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >