Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masjid Jamae Chulia akan dinaik taraf dengan kos $3j

Oct 10, 2022 | 05:30 AM



MASYARAKAT boleh menjangkakan kemudahan baru seperti sebuah plaza masyarakat dan tanjakan serta susur tangan bagi akses yang lebih mudah di Masjid Jamae Chulia tahun depan.



Masjid yang terletak di South Bridge Road itu bakal menjalani program pemulihan dan naik taraf selama 12 bulan mulai suku keempat tahun ini.



Sebidang tanah kosong di belakang Masjid Jamae Chulia juga akan dibangunkan semula oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), melalui Warees Investments, di bawah Skim Peningkatan Wakaf (WRS).



Tapak di Mosque Street itu akan menempatkan sebuah bangunan komersial.



Masjid itu akan terus dibuka sepanjang tempoh pemulihan dan naik taraf ini.



Berucap di pelancaran projek pemulihan itu di Masjid Jamae Chulia semalam, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata beliau "gembira dengan perpaduan dan sokongan kuat" masyarakat India Muslim terhadap projek tersebut.



Sesi pendekatan bagi berkongsi rancangan Muis dan Warees Investments bersama para pemimpin dan belia daripada masyarakat India Muslim telah diadakan sejak dua bulan lalu, ujarnya.



Masjid Jamae Chulia, yang asalnya dibina pada 1826, adalah salah satu daripada beberapa masjid di Singapura yang menjalankan kelas agama dalam bahasa Tamil, yang disediakan untuk masyarakat India Muslim di sini.



Dr Faishal menambah: "Masyarakat India Muslim telah membuat sumbangan berharga ke arah membina Masyarakat Gemilang kita. Kami menyokong penuh usaha untuk meningkatkan kehidupan masyarakat ini sambil kita melalui perjalanan ini bersama-sama."



Turut hadir di pelancaran semalam ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Muis, Encik Saat A. Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Pengerusi Lembaga Pengarah Warees, Encik Abdul Razak Maricar.



Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad, berkata sesi pendekatan itu adalah "positif dan berguna untuk kami mengeratkan kerjasama rapat kita bagi manfaat semua".



"Masyarakat India Muslim sememangnya berterima kasih kepada mereka (Encik Masagos dan Dr Faishal) serta Muis dan Warees dan menyokong penuh usaha mereka untuk menghidupkan semula legasi wakaf kami," tambah beliau.



Dr Faishal berkata usaha pemulihan dan naik taraf itu dijangka "mengembalikan kegemilangan masjid itu sepenuhnya, sesuai sebagai sebuah monumen negara".



Masjid Jamae Chulia menjadi masjid 'wakaf' pada 1917 dan kemudiannya diwartakan sebagai monumen negara pada 1974.



Kali terakhir ia diubah suai adalah lebih sedekad lalu.



Kerja pemulihan itu termasuk membaiki kelembapan air yang semakin meningkat di dinding dan rekahan permukaan.



Kemudahan bebas halangan seperti tanjakan dan susur tangan juga akan disediakan untuk memudahkan akses jemaah.



Lima bilik darjah akan dibina untuk menampung kira-kira 100 pelajar madrasahnya. Buat masa ini, masjid itu hanya mempunyai satu bilik darjah, yang dapat memuat sekitar 15 pelajar.



Kawasan lapang di belakang masjid juga bakal dimanfaatkan sepenuhnya.



Sebuah plaza masyarakat baru akan dibangunkan untuk masyarakat berkumpul dan pelbagai tujuan seperti perhimpunan perayaan atau acara keagamaan.



Masjid itu, yang merupakan tarikan popular di kawasan Chinatown, juga akan memiliki sebuah kaunter perkhidmatan pelanggan baru untuk memenuhi keperluan pelancong.



Projek pemulihan dan naik taraf itu dianggarkan menelan $3 juta, kata Dr Faishal, sambil menggesa masyarakat Islam di sini, tidak kira bangsa, untuk menyumbang kepada usaha tersebut.



Daya usaha bagi mengumpul dana bagi projek itu akan diumumkan nanti.



Dr Faishal turut mengumumkan semalam bahawa sebuah bangunan komersial baru akan dibina di sebidang tanah kosong di Mosque Street di bawah WRS.



"Tujuannya adalah untuk meningkatkan pendapatan Wakaf Jamae Chulia supaya ia dapat memanfaatkan penerima manfaat wakaf tersebut serta memperkasa masyarakat India Muslim secara amnya," jelas Dr Faishal.



Butiran lanjut bagi pembinaan itu akan dikongsi oleh Muis dan Warees pada suku kedua tahun depan, tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >