Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Masyarakat Melayu/Islam terus maju di sebalik cabaran 2022

Jan 01, 2023 | 05:10 PM



TAHUN 2022 menyaksikan masyarakat Melayu/Islam berusaha mengasah kecekapannya untuk mengatasi cabaran demi cabaran dalam dunia pascapandemik.



Sedang Singapura mula hidup dalam suasana yang beransur pulih daripada Covid-19, pelbagai cabaran dari segi ekonomi, pekerjaan mahupun sosioagama telah menguji daya tahan masyarakat dan negara.



Tekanan inflasi serta kos hidup yang meningkat, pembuangan kerja dalam sektor seperti teknologi, dan isu sosial seperti pemansuhan Seksyen 377A merupakan antara topik yang hangat diperbualkan pada 2022.



Ini berlatarbelakangkan pergolakan geopolitik seperti peperangan di Ukraine, ketegangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China, serta gangguan teknologi dan rantaian bekalan.



PENCAPAIAN YANG WAJAR DIRAIKAN



Namun, di tengah-tengah cabaran ini, beberapa pencapaian masyarakat wajar diraikan.



Contohnya, kepimpinan agama di Singapura baru-baru ini diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana menyediakan huraian praktikal dan berwibawa dalam berdepan dengan isu dan cabaran baru.



Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang dipimpin Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menerima anugerah Imam Al-Qarafi bagi Kecemerlangan dalam Fatwa daripada Sekretariat Agung bagi Pihak Berkuasa Fatwa Sedunia, pimpinan Dar al-Ifta Mesir.



Anugerah itu disampaikan sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang jawatankuasa tersebut dalam menangani pandemik Covid-19 dan isu semasa yang lain.



Selain itu, kerjasama pelbagai badan masyarakat Melayu/Islam dalam membantu masyarakat mengemudi cabaran semasa Covid-19 juga turut diiktiraf.



Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu (SGTB) dan Kumpulan Kerja Covid-19 Melayu/Islam baru-baru ini pula menerima Anugerah Sijil Kepujian Presiden (Covid-19) bagi usahanya menggembleng tenaga pelbagai agensi, badan Melayu/Islam (MMO) serta rakan berkepentingan lain untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat.



Pada masa yang sama, badan Melayu/Islam seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) meraikan ulang tahun yang ke-70, manakala Yayasan Mendaki menyambut ulang tahun yang ke-40.



Hakikat bahawa badan seperti ini masih wujud, berkembang dan kekal relevan hari ini mencerminkan semangat bantu diri dan gotong royong yang terus hidup dalam masyarakat.



Akhbar Berita Harian pada 2022 turut memperingati 65 tahun sejak penubuhannya, memainkan peranan penting dalam menonjolkan pencapaian masyarakat serta mengupas pelbagai cabaran dan isu.



Tahun lalu, akhbar ini turut menyampaikan Anugerah Jauhari ke-24 kepada Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Hadijah Rahmat.



Usahawan muda, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, dinobat Anugerah Jauhari Harapan, manakala penulis lirik veteran, Encik Mohamed Noor Mohamed Yusofe, atau lebih dikenali sebagai Yusnor Ef, diberi Anugerah Jauhari Pencapaian Sepanjang Hayat.



BERSATU PADU ATASI ISU SUKAR



2022 juga melihat masyarakat Melayu/Islam bersama masyarakat lain mengorak langkah menghadapi isu berkaitan pemansuhan Seksyen 377A, meskipun terdapat pandangan yang berbeza berkenaan isu LGBT.



November lalu, Parlimen meluluskan pemansuhan undang-undang berkaitan hubungan seks antara lelaki, dan pada masa yang sama melindungi definisi perkahwinan antara lelaki dengan wanita daripada dicabar oleh undang-undang.



Meskipun Seksyen 377A telah dimansuh, pemimpin agama di Singapura menekankan pendirian masyarakat Islam terhadap homoseksualiti tidak berubah.



Apa yang penting, masyarakat Melayu kekal bersatu padu bersama masyarakat lain untuk mengorak langkah dalam menghadapi isu sukar ini, berbekalkan bimbingan asatizah dan kesatuan kepimpinan keagamaan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebelum ini.



"Saya harap masyarakat kita rasa sangat beruntung kerana pihak agamawan, pihak perundangan, dan pihak pemimpin masyarakat (semua menyumbang) dalam hal ini dan saya merasakan kesatuan yang begitu kuat.



"Kita boleh menjadi contoh kepada masyarakat lain, di mana kita tunjukkan kesatuan ini yang boleh membawa masyarakat kita ke hadapan," katanya.



M KUASA TIGA MEMPERKASA



Sepanjang tahun ini, usaha untuk meningkatkan kehidupan masyarakat Melayu/Islam diteruskan melalui rangka kerja M Kuasa Tiga (M3) melibatkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Ini dilakukan menerusi empat bidang tumpuan - perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; individu dan keluarga rentan; bimbingan belia; serta pekerjaan dan daya kerja.



M3 telah menyelaras usaha untuk mendekati masyarakat, dan menyampaikan bantuan secara lebih berkesan. Contohnya, Yayasan Mendaki mampu meluaskan programnya dengan pesat dan menjadi lebih dekat kepada masyarakat Melayu/Islam dalam beberapa tahun lalu menerusi M3, kata Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, dalam wawancara dengan BH sebelum ini.



Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), memberi contoh program KelasMateMatika (KMM) yang mengajar konsep asas matematik kepada kanak-kanak prasekolah dan melibatkan ibu bapa mereka. Program itu, yang sebelum ini dikenali sebagai MajuMindaMatematika, telah dipertingkat dan dilancarkan di kelab masyarakat dengan sekitar 100 peserta pada 2018.



Sejak itu, lebih 6,500 ibu bapa dan kanak-kanak meraih manfaat daripada KMM, termasuk di M3@Bandar.



Sementara itu, keluarga Melayu/Islam, termasuk golongan yang lebih memerlukan, juga menerima sokongan yang lebih padu dan tersusun menerusi M3, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula.



Sejak 2019, lebih 2,600 anggota keluarga banduan menerima sokongan di bawah Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) kendalian Muis dengan kerjasama rakan lain di bawah M3. Ini termasuk bantuan kewangan, sokongan pekerjaan dan pembelajaran Islam.



Antara inisiatif yang telah dipergiat tahun ini ialah usaha membantu pekerja Melayu/Islam meraih peluang pekerjaan lebih baik, khususnya dalam sektor pertumbuhan.



Di bawah kerjasama M3 dan Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), satu program perintis melibatkan pemimpin kesatuan yang mengunjungi rumah ke rumah untuk mendampingi dan membimbing pencari kerja telah diluaskan.



CABARAN 2023



Usaha untuk memperkasa masyarakat, khususnya untuk meraih pekerjaan baik, akan menjadi lebih penting sedang isu seperti inflasi dan kos sara hidup dijangka terus menjadi keprihatinan pada 2023.



Isu seperti kemampuan untuk membayar hutang rumah dengan kadar inflasi lebih tinggi, kecukupan simpanan untuk kecemasan dan persaraan, serta jurang pendapatan perlu terus dipantau.



Pastinya pelbagai cabaran ini bakal menguji lagi daya tahan masyarakat dan negara.



Namun, kecekapan dan kemahiran yang diasah dan diraih semasa krisis lalu akan meletakkan masyarakat dan negara dalam keadaan lebih baik untuk mengharungi ketidaktentuan masa depan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >