Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS BM

Medan selera bagi peniaga veteran, muda kekalkan 'budaya penjaja' S'pura

Dec 18, 2022 | 05:43 AM



PEMBUKAAN empat pusat penjaja baru tahun ini, dilengkapi ruang yang luas serta prasarana moden, dilihat mampu merancakkan lagi budaya penjaja di Singapura.



Selain menyediakan lebih banyak pilihan makanan yang dimampui untuk warga, sektor penjaja yang dinamik juga membuka peluang bagi penjaja - veteran dan juga golongan lebih muda - untuk memajukan perniagaan mereka.



Antara penjaja yang telah memanfaatkan peluang itu adalah Cik Normah Mohd, yang memutuskan untuk 'mencuba nasib' di salah satu pusat penjaja baru di Sengkang.



Ini selepas dua gerainya - yang dikendalikan di medan selera berbeza - terpaksa ditutup semasa tempoh pandemik.



Cik Normah, yang telah memulakan kerjayanya sebagai penjaja lebih 20 tahun lalu, memilih untuk membuka gerai Umi's Spices di Pusat Penjaja Fernvale, menjual pelbagai juadah termasuk nasi padang, mi soto, lontong dan 'kentang ball'.



"Pada pendapat saya, pusat penjaja baru ini ada potensi menarik lebih ramai penjaja, kerana sewanya biasa lebih rendah dari tempat lain.



"Tapi, penjaja juga perlu sedar ada juga cabaran lain, contohnya nak dapatkan pekerja tempatan biasanya agak sukar dan gaji mereka juga lebih tinggi," katanya yang berusia lewat 50-an tahun.



Ini merupakan kali pertama beliau mengendalikan gerai di pusat penjaja, memandangkan gerainya yang lain terletak di medan selera pusat beli-belah berbeza.



Selain Pusat Penjaja Fernvale, tiga lagi yang baru dibuka tahun ini adalah Pusat Penjaja OnePunggol, Pusat Penjaja Senja dan Pusat Penjaja Bukit Canberra.



Pusat penjaja baru juga berpeluang menjadi test bed atau wadah mencuba bagi mereka yang ingin menceburi sektor itu buat julung kalinya, kata anggota jawatankuasa Divisyen Penjaja Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS), Encik Samuel Tan.



Encik Tan, 37 tahun, yang tergolong di kalangan generasi penjaja muda, berkata antara sebab pusat penjaja menjadi pilihan adalah kerana modal yang diperlukan tidak terlalu banyak.



"Generasi penjaja yang lebih muda berpeluang memanfaatkan peluang yang tersedia dalam sektor penjaja sekarang, terutama sekali dengan pembukaan pusat-pusat penjaja baru," kata Encik Tan.



Namun, beliau akui golongan penjaja kini menghadapi tempoh yang sukar dengan kenaikan kos bahan mentah yang perlu ditampung.



"Isu kenaikan harga ini merupakan maklum balas yang kami terima dari hampir semua penjaja, tapi buat masa kini tak banyak yang dapat kita lakukan.



"Antara langkah yang boleh mereka ambil adalah untuk bersikap inovatif dan terus memikirkan cara baru yang terbaik (dalam menjual makanan mereka) dan terus cari sumber bahan alternatif yang lebih murah," ujarnya.



Golongan penjaja seperti Cik Normah dan Encik Tan memainkan peranan penting untuk terus menyemarakkan budaya penjaja yang juga membentuk sebahagian besar kehidupan di Singapura.



Di samping menjadi cerminan landskap kepelbagaian bangsa dan budaya di Singapura dan dilihat sebagai 'tempat makan masyarakat', ia juga sebahagian daripada strategi pemerintah untuk memastikan makanan kekal dimampui.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >