'Mencari Kristal' tahun ini bertemakan 'seram'

Tarikh tutup bagi menghantar karya ialah 31 Januari, 35 penulis terpilih berpeluang dapat bimbingan pakar penulisan tiga negara - S'pura, M'sia dan Indonesia

PERADUAN menulis cerpen menerusi program Mencari Kristal kini bermula.

Orang ramai mempunyai masa selama sebulan sehingga 31 Januari ini untuk melahirkan karya bertepatan tema 'Seram' yang diberikan bagi program kali kedua ini.

Pastikan cerpen yang dikirimkan nanti tidak melebihi 2,000 perkataan - sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Setiap karya yang dihantar perlu dikirim dengan menggunakan borang rasmi yang harus dimuatturun dari laman rasmi Mencari Kristal di https://www.beritaharian.sg/mencari-kristal/hantar-karya

Karya harus dikirimkan menerusi e-mel ke alamat disediakan iaitu - mencarikristal@sph.com.sg - sebelum 5 petang, 31 Januari 2019.

Karya yang dikirim selepas masa dan tarikh tersebut tidak akan dinilai.

Karya yang dikirim tanpa disertakan borang rasmi juga tidak akan dilayan.

Ini merupakan kali kedua program Mencari Kristal diadakan menerusi kerjasama Berita Harian (BH) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Program Mencari Kristal mula diperkenalkan pada 2016.

Seperti program pertama, konsep kali ini adalah serupa di mana sebanyak 35 karya terbaik dari keseluruhan penulis yang mengambil bahagian akan dipilih untuk mengikuti program bimbingan eksklusif oleh tokoh- tokoh penulisan dari tiga negara - Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Para pembimbing dari Singapura terdiri daripada sasterawan Suratman Markasan dan Cik Noridah Kamari; Dr Shamsudin Othman dan Dr Fahd Razy (Malaysia); dan Cik Ayu Utami dan Cik Laura Prinsloo (Indonesia).

Kesemua mereka ini adalah pemenang pelbagai hadiah sastera dan pakar dalam pelbagai genre penulisan kreatif.

Kesemua 35 penulis yang terpilih kelak bukan sahaja berpeluang menimba ilmu dan mendapat bimbingan pakar, bahkan pemahaman tentang trend penulisan dan soal penerbitan dan permintaan pasaran bagi buku-buku sastera kreatif di ketiga-tiga negara ini - sekali gus membuka peluang lebih luas bagi mereka untuk berkarya dan menembusi pasaran di negara-negara jiran.

Kesemua peserta yang terpilih itu kemudian diperlukan menghasilkan sebuah lagi cerpen menurut tema yang sama dan menerusi pusingan kedua ini, barisan pengadil akan memilih lapan karya terbaik, dengan karya terbaik menerima hadiah wang tunai bernilai $5,000 berserta piala.

Barisan juri yang akan menilai karya kali ini adalah serupa program terdahulu - terdiri daripada Cik Hanim Mohd Salleh, Encik Hamed Ismail, Encik Jamail Ismail, Encik Noor Effendy Ibrahim dan Encik Juffri Supa'at.

Kesemua mereka berpengalaman luas dalam bidang penulisan kreatif dan pemenang pelbagai hadiah sastera.

Peraduan menulis cerpen ini dalam bahasa Melayu ini terbuka kepada sesiapa sahaja, sama ada pelajar atau guru sekolah, suri rumah, karyawan, pesara, anggota Perkhidmatan Negara mahupun kakitangan awam.

Namun demikian, program ini hanya dikhususkan untuk warga Singapura dan Penduduk Tetap sahaja.

Ia sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai oleh Berita Harian dan NAC, yakni merangsang minat masyarakat dan pencinta bahasa Melayu untuk melahirkan karya- karya Melayu yang bermutu tinggi, di samping meningkatkan kesedaran penulis tentang peluang-peluang pengkaryaan dan pasaran sastera kreatif dan penulisan cereka Melayu di rantau ini.

Mengongsi harapannya untuk peraduan cerpen kali ini, ketua juri yang merupakan Penolong kepada Editor BH, Cik Hanim, ingin peserta memanfaatkan daya kreativiti mereka.

"Saya harap tafsiran kepada tema 'seram' ini dapat diterjemahkan dalam pelbagai pendekatan dan secara kreatif.

"Cubalah memberi kejutan kepada pembaca dan juri... dengan idea-idea segar dan sesuatu yang mungkin lari daripada kebiasaan.

"Saya harap peserta ada keberanian mencuba sesuatu yang baru tanpa keluar daripada batasan dan syarat-syarat penyertaan."


"Saya harap tafsiran kepada tema 'seram' ini dapat diterjemahkan dalam pelbagai pendekatan dan secara kreatif. Cubalah memberi kejutan kepada pembaca dan juri... dengan idea-idea segar dan sesuatu yang mungkin lari daripada kebiasaan. Saya harap peserta ada keberanian mencuba sesuatu yang baru tanpa keluar daripada batasan dan syarat-syarat penyertaan."
- Ketua juri yang merupakan Penolong kepada Editor BH, Cik Hanim Mohd Salleh.

Waktu Solat

Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
3 HR PSI: 9
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.