MENTERI Kewangan, Encik Lawrence Wong akan membentangkan Belanjawan 2022 di Parlimen pada 18 Februari tahun depan.
Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (30 Dis) berkata pembentangan Belanjawan 2022 akan disiarkan secara langsung melalui televisyen dan radio.
Siaran web langsung juga akan disediakan menerusi laman Belanjawan Singapura.
Selain itu, kenyataan penuh Belanjawan 2022 akan diterbitkan di laman tersebut selepas ia dibentangkan.
MOF menambah bahawa orang ramai boleh memperolehi kemas kini masa nyata bagi pengumuman utama Belanjawan menerusi akaun Facebook dan Twitter MOF.
“Kami terus mengalu-alukan pandangan dan saranan anda untuk Belanjawan 2022.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Singapura kerana memberikan pandangan mereka, sama ada dalam talian melalui laman mikro Belanjawan 2022 REACH dan juga kiosk maklum balas elektronik e-LP (tinjauan dalam talian).
“Anda boleh terus berbuat demikian sehingga Isnin, 17 Januari 2022, melalui laman web REACH.”
MOF turut berkata ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) dan pertubuhan-pertubuhan akar umbi melalui wadah pendampingan online Ask Kopi Kakis #shareyourviews untuk mendapatkan pandangan dan saranan orang ramai.
Justeru, orang ramai boleh memberikan maklum balas mereka melalui laman rasmi Belanjawan, laman Belanjawan REACH, Facebook serta Instagram unit maklum balas pemerintah itu.
“Kami terus mengalakkan rakyat Singapura untuk berkongsi pandangan dan saranan tentang isu-isu relevan dengan Belanjawan 2022,” tambah MOF.