Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Meski kecewa, warga faham perlu terus batas kegiatan sosial

Oct 22, 2021 | 05:30 AM



WALAUPUN faham tujuan dan keperluan melanjutkan sekatan Covid-19, ada warga Singapura tetap melahirkan rasa kecewa dengan langkah terkini pemerintah.



Mereka yang ditinjau Berita Harian, termasuk ibu bapa kepada anak-anak kecil dan golongan pekerja, meluahkan rasa tekanan kerana kegiatan sosial terus terbatas dan usaha mengimbangi tugasan di rumah terus mencabar.



Kelmarin, pemerintah mengumumkan langkah pengurusan selamat di bawah fasa kestabilan akan dilanjutkan sehingga 21 November, berbanding 24 Oktober. Ini termasuk had dua orang bagi semua perhimpunan sosial dan menjamu selera di luar.



Memberi pandangannya, Cik Nurul Jannah Samat, 29 tahun, berkata:



"Memang kecewa yang sekatan harus dilanjutkan lagi sebab sukar untuk saya bertemu dengan kawan-kawan atau ke rumah mereka.



"Pelanjutan ini juga bermakna syarikat saya mahu kami bekerja dari rumah sehingga notis lebih lanjut dan ini tidak mudah."



Menurut eksekutif itu, generasinya lebih selesa bekerja di pejabat agar mudah melaksanakan tugas dan lebih produktif.



"Apatah lagi, saya bekerja dengan pelajar, ia menjejas cara kami mendekati dan memastikan mereka tertumpu dalam kelas harian."



"Pada awalnya tidak mudah bekerja dari rumah sebab saya kerap bekerja hingga waktu malam atau hujung minggu tetapi sekarang saya dapat atur waktu kerja lebih baik."



Namun demikian, Cik Nurul Jannah akur pelanjutan langkah itu adalah perlu demi keselamatan rakyat khususnya mereka yang lebih terdedah kepada virus varian Delta.



Bersetuju, Encik Noor Irwan Rashid, 43 tahun, berkata masyarakat harus bersedia menerima langkah ini walaupun sudah tentu akan menjejas jadual biasa harian keluarganya.



Menurut bapa sembilan anak itu: "Waktu kerja dan keluarga perlu disesuaikan mengikut peraturan yang terkini. Jika tidak dapat melawat anggota keluarga lain, kami akan berhubungan menerusi cara lain.



"Tentunya keadaan tidak sama, tetapi yang penting kita semua kena sesuaikan diri. Sekatan ini sudahpun terlaksana lebih setahun jadi sudah menjadi norma baru untuk kami," ujar pengurus kemudahan itu.



Encik Noor Irwan juga percaya masyarakat harus memainkan peranan dalam menstabilkan keadaan dan bersimpati dengan pekerja barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja semasa pndemik.



"Risiko menyebarkan penyakit lebih buruk jika tidak duduk rumah.



"Kami masih boleh hiburkan hati bila di rumah, misalnya, mengambil 'percutian secara maya' dengan menonton dokumentari pelancongan!" kata beliau.



Penyesuaian dalam jadual harian juga akan terus dibuat oleh warga emas setempat, seperti Cik Suhana Surni, 65 tahun.



Menyambut baik langkah pemerintah, pegawai perkhidmatan awam itu berpendapat pelanjutan langkah itu akan melindungi mereka yang tidak dapat mengambil vaksin.



"Apabila kes melonjak, ini agak menakutkan sebenarnya. Meskipun saya sudah mendapat vaksin sepenuhnya, saya masih duduk di rumah sahaja semasa tempoh ini.



"Disebabkan saya kurangkan masa di luar, ketiga-tiga anak saya akan bergilir-gilir datang untuk menjenguk saya. Walaupun tidak dapat berjumpa secara keluarga besar, saya masih bersyukur," ujar nenek lima cucu yang kini biasa bertugas di rumah.



Sebagai ibu kepada anak kecil berusia dua tahun dan pekerja penjagaan kesihatan, Cik Nurwani Osman menganggap langkah itu perlu demi keselamatan dan kesihatan semua.



Ekoran anaknya yang kecil, mereka sekeluarga juga kini jarang keluar.



"Kalau keluar pun, kami akan ke pantai atau berbasikal, kerana ia tidak mendedahkan kepada kontak dekat seperti di pusat beli-belah.



"Sebagai pekerja dalam industri jagaan kesihatan, malahan, saya rasa perlunya untuk memastikan diri terlindung sebelum pulang ke rumah," tambahnya yang hanya mengunjungi keluarga terdekat seperti ibu bapa.



Pada masa yang sama, beberapa pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan meluahkan rasa keletihan dan tekanan dengan keadaan semasa.



Seorang yang ingin dikenali sebagai Encik Najiba berkata disebabkan pesakit Covid-19 yang bertambah dan tenaga kerja tidak mencukupi, maka tugasan tidak putus-putus.



"Secara mental, memang kami rasa begitu penat. Banyak kerja tetapi pekerja tidak cukup.



"Kami hanya harapkan sokongan dari segi lebih banyak hari cuti dan hari pelepasan kerja serta gaji yang memadai," terang beliau.



Memberi panduan meredakan tekanan akibat pandemik ini, Presiden dan pengasas Kelab Heal, Dr Radiah Salim berkata:



"Tekanan dan keresahan boleh menjejas fikiran, perasaan dan tingkah laku seperti rasa bimbang berlebihan, sukar tidur, kurang tumpuan, mudah marah dan kejang otot.



"Justeru, kita perlu jaga diri menerusi beberapa strategi.



"Misalnya, bicara positif pada diri, elakkan daripada orang atau benda negatif, amalkan tabiat yang sihat dan melihat kelucuan di sebalik setiap situasi," nasihatnya.



Dr Radiah juga mengesyorkan mereka yang memerlukan bantuan lanjut, agar melakukannya seawal mungkin - seperti daripada doktor keluarga atau badan kebajikan yang menyediakan khidmat kaunseling seperti Kelab Heal dan pusat khidmat keluarga.



- Laporan tambahan NATASHA MUSTAFA




"Tentunya keadaan tidak sama, tetapi yang penting kita semua kena sesuaikan diri. Sekatan ini sudahpun terlaksana lebih setahun jadi sudah menjadi norma baru untuk kami.



Risiko menyebarkan penyakit lebih buruk jika tidak duduk rumah. Kami masih boleh hiburkan hati bila di rumah, misalnya, mengambil 'percutian secara maya' dengan menonton dokumentari pelancongan!"
- Encik Noor Irwan Rashid, pengurus kemudahan yang juga bapa sembilan orang anak.



"Apabila kes melonjak, ini agak menakutkan sebenarnya. Meskipun saya sudah mendapat vaksin sepenuhnya, saya masih duduk di rumah sahaja semasa tempoh ini."
- Cik Suhana Surni, 65 tahun, pegawai perkhidmatan awam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >