Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MHA tolak 'alasan lemah' Branson enggan bahas mengenai hukuman mati

Nov 06, 2022 | 05:30 AM



ALASAN yang diberikan jutawan Britain, Encik Richard Branson, untuk menolak pelawaan Singapura bagi satu perbahasan secara langsung di televisyen mengenai hukuman mati tidak boleh diterima, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam.



"Bercakap seolah-olah serba tahu dari jauh, dan kemudian mengelak perbincangan serius apabila dicabar, tidak menunjukkan sebarang rasa hormat sama ada untuk prinsip, mahupun untuk orang-orang yang beliau dakwa memperjuangkan kesejahteraan mereka," katanya.



MHA membalas setiap dakwaan Encik Branson dengan salah satunya ialah perbahasan di televisyen akan mengurangkan "wacana yang dibincangkan menjadi rakaman pendek", dengan kementerian itu menyatakan bahawa tiada cadangan dibuat bahawa beliau hanya perlu melibatkan diri dalam rakaman pendek.



Pemerintah Singapura menawarkan perbahasan itu untuk memberi Encik Branson "setiap peluang untuk menjelaskan dirinya sepenuhnya", dan beliau akan dapat mengemukakan pandangannya, katanya.



MHA menambah: "Kami hanya boleh mengagak bahawa Encik Branson menyedari bahawa beliau akan didedahkan, kerana apa yang beliau katakan tentang Singapura adalah tidak benar.



"Keinginan tiba-tiba Encik Branson untuk tidak terlibat dalam rakaman pendek adalah bertentangan dengan rakaman pendek dan dakwaan luas yang tidak berasas yang beliau buat dalam catatan blognya."



Usahawan itu, yang mengasaskan syarikat Virgin Group, Isnin lalu menolak pelawaan Singapura untuk menyertai satu perbahasan secara langsung di televisyen dengan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.



MHA pada 22 Oktober lalu berkata ia telah menjemput Encik Branson ke perbahasan sedemikian, dalam satu kenyataan di mana ia juga menyangkal salah satu catatan blog beliau yang mengatakan pemerintah Singapura "seolah-olah cenderung menghukum bunuh ramai pengedar dadah kecil-kecilan, kebanyakannya anggota kaum minoriti miskin, kurang bernasib baik".



Encik Branson pada Isnin lalu juga mencadangkan agar pemerintah mendampingi warga Singapura - dan bukannya beliau - dalam perbincangan berkaitan hukuman mati.



Menyentuh perkara ini, MHA semalam berkata ia telah melakukannya secara meluas. Ini termasuk perbincangan dengan ribuan warga Singapura pada tahun ini sahaja, dan di Parlimen oleh Anggota Parlimen beberapa kali dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Kementerian itu menambah bahawa Ketua Pembangkang telah bersetuju bahawa di Singapura, hukuman mati adalah perlu.



Warga Singapura sangat menyokong hukuman mati, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa satu kajian menunjukkan 74 peratus menyokong hukuman sedemikian dikenakan bagi jenayah paling serius, manakala kajian lain mendapati 80 peratus bersetuju ia menghalang jenayah seperti pengedaran dadah, kesalahan senjata api dan pembunuhan.



"Tawaran pemerintah untuk berbahas dengan Encik Branson adalah tambahan kepada pendampingan berterusannya dengan warga Singapura. Beliau telah menyebarkan kepalsuan secara terbuka mengenai Singapura, menggunakan status selebritinya untuk berkempen bagi mengubah kedudukan Singapura," kata MHA.



Kementerian itu berkata: "Jika fakta beliau salah, adalah penting perkara ini didedahkan secara terbuka. Jika Encik Branson yakin beliau betul, beliau harus menerima tawaran perbahasan kami, dan tidak menawarkan alasan yang lemah untuk menarik diri."



Merujuk bagaimana Encik Branson telah menukil beberapa orang dan pertubuhan yang pemerintah sepatutnya dampingi, MHA menegaskan bahawa bukan untuk Encik Branson memberitahu pemerintah dengan siapa ia harus dampingi di sini.



Mengenai cadangan Encik Branson supaya Singapura mengkaji pelajaran dari negara lain, MHA berkata pemerintah sudah melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, Britain, Eropah dengan kadar penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan dadah yang tinggi, dan banyak nyawa yang terkorban serta keluarga yang musnah.




"Bercakap seolah-olah serba tahu dari jauh, dan kemudian mengelak perbincangan serius apabila dicabar, tidak menunjukkan sebarang rasa hormat sama ada untuk prinsip, mahupun untuk orang-orang yang beliau dakwa memperjuangkan kesejahteraan mereka... Kami hanya boleh mengagak bahawa Encik Branson menyedari bahawa beliau akan didedahkan, kerana apa yang beliau katakan tentang Singapura adalah tidak benar."
- Kenyataan MHA mengenai jutawan Britain, Encik Richard Branson (gambar), yang menolak pelawaan berbahas mengenai isu hukuman mati di negara ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >