KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) sedang menyiasat satu kes yang disyaki kejadian buli di dalam kelas di Sekolah Menengah Shuqun di Jurong East.
Satu klip video 52 saat kejadian itu disiarkan kali pertama di laman Facebook All Singapore Stuff pada pagi Isnin (21 Sep).
Tidak jelas bila ia berlaku.
Video tersebut menunjukkan seorang pelajar lelaki memukul kepala rakan sekelasnya berulang kali dengan kedua-dua tangan. Dia kemudian menggunakan buku untuk memukul kepala mangsa, sebelum melakukan perkara sama ke atas seorang lagi rakan sekelasnya.
Kedua-dua mangsa tidak membalas. Seorang lagi pelajar lelaki dilihat menari di atas meja guru semasa kejadian itu.
Sebagai respons kepada pos ke laman Facebook kementerian itu agar ia menyiasat perkara tersebut, MOE berkata ia menyedari kejadian itu dan sedang menyiasat.
Difahamkan sekolah itu juga sedang menyiasat dan satu kes buli disahkan mungkin telah berlaku.