Dalam dua tahun kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan (MOH) telah menerima sekitar 14,000 rayuan untuk pertukaran status kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) mereka.
Tiga dalam empat daripada mereka yang membuat rayuan berjaya menukar status kad mereka.
Demikian didedahkan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam di Parlimen pada Selasa.
“MOH mempertimbangkan semua rayuan berdasarkan kes untuk menilai kemampuan dan keadaan pemohon, dan bukan setakat melihat pada kriteria kelayakan pendapatan isi rumah per kapita atau nilai tahunan rumah mereka,” kata beliau.
Beliau menjawab soalan yang diajukan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast) yang bertanya sama ada kriteria pendapatan bagi kad Chas biru dan jingga akan ditingkatkan disebabkan inflasi baru-baru ini.
Cik Rahayu berkata MOH sentiasa menyemak kelayakan pendapatan dan tahap potongan bayaran untuk skim subsidi penjagaan kesihatan.
Kedua-dua tahap subsidi serta kriteria pendapatan Chas kali terakhir disemak pada 2019, tambahnya.
Bermula awal 2024 pula, pemegang kad Chas boleh meraih manfaat daripada Peringkat Kronik SG Lebih Sihat atau ‘Healthier SG Chronic Tier’, jika mereka mendaftar dengan klinik perubatan awam SG Lebih Sihat.
Encik Ang dalam soalan susulannya berkata semakan terakhir pada 2019 adalah sebelum pandemik Covid-19 dan inflasi masih rendah.
“Adakah MOH akan mempertimbangkan mengambil kira indeks inflasi.. dalam kriteria pendapatan bagi kad Chas?” tanya beliau.
“Kami akur keadaan sudah berubah setelah pandemik. Oleh itu, kami akan mempertimbangkan cadangan anda serta maklum balas yang telah diberikan dalam hal ini.
“Kami melihatnya secara menyeluruh termasuk... semua indeks inflasi yang berbeza dalam penilaian kami terhadap semakan yang dilakukan,” jelas Cik Rahayu.