MSF lancar talian bantuan 24 jam tangani keganasan keluarga
KEMENTERIAN Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) melancarkan talian bantuan bersepadu 24 jam yang pertama buat orang awam melaporkan kes keganasan keluarga serta kes lain melibatkan penderaan dan kecuaian.
Talian Bantuan Antikeganasan Nasional (NAVH) ini memastikan anda tidak perlu menggunakan pelbagai talian bantuan untuk melaporkan bermacam kes dera dan cuai.
Talian NAVH ialah 1800-777-0000. Ia beroperasi sepanjang masa dan sepanjang tahun bagi membolehkan mangsa keganasan dan penderaan mendapatkan bantuan.
Orang awam dan karyawan juga boleh menghubungi talian bantuan ini bagi melaporkan kes dera yang disyaki atau membuat pertanyaan umum.
Talian bantuan ini dikendalikan pegawai khidmat langganan DHL dan karyawan khidmat sosial dari Montfort Care yang menyediakan sokongan mengikut keperluan pelanggan seperti menilai tahap kes tersebut, menyediakan sokongan psikososial dan merujuk setiap pemanggil kepada saluran dan agansi yang sewajarnya.
Pegawai khidmat langganan DHL menjalani latihan seminggu bersama Khidmat Pelindungan Kanak-Kanak dan Khidmat Pelindungan Orang Dewasa MSF bagi memahami bagaimana memberi respons kepada mangsa keganasan keluarga.