Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis arah henti dua produk makanan laut

Jan 30, 2021 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengarahkan pemegang sijil halalnya berhenti menggunakan dua produk makanan laut yang didakwa mengandungi DNA babi dengan serta-merta.



Dalam surat yang dihantar kepada pemegang sijil halal dan dilihat Berita Harian (BH) semalam, Muis berkata produk 'Li Chuan Fish Ball' dan 'Li Chuan Cuttlefish Ball' didapati mengandungi DNA babi oleh Kementerian Ehwal Keagamaan Brunei, yang telah memberi amaran supaya produk-produk itu dikeluarkan dari pasaran.



Muis juga mengarahkan semua pemegang sijil halalnya yang telah membeli produk-produk berkenaan "berhenti menggunakannya dengan serta-merta".



Produk yang terjejas ialah 'Li Chuan Fish Ball' (beku dan sejuk) dengan tarikh luput 9 Jun 2022 dan 7 Oktober 2022; serta 'Li Chuan Cuttlefish Ball' (beku dan sejuk) dengan tarikh luput 9 Jun 2022.



Ia dihasilkan oleh Li Chuan Food Products Pte Ltd, pemegang sijil halal Muis.



Dihubungi semalam, jurucakap syarikat tersebut berkata pihaknya sedar akan hal tersebut dan sedang bekerjasama dengan Muis dalam siasatannya.



Menurut beliau, syarikatnya itu mengeksport produk mereka ke Brunei tetapi produk tersebut dibungkus semula oleh sebuah syarikat tempatan di sana yang bukan di bawah naungan syarikat tersebut.



"(Kelmarin) Muis dan SFA (Agensi Makanan Singapura) telah ke sini dan mereka sedang menyiasat isu tersebut.



"Kami pun sedang menunggu laporan Muis, mungkin minggu hadapan kami akan terima hasil laporan itu dan akan memaklumkan pelanggan kami," ujar jurucakap itu lagi.



"Kami mengesahkan bahawa tidak ada bahan babi yang digunakan dalam produk kami itu.



"Tetapi Muis mengesyorkan agar kami berhenti mengeluarkan produk ini buat masa ini, jadi kami telah hentikan buat sementara waktu," kata jurucakap tersebut.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Muis berkata ia mula menyiasat sebaik sahaja diberitahu mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa di Brunei pada Isnin lalu.



Pegawainya telah melakukan pemeriksaan di loji penghasilan syarikat tersebut pada 27 Januari, dan mengambil contoh produk yang terjejas untuk diuji di makmal yang diiktiraf, kata Muis.



"Muis akan memastikan langkah susulan yang sewajarnya selepas siasatan lengkap," ujar kenyataan itu, yang turut berkata Li Chuan telah menarik keluar produk terjejas dari pasaran setempat dan berhenti mengeksportnya.



Memberi butiran lanjut bagaimana pihak berkuasa di Brunei mengesan DNA babi dalam produk tersebut, Muis berkata amalan pemeriksaan pensijilan halal di negara itu berbeza dengan amalannya dan pihak berkuasa di Brunei melakukan ujian DNA sampel rambang dalam rutin ujiannya.



Sebaliknya, Muis tidak berbuat demikian dan menguji sampel produk makanan berisiko tinggi seperti daging dan produk berasaskan daging.



Ia melakukan perkara ini dengan memberi tumpuan pada bahan yang digunakan, proses pengeluaran dan penyediaan, tempat (pengeluaran) dan rekod pematuhan, seperti sijil halal bagi bahan berasingan, kata Muis.



Menurut Muis, buat masa ini, ia tidak melakukan ujian DNA babi secara rutin dalam prosesnya "kerana kami berpendapat bahawa ujian DNA harus dilakukan hanya jika ada pemahaman dan rangka kerja yang kuat, yang disepakati oleh para ulama dan pakar".



Namun Muis berkata akan terus memantau perkembangan teknologi ujian DNA babi dan menilai sama ada ia wajar disertakan dalam proses pensijilan halal di sini.



Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Konsultan Utama HalalHub Consultants, Ustaz Azmi Abdul Samad, ketika dihubungi BH berkata, syarikatnya telah mengeluarkan nasihat kepada semua klien mereka berkaitan isu tersebut.



Beliau tidak dapat memberikan bilangan klien yang terjejas, tetapi menganggarkan bilangannya 'agak banyak' kerana Li Chuan adalah syarikat yang terkemuka.



Ustaz Azmi menggesa semua pihak berkepentingan mengambil langkah berwaspada sementara siasatan Muis masih dijalankan.



Insiden produk yang didakwa mengandungi DNA babi ini hangat diperbualkan di dalam talian semalam.



Muis, dalam kenyataannya berkata: "Muis sedar bahawa terdapat mesej-mesej yang dihantar melalui pelbagai platform media sosial berkenaan isu ini. Kami menyeru masyarakat untuk mengelak daripada membuat spekulasi sehingga siasatan selesai."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >