Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Muis sudah keluarkan lebih 30 fatwa berkaitan ajaran sesat, amalan meragukan

Rencana
33
0

Muis sudah keluarkan lebih 30 fatwa berkaitan ajaran sesat, amalan meragukan

Tuduhan sesat 'berat', perlu bukti kukuh: Dr Fatris, anggota jawatankuasa fatwa
Dec 06, 2020 | 05:30 AM

JAWATANKUASA Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan lebih 30 fatwa berkaitan ajaran sesat atau meragukan serta amalan menyeleweng.

Ini sepanjang tempoh lebih 50 tahun sejak Muis ditubuhkan pada 1968.

Sedang ada yang difatwakan sebagai terang-terang sesat, ada yang mungkin tidak sampai sesat tetapi berbahaya atau mengelirukan.

Apapun, proses memutuskan apakah sesuatu ajaran itu sesat memerlukan bukti yang kukuh kerana tuduhan itu adalah sesuatu yang berat, kata mantan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang juga anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis.

PERLU BUKTI KUKUH

"Tuduhan sesat ke atas seorang individu, ajaran atau kumpulan meninggalkan implikasi yang berat.

"Dari itu, proses yang dilalui Jawatankuasa Fatwa untuk menetapkan sesuatu ajaran sebagai jelas-jelas sesat, juga merupakan proses yang ketat.

"Ia memerlukan bukti yang tidak dapat dinafikan, bukti yang dengan jelas mengaitkan sesuatu ajaran dengan guru tersebut, sama ada melalui penulisan, ataupun rakaman audio serta video yang jelas," kata Dr Fatris untuk menjawab pertanyaan Berita Harian/Berita Minggu.

Beliau mempengerusikan jawatankuasa fatwa Muis semasa menyandang jawatan Mufti selama sembilan tahun hingga beliau mengundur diri pada Mac tahun ini.

Penyebaran ajaran sesat mendapat perhatian baru-baru ini setelah timbul laporan mengenai seorang lelaki yang didakwa menyeleweng dan mengaku menjadi nabi.

Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dikatakan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita.

Muis sedang bekerjasama dengan agensi relevan untuk melakukan siasatan terperinci terhadap perkara ini, dan telah meminta orang ramai tampil memberi bahan bukti selewat-lewatnya pada 11 Disember.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat sebelum ini ialah ajaran Madrasah Faiz al-Baqarah pada 2010, yang mengaku menerima wahyu serta ilham daripada Tuhan.

"Dakwaan sedemikian adalah berbahaya kerana ia kadang kala mengandungi arahan ataupun panduan agama. Maka melaluinya diubahsuai beberapa tatatertib pelaksanaan ibadah seperti solat, ataupun mengubahsuai beberapa hukum-hakam agama. Yang haram boleh menjadi halal dan sebaliknya," kata Dr Fatris.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Banyak ajaran sesat disebar secara bersembunyi menjadikannya sukar untuk dikesan, "lebih-lebih lagi sekiranya terdapat pengikut-pengikutnya yang fanatik dengan gurunya, serta tidak ingin berkongsi maklumat serta bukti yang kukuh", kata Dr Fatris lagi.

Sebahagian ajaran sesat yang lain pula kerap membuat ramalan, seperti bila berlakunya kiamat, ataupun malapetaka serta bencana yang tertentu yang bakal menimpa sesiapa yang tidak mengikutinya.

"Segalanya bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai, serta menambahkan jumlah pengikutnya.

"Tambahan dari ini, sejauh pengamatan saya, antara ciri yang amat ketara yang terdapat pada pelbagai ajaran sesat ialah elemen pengawalan terhadap kehidupan pengikut-pengikutnya, seperti tidak boleh bergaul melainkan dengan anggota sendiri, tidak boleh bernikah, berurusan dan sebagainya melainkan dengan sesiapa yang dibenarkan guru.

"Tiada di dalam agama ini keterbatasan yang sedemikian rupa. Nabi saw dan para sahabat, semakin kuat beragama, semakin erat pertaliannya sesama keluarga dan juga dengan anggota masyarakat sekeliling Baginda," kata Dr Fatris.

TAK SESAT TETAPI BERBAHAYA

Tetapi ada juga yang tidak sampai sesat tetapi mempunyai unsur yang berbahaya, tambahnya.

"Saya menyaksikan beberapa situasi, di mana walaupun Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa sesuatu ajaran bukanlah sesat, akan tetapi terdapat beberapa elemen pada ajarannya yang meragukan, ataupun boleh disalah faham oleh masyarakat.

"Ketika itu, Jawatankuasa Fatwa tetap akan mengeluarkan fatwa terhadap ajaran tersebut. Bukan menghukumnya sebagai sesat, tetapi menetapkannya sebagai ajaran yang berbahaya serta tidak boleh disebarkan," ujar Dr Fatris.

DIUAR-UARKAN KEPADA MASYARAKAT

Jawatankuasa Fatwa dan pihak Muis kemudian akan bekerjasama dengan pihak media untuk menguar-uarkan dapatan mengenai mana-mana ajaran sesat.

Sedang ada fatwa yang dimaklumkan kepada masyarakat, dan sebahagian yang lain pula merupakan fatwa khas sebagai menjawab pertanyaan oleh pihak tertentu, dan mungkin tidak diuar-uarkan kepada masyarakat.

Terdapat juga buku yang diterbitkan, seperti buku Noktah Hitam hasil karya Allahyarham Ustaz Embek Ali dan diterbitkan Muis dan Perdaus.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3