Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

NMP Samad mahu ketengah gaji asatizah

May 16, 2023 | 05:30 AM



DENGAN tinggal kurang tiga bulan sebelum tanggungjawabnya sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) tamat secara rasmi, Encik Abdul Samad Abdul Wahab berharap masih ada masa untuknya mengetengahkan satu lagi isu: gaji asatizah.



Beliau yang mula berkhidmat sebagai NMP pada 2021 akur membincangkan isu tersebut membuatnya "sangat bersemangat".



"Gaji mereka (asatizah) tidak setimpal dengan para graduan. Siapa yang harus ke depan menyokong mereka?" ujar Encik Samad, yang juga Naib Presiden NTUC.



Menurut Encik Samad, beliau akur beberapa usaha awal sudah dilakukan, namun beliau berharap dapat menyumbang kepada usaha seterusnya.



"Saya pun tahu ini merupakan keseluruhan ekosistem, pihak berkuasa perlu mainkan peranan tapi kita sebagai masyarakat pun harus ubah fikiran tentang asatizah.



"Para asatizah kita sangat kurang dibayar, jadi usah kita elak daripada hal ini," ujar Encik Samad, 51 tahun.



Isu pekerja, 'orang biasa' pembakar semangat Abdul Samad



Naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu menambah bahawa sehingga hari ini, para asatizah masih belum diwakili kesatuan.



Model asas kesatuan biasanya berkisar hubungan pekerja dan majikan, namun, ramai asatizah merupakan pekerja bebas.



"Dalam kesatuan kami juga mempunyai model bagi pekerja bebas, tapi saya rasa kami harus lihat bagaimana cara terbaik mewakili mereka (asatizah)," kata beliau.



Ditemui di pejabat Kesatuan Pekerja Gas dan Kuasa (Upage) di Perak Road bagi temu bual eksklusif dengan Berita Harian, Encik Samad berkongsi tentang peranannya yang sama sekali tidak dijangka di dalam kesatuan mahupun di Parlimen.



Mengapa beliau memilih menjadi ketua kesatuan merupakan "soalan cepu emas" baginya kerana beliau "tak pernah pilih jadi ketua kesatuan, sejujurnya".



Bahkan, selama enam tahun sejak mula bertugas di syarikat pembekal utiliti SP Group pada 1995, beliau pun tidak pernah tergerak menyertai kesatuan pekerjanya.



"Tiga tahun setelah saya jadi anggota (kesatuan), kawan-kawan kerja cakap 'Eh, Mad, kau jadi leader lah'.



"Saya tak nak sebab pada waktu itu dah ada ketua pun, tapi mereka nak saya juga, jadi itulah, mereka lah puncanya," seloroh beliau.



Begitu juga dengan pelantikan beliau sebagai NMP - sesuatu yang beliau "masih tak percaya".



"Sebab pertama, saya ini tak ada kelayakan dari segi kelayakan kertas, saya tak ada ijazah," katanya yang lulus daripada Politeknik Singapura dengan Diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal.



"Jadi saya terkejut (apabila dilantik), tapi ia memberi sejenis pengiktirafan... lagi-lagi dalam sejarah NTUC, saya merupakan NMP Melayu pertama.



"Saya yakin, kita tidak perlu tempoh yang lama selepas ini untuk orang Melayu seterusnya daripada NTUC menjadi NMP," ujar Encik Samad.



Menceritakan pengalamannya di Parlimen, beliau berkata NMP juga disediakan dengan peluang untuk mendapatkan bantuan menulis ucapan yang akan disampaikan.



Namun, beliau lebih selesa menulis ucapan-ucapannya sendiri. Katanya:



"Pada saya, bahasa yang saya gunakan mesti mewakili orang awam biasa, bukan orang-orang atasan.



"Bagi saya, sebagai NMP, saya mewakili pekerja, saya mesti bercakap sepertimana pekerja biasa yang ada dalam masyarakat bercakap."



Sepanjang temu bual dengan bapa tiga anak itu, amat jelas semangatnya berjuang bagi golongan pekerja.



Itu antara sebabnya beliau sering membangkitkan isu golongan berpendapatan sederhana yang pada pendapatnya patut diberi lebih banyak sokongan.



"Golongan berpendapatan rendah - mereka sudah sangat banyak menerima sokongan... tapi golongan pendapatan sederhana ini yang banyak menderita.



"Kebelakangan ini kita lihat pemerintah mula memberi lebih sedikit kepada golongan berpendapatan sederhana rendah (lower middle), tapi saya fikir mereka tidak patut membahagi-bahagikan golongan berpendapatan sederhana kepada tinggi atau rendah," ujarnya.



Jika diberi lebih banyak masa, Encik Samad berkata beliau juga mahu mengetengahkan isu ketidaksamaan pendapatan.



Bermula di pihak majikan, apakah jurang gaji antara lembaga pengarah, pihak pengurusan utama dengan tenaga kerja syarikat?



Pastinya akan ada jurang, tetapi jurang itu tidak boleh terus melebar.



"Kalau mereka rasa mahu ada 20 peratus perbezaan, misalnya, sepatutnya perbezaan dikekalkan pada tahap itu.



"Ini tidak, jurangnya terus melebar, bila ada masalah, baru datang balik (perkecilkan jurang), selepas itu ia melebar semula," jelasnya.



Dalam pada itu, menyentuh tentang pekerja Melayu khususnya, Encik Samad berkata ramai dalam kalangan masyarakat kita boleh mencapai kejayaan jauh lebih tinggi daripada apa yang difikirkan.



Namun, terdapat keperluan bagi ramai orang Melayu di sini mengubah cara pemikiran mereka, katanya.



"Kita Melayu ni senang bersyukur. Bagus, bersyukur, bukan tak bagus, tapi masalahnya apabila kita tidak bercita-cita untuk mencapai lebih lagi.



"Apabila kita tidak bercita-cita lebih dan kita tak dapat lebih, kita mengadu.



"Saya lihat ramai pekerja Melayu kita yang mampu melakukan jauh lebih baik, tapi mereka tak nak, kemudian mereka kata 'ini tak adil lah, orang tak pandang lah sebab kita Melayu'.



"Walhal, kita mampu melakukan lebih daripada apa yang kita fikir kita mampu," ujar beliau, yang bakal menamatkan penggalnya sebagai NMP pada Julai 2023.




"Kita Melayu ni senang bersyukur. Bagus, bersyukur, bukan tak bagus, tapi masalahnya apabila kita tidak bercita-cita untuk mencapai lebih lagi.
Apabila kita tidak bercita-cita lebih dan kita tak dapat lebih, kita mengadu.
Saya lihat ramai pekerja Melayu kita yang mampu melakukan jauh lebih baik, tapi mereka tak nak, kemudian mereka kata 'ini tak adil lah, orang tak pandang lah sebab kita Melayu'.
Walhal, kita mampu melakukan lebih daripada apa yang kita fikir kita mampu."
- Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang juga Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >