Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ISU RUANG UDARA-LAUT S’PURA-MALAYSIA

Soal jawab dalam penyelesaian pertikaian maritim

Dec 15, 2018 | 05:30 AM



Dalam perkembangan baru pertikaian antara Singapura dan Malaysia, republik ini kelmarin mengambil langkah memastikan tiada tindakan akan diambil secara sehala dalam perbalahan maritim dengan negara jirannya itu. Ini sedang Singapura mahu menyelesaikan pertikaian itu melalui rundingan terlebih dahulu. Berita Harian meneroka persoalan di sebalik langkah itu, dan mengimbas beberapa perkara asas dalam isu tersebut.




KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) Singapura kelmarin berkata republik ini telah memfailkan pengisytiharan di bawah perjanjian antarabangsa untuk memastikan tiada pihak - termasuk Singapura dan jiran-jirannya - secara sehala memulakan timbang tara pihak ketiga atau penghukuman pertikaian sempadan maritim yang melibatkan negara ini.



Singapura memfailkan perisytiharan itu di bawah Artikel 298 (1)(a) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) pada Rabu lepas.



Sekiranya penyelesaian tidak dapat dicapai melalui perundingan, pihak-pihak perlu saling bersetuju tentang forum untuk berusaha menghuraikan perselisihan mereka dan isu yang akan diputuskan, kata jurucakap MFA.



Berikut antara beberapa persoalan utama mengenai keputusan itu, dan bagaimana pertikaian sempadan maritim dahulu diselesaikan.



Soalan (S): Apakah Unclos dan apa kepentingannya?



Jawapan (J): Unclos, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Undang-Undang Laut, mentadbir semua aspek penggunaan lautan dunia dan sumbernya. Sebanyak 168 pihak telah mengesahkan konvensyen itu, yang merupakan salah satu daripada beberapa perjanjian antarabangsa yang dipatuhi dan diamalkan hampir semua negara.



Antaranya, ia mengimbangi kepentingan negara pantai dan juga kepentingan masyarakat antarabangsa dalam tidak menghalang kapal yang menggunakan laluan untuk pelayaran antarabangsa.



S: Mengapakah Singapura memfailkan pengisytiharan Artikel 298(1)(a)?



J: Singapura percaya pertikaian sempadan maritim paling baik diselesaikan melalui rundingan untuk mencapai penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak, kata jurucakap MFA.



S: Mengapakah Singapura lebih suka menyelesaikan pertikaian sempadan maritim melalui rundingan terlebih dahulu?



J: Menghuraikan sempadan maritim melalui rundingan membolehkan pihak-pihak mencapai keputusan yang boleh diterima oleh mereka bagi jangka panjang, kata jurucakap MFA.



S: Adakah pengisytiharan ini dilihat sebagai kelemahan komitmen Singapura terhadap penimbangtaraan atau pengadilan?



J: Singapura tidak mengubah pendiriannya dalam penyelesaian pertikaian pihak ketiga, kata jurucakap MFA. Malah, nota diplomatik Singapura kepada Malaysia pada 8 Disember lalu menyatakan jika perbincangan tidak menghasilkan penyelesaian yang baik, pemerintah Singapura bersedia bagi isu pelabuhan Johor Bahru itu untuk diselesaikan menerusi tatacara penyelesaian pertikaian pihak antarabangsa ketiga.



S: Apakah antara tatacaranya?



J: Apabila sebuah negara menandatangani Unclos, ia bersetuju terlebih dahulu terhadap sistem penyelesaian pertikaian wajib yang boleh memberikan keputusan yang muktamad dan mengikat. Unclos memberikan setiap pihak pilihan untuk melalui timbang tara, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Tribunal Undang-Undang Kelautan (Itlos). Jika sebuah negara gagal membuat pilihan, ia dianggap telah memilih timbang tara.



S: Bolehkah negara-negara secara sehala memohon timbang tara?



A: Di bawah Unclos, Negara A tidak perlu mendapatkan persetujuan Negara B sebelum merujuk pertikaian mereka kepada timbang tara, jika tiada pihak memfailkan pengisytiharan di bawah Artikel 298(1)(a).



Ini sebabnya Malaysia mampu memulakan prosiding timbang tara di bawah Unclos terhadap Singapura pada 4 Julai 2003, tanpa persetujuan Republik ini, mengenai kerja penambakan tanah di Pulau Tekong dan Tuas.



Malaysia mendakwa kerja sedemikian menjejas wilayahnya, dan , antara lain menyebabkan pencemaran dan bahaya lain terhadap sekitaran laut di Selat Johor. Ia kemudian memohon kepada Itlos pada 5 September 2003 bagi melaksanakan langkah sementara untuk menghentikan kerja penambakan tanah Singapura sementara menunggu hasil timbang tara.



Pada 8 Oktober 2003, Itlos menolak permintaan Malaysia. Ia meminta kedua-dua pemerintah menubuhkan sekumpulan pakar bebas untuk melakukan kajian, menentukan kesan penambakan tersebut dan mencadangkan langkah yang sesuai untuk menangani kesan buruk.



Kedua-dua negara menandatangani perjanjian penyelesaian untuk menghuraikan perkara tersebut pada 26 April 2005.



Penambakan Tekong diteruskan dengan perubahan kecil dan pemantauan ekologi.



Q: Bagaimana pula dengan kes Pedra Branca?



J: Malaysia membuat tuntutan ke atas pulau itu pada Disember 1979 apabila ia menerbitkan satu peta baru perairan wilayahnya dan sempadan rantau benua. Singapura membantah peta itu pada Februari 1980.



Republik ini pertama kali mencadangkan untuk mengemukakan pertikaian itu kepada ICJ pada tahun 1989. Malaysia menerima saranan ini pada 1994. Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian khas itu pada 6 Febuari 2003, untuk meminta mahkamah menyelesaikan masalah mengenai siapa yang memiliki kedaulatan ke atas Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.



Dalam keputusannya pada 23 Mei 2008, ICJ menganugerahkan Pedra Branca kepada Singapura, Middle Rocks kepada Malaysia dan berkata South Ledge, pembentukan batuan yang hanya timbul semasa air pasang, adalah milik negara yang memiliki perairan wilayah di sekitar batu itu.



Malaysia memfailkan permohonan untuk menyemak semula penghakiman itu pada 2 Februari 2017, memetik bukti baru, dan permohonan kedua meminta ICJ menafsirkan penghakiman yang sama itu pada 30 Jun 2017.



Bagaimanapun, kerajaan Malaysia yang baru memaklumkan ICJ pada 28 Mei 2018, bahawa ia telah memutuskan untuk menghentikan prosiding tersebut.




ISTILAH DALAM PERTIKAIAN RUANG UDARA DAN MARITIM



Had pelabuhan:



Sempadan bagi negara untuk mengendalikan kegiatan pelabuhan lautnya. Ia selalunya berada dalam kawasan sempadan perairan wilayah sesebuah negara.



Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos):



Turut dikenali sebagai Perjanjian Undang-Undang Laut, Unclos mentadbir semua aspek penggunaan lautan dunia dan sumbernya. Sebanyak 168 pihak telah mengesahkan konvensyen itu, yang merupakan salah satu daripada beberapa perjanjian antarabangsa yang dipatuhi dan diamalkan hampir semua negara.



Nota Pihak Ketiga (TPN) dan Nota Bantahan:



Nota Pihak Ketiga (TPN) ialah surat diplomatik yang ditulis dalam diri ketiga. TPN kurang formal berbanding Surat Bantahan, tetapi lebih formal daripada Aide Memoire (mesej diplomatik kurang formal).



Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO):



Badan yang ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelia penerbangan komersial. ICAO memperuntuk Sistem Maklumat Penerbangan (FIR) semata-mata berdasarkan pertimbangan keselamatan bagi memastikan trafik udara berjalan dengan selamat dan lancar.



Sistem Maklumat Penerbangan (FIR):



FIR ialah ruang udara yang diurus sesebuah negara. Pengurusannya tidak bermaksud satu bentuk kawalan yang menjejas kedaulatan negara lain, tetapi merupakan peruntukan perkhidmatan oleh sesebuah negara untuk mengurusnya.



Sistem Pendaratan Instrumen (ILS):



ILS ialah tatacara penerbangan yang membolehkan juruterbang mendarat dan mendekati landasan dengan selamat dan tepat.



Surat Pelabuhan dan Notis kepada Pelaut:



Surat yang dikeluarkan penguasa maritim kepada masyarakat perkapalan berkaitan ehwal perairan dan kegiatan pelabuhan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >