Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

'Ratu Angklung' tebar kerja kemasyarakatan sebagai presiden baru Kelab Rotary Kg Gelam

Jun 25, 2022 | 05:30 AM



KEMAHIRAN dan usaha gigih pendidik, Cik Faridah Jamal, dalam memasyarakatkan alat muzik tradisional angklung di sekolah-sekolah dan dalam kalangan warga emas memang tidak dapat dinafikan dengan dirinya mendapat gelaran 'Ratu Angklung' Singapura.



Sebagaimana nyala rasanya dalam muzik begitu membara, begitu juga kecenderungannya dalam kerja kemasyarakatan yang dapat menaiktaraf aspek pendidikan dan sosioekonomi golongan memerlukan.



Inilah titik tolak yang membuatkan Cik Faridah, 50-an tahun, menyertai sebuah kelab perkhidmatan dengan misi pendidikan dan sosioekonomi yang dianggotai golongan pemimpin pelbagai kerjaya, Kelab Rotary Kampong Gelam (RCKG), pada awal pembentukan kelab tersebut pada 2019.



Hari ini malahan merupakan yang sangat bermakna buatnya kerana beliau dinobatkan sebagai Presiden keempat RCKG dan Presiden wanita pertama kelab berkenaan yang meraikan ulang tahun ketiganya dalam satu acara makan tengah hari di Hotel Grand Hyatt.



Selepas Cik Faridah, dua lagi wanita berkerjaya dengan daya kepimpinan yang menyerlah - pakar gerontologi (proses penuaan) dan pakar terapi kesihatan, Cik Jules Johan, serta karyawan runding cara niaga, Cik Kang Ching Ling, telah dipilih bagi menggalas amanah selaku Presiden RCKG bagi 2023/24 dan 2024/25.



Ini berlandaskan matlamat asal RCKG untuk menambah keanggotaan wanita dan membangun pemimpin wanita.



Jika ia bermula dengan 15 peratus pada 2019, sekitar 40 peratus daripada 18 anggotanya kini adalah wanita.



Pengasas RCKG yang mendapat pengesahan Kelab Rotary Antarabangsa adalah karyawan rundingcara kerja dan pelukis, Tengku Sri Indra Ismail, yang menjadi presiden pertama dan ketiganya.



Kelab ini merupakan antara 23 Kelab Rotary yang beroperasi di Singapura.



Ia dibangunkan Tengku Indra yang sudah lebih 30 tahun terlibat dalam kegiatan rotary di Indonesia dan Singapura bagi membantu golongan memerlukan di Kampong Glam.



Meskipun bukan kelab Melayu atau Islam dengan anggota berbilang kaum, ia juga dibangunkan bagi menarik lebih ramai individu Melayu dengan potensi dan kepimpinan agar keluar daripada kepompong mereka untuk menyalur bantuan.



Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, Cik Faridah berkata:



"Kampong Glam memang dekat di hati saya kerana saya membesar di Jalan Pisang. Mulanya saya tidak tahu apakah tuntutan menjadi anggota Kelab Rotary kerana saya menyangka seperti di India, projek berskala besar seperti rawatan mata perlu dikendalikan.



"Mampukah saya melakukannya? Tetapi Tengku Indra memberi saya keyakinan bahawa saya boleh tebarkan bantuan dalam bidang kepakaran saya iaitu pendidikan muzik untuk membawa perubahan kepada golongan yang dibantu.



"Dua tahun lalu, saya ditawarkan menjadi Presiden untuk menggantikan Tengku Indra tetapi saya tidak begitu bersedia kerana masih baru dan selesa dengan tugas menyelaras projek khidmat kemasyarakatan kelab ini dan selanjutnya mengendalikan khidmat kejuruan pula.



"Ketika soalan ini diajukan sekali lagi selepas seorang teman seperjuangan tidak dapat menggalas amanah ini kerana sibuk dengan tugasan di Indonesia, saya menerimanya dengan kesediaan setelah mengendalikan projek bantuan sewaktu Covid-19.



"Sesuatu yang saya anggap mustahil dapat dikendalikan dengan sokongan teman lain dan badan tidak mengaut untung, Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (Bapa).



"Saya teringat apa yang saya selalu tekankan kepada pelajar angklung saya. Kalau anda diberi amanah, anggaplah ia sebagai projek penting untuk anda bangunkan sebaik mungkin dengan sokongan rakan lain."



Cik Faridah yang akan memimpin RCKG mulai 1 Julai ini hingga 30 Jun 2023 telah melakar beberapa aktiviti yang ingin dijalankan dalam tempoh setahun.



Ini termasuk projek menanam pokok gelam sebagai inisiatif warisan dan amal, kemampanan dan melindungi sekitaran, projek air di peringkat antarabangsa, kesihatan mental buat pesakit demensia, motivasi belia untuk penerima dermasiswa dan projek seni.



Beliau juga ingin melenyapkan takrifan sesetengah pihak bahawa kelab rotary ini adalah kelab untuk orang tua atau orang kaya.



"Sungguhpun begitu, kami kaya dalam aspek lain yang cukup membina atau boleh saya katakan mewah dari segi budaya dan warisan, menyatukan masyarakat dan budaya memberi," katanya.



Ditanya mengenai kebolehan Cik Faridah, Tengku Indra berkata:



"Faridah memiliki semangat atau passion serta inisiatif yang luar biasa. Pengalamannya dalam bidang pendidikan meluas... ini semua sudah ada di dalam dirinya, jadi tiada tugasan yang akan dirasakan beban atau memenatkan."




SEMANGAT GOTONG-ROYONG BANTU GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

"Mampukah saya melakukannya?... Tengku Indra memberi saya keyakinan bahawa saya boleh tebarkan bantuan dalam bidang kepakaran saya iaitu pendidikan muzik untuk membawa perubahan kepada golongan yang dibantu... Saya teringat apa yang saya selalu tekankan kepada pelajar angklung saya. Kalau anda diberi amanah, anggaplah ia sebagai projek penting untuk anda bangunkan sebaik mungkin dengan sokongan rakan lain."

- Cik Faridah Jamal, yang akan mula galas tanggungjawab sebagai presiden keempat RCKG mulai 1 Julai.




SEKILAS INFO



  • Kelab Rotary Kampong Gelam (RCKG) dirasmikan dengan pengesahan Kelab Rotary Antarabangsa pada 12 April 2019 dengan matlamat mewujudkan lebih kepelbagaian dari segi keanggotaan kelab berkenaan di daerah Kampong Glam dan Singapura khususnya.

  • Semangat inklusif dalam keanggotaan dipupuk dengan cogan kata bagi menunjukkan komitmen yang berbunyi: "Kepelbagaian Mewujudkan Peluang Lebih Banyak Bagi Perkhidmatan".

  • Kampong Glam adalah pusat bandar tertua di Singapura.

  • Dengan 18 blok sewa HDB serta pendapatan keseluruhan keluarga adalah kurang daripada $2,500 bagi setiap isi rumah, Kampong Glam juga adalah kawasan kejiranan kedua paling kurang berkemampuan di Singapura selepas Radin Mas.

  • RCKG bertanggungjawab membantu dalam pembangunan ekonomi masyarakat menerusi program atau bantuan pendidikan dan sosial. Ia melakar visi pertingkat usaha dalam mendekati masyarakat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >