Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Parlimen lulus undang-undang baru tangani penipuan, kegiatan siber bahaya

Pemerintah boleh arah padam laman, aplikasi dan akaun dalam talian yang disyaki digunakan bagi kegiatan jenayah
Jul 05, 2023 | 08:15 PM



Parlimen meluluskan undang-undang baru pada Rabu untuk menangani kandungan dalam talian yang digunakan untuk melakukan penipuan dan kegiatan siber lain yang berniat jahat.

Di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA), pemerintah boleh mengarahkan laman, aplikasi dan akaun dalam talian yang disyaki digunakan bagi kegiatan jenayah untuk dipadam.

Bagi penipuan dan kegiatan siber berniat jahat, arahan boleh dikenakan pada ambang yang lebih rendah berbanding ambang yang ditetapkan bagi kesalahan jenayah lain.

Ini kerana “kegiatan sedemikian sering berkembang pada kelajuan dan skala yang hebat” dan “mendatangkan bahaya yang besar kepada mangsa, bukan hanya daripada segi kerugian kewangan”, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dalam ucapan pembukaannya semasa perbahasan bagi rang undang-undang itu.

Arahan itu boleh dilaksanakan ke atas kesalahan jenayah yang menjejas keselamatan nasional, keharmonian kaum dan agama, serta keselamatan individu dan mempunyai kaitan dalam talian.

Kesalahan lain dalam undang-undang itu termasuk hasutan keganasan, penyebaran bahan penderaan seksual, pinjaman wang haram dan kesalahan berkaitan dengan bahan-bahan psikoaktif serta dadah terkawal.

Memberi contoh, Cik Teo berkata apabila polis mempunyai syak wasangka yang munasabah bahawa sebuah akaun khidmat media sosial digunakan untuk kegiatan pinjaman wang tidak berlesen, mereka boleh mengeluarkan Arahan Melumpuhkan dan Arahan Sekatan Akaun kepada penyedia khidmat media sosial itu.

Arahan Melumpuhkan dikenakan supaya kiriman atau laman yang menyinggung itu dihalang daripada sampai kepada seseorang di Singapura; manakala Arahan Sekatan Akaun dikenakan supaya akaun yang menyinggung itu dihalang daripada berinteraksi dengan orang-orang di Singapura.

Arahan Henti Komunikasi pula boleh dikeluarkan kepada seseorang yang meletakkan kiriman teks atau gambar yang menghasut keganasan terhadap orang daripada kaum tertentu.

“Penggunaan arahan mengehadkan jangkauan penjenayah, dan menghalang lebih ramai orang daripada terdedah kepada bahaya,” kata Cik Teo.

Bagi penipuan, hubungan awal dan asuhan mangsa mungkin belum menjadi kesalahan jenayah atau melepasi ambang syak wasangka yang munasabah untuk arahan dikeluarkan.

Mereka yang melakukan kegiatan siber berniat jahat juga agak “kiasu” dalam persediaan mereka, seperti menyediakan ribuan laman web kosong dengan nama domain yang menyerupai nama pertubuhan sah, kata Cik Teo. Tetapi selagi laman kosong itu tidak dihidupkan, ia tidak melepasi ambang untuk arahan dikeluarkan.

Justeru, Cik Teo berkata tindak balas Singapura perlu “kiasu” dan “sangat berhati-hati” apabila berhadapan dengan pihak lawan sedemikian.

Dengan ambang yang lebih rendah, penguatkuasaan undang-undang akan dapat mengeluarkan arahan secara proaktif, sebaik sahaja kegiatan sedemikian dikesan, sebelum kesalahan dilakukan.

Sebagai contoh, mereka boleh mengeluarkan Arahan Halangan Akses kepada penyedia khidmat Internet untuk menghalang laman web kosong itu daripada diakses oleh pengguna Singapura sebelum penipu menghidupkan laman itu.

Cik Teo turut menekankan perlunya melibatkan penyedia khidmat dalam talian dalam pencegahan jenayah kerana mereka mempunyai lebih banyak pengetahuan tentang apa yang berlaku di wadah mereka. Kerjasama sedemikian akan digalakkan melalui Kod Amalan.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) turut tampil mengajukan soalan berkaitan rang undang-undang tersebut termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).

Beliau bertanya sama ada rang undang-undang itu boleh disemak secara berkala dan kerap untuk memastikan ia mengikuti perkembangan pelbagai wadah teknologi dan bahaya jenayah dalam talian baru yang mungkin timbul di masa akan datang.

Cik Teo berkata: “Rang undang-undang itu telah digubal dengan mengambil kira perkara tersebut, membolehkan kami menambah kesalahan selanjutnya melalui pindaan kepada jadual pertama dan kedua jika perlu.

“MHA (Kementerian Ehwal Dalam Negeri) akan bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memantau perkembangan dalam ruang teknologi dan bertindak balas dengan pantas terhadap ancaman yang boleh ditimbulkan oleh teknologi baru seperti AI (kecerdasan buatan) generatif.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >