KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) sedang bekerjasama dengan institusi kesihatan awam di sini untuk mengkaji semula rancangan keselamatan mereka, memandangkan ancaman pengganasan semakin meningkat, kata Menteri Negara (Kesihatan), Dr Lam Pin Min, di Parlimen pada Isnin (4 April).
Menjawab soalan Dr Fatimah Lateef (GRC Marine Parade) mengenai rancangan MOH berkaitan pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Dalam Negeri untuk meningkatkan langkah-langkah antipengganasan, Dr Lam berkata kajian semula itu akan merangkumi keselamatan pencegahan, pelan kontingensi bagi menangani senario dan tahap ancaman berbeza, termasuk insiden pengganasan, dan strategi pemulihan andainya serangan berlaku.
Kajian ini juga akan meneliti kecekapan yang diperlukan bagi anggota keselamatan.
"Memandangkan ancaman pengganas bertambah dan modus operandi baru pengganas, Kementerian Kesihatan dan institusi penjagaan kesihatan awam sedang mengkaji pelan keselamatan kami, selepas berunding dengan Kementerian Dalam Negeri," katanya.
Kajian itu dijangka siap dalam beberapa bulan ini, katanya.
Institusi penjagaan kesihatan awam kini mempunyai langkah-langkah untuk menyediakan "tahap asas keselamatan" merangkumi operasi keselamatan harian, seperti pengawasan CCTV, rondaan dan maklum balas segera terhadap insiden keselamatan oleh anggota keselamatan, dan kawalan akses terhadap kemasukan yang tidak dibenarkan ke kawasan terhad dan sensitif, kata Dr Lam.
Institusi tersebut, termasuk hospital dan poliklinik awam, juga bekerja dengan divisyen polis untuk membangunkan prosedur operasi standard dan menjalankan latihan suai kenal dan kecemasan bavgi menguji persediaan dan kewaspadaan mereka, katanya.