Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:36
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Setempat

Parlimen: Penahanan Terrex langgar undang-undang antarabangsa, ujar Ng Eng Hen

Jan 09, 2017 | 02:53 PM

PENAHANAN sembilan kenderaan pengangkut infantri Terrex Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Hong Kong tidak mematuhi undang-undang antarabangsa atau Hong Kong, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen memberitahu Parlimen pada Isnin (9 Jan).

Dan Singapura berharap ia dipulangkan, kata beliau.

Dr Ng menjelaskan kenderaan itu kepunyaan pemerintah Singapura dan dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.

Di bawah prinsip kekebalan berdaulat, harta yang dimiliki sesebuah negara tidak boleh disita atau dirampas. Prinsip ini sudah mapan di bawah undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang Hong Kong, sebuah Wilayah Pentadbiran Khas China, kata Dr Ng.

"Oleh itu, pemerintah Singapura telah menegaskan hak-hak kedaulatan kita ke atas kenderaan Terrex SAF," kata Dr Ng.

Singapura memaklumkan Hong Kong beberapa kali sejak dua bulan lalu kenderaan Terrex itu milik Pemerintah Singapura dan oleh itu kebal daripada sembarang langkah kekangan, katanya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga telah menulis kepada Ketua Eksekutif Hong Kong, Encik Leung Chun Ying, mengenai perkara itu, katanya.

Pihak berkuasa Hong Kong menjawab bahawa siasatan sedang dijalankan dan akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan, kata Dr Ng.

Singapura mengalu-alukan maklum balas ini, katanya.

"Kepatuhan pada kedaulatan undang-undang menjadi asas keamanan dan kestabilan selama setengah abad lalu di Asia. Ia membolehkan negara besar dan kecil membina kepercayaan dan keyakinan terhadap satu sama lain, bekerjasama dan maju bersama-sama," katanya.

Sembilan kereta perisai itu dirampas Kastam Hong Kong pada 23 Nov semasa ia dalam transit dalam perjalanan pulang dari satu latihan ketenteraan di Taiwan.

Wakil syarikat perkapalan APL mengadakan tiga pertemuan dengan pihak berkuasa Hong Kong tetapi tiada sebab formal diberi bagi menahan kenderaan Terrex itu.

Dr Ng berkata pematuhan APL pada peraturan pelabuhan Hong Kong adalah satu hal antara APL dan pihak berkuasa Hong Kong, tetapi pertikaian itu tidak boleh menjejaskan kedudukan undang-undang dan hak Singapura berkaitan kenderaan tersebut, katanya.

Beliau juga mengulangi tiada rahsia ketenteraan dikompromi kerana kenderaan itu digunakan untuk latihan dan tidak mengandungi peralatan sensitif.

Berikutan peristiwa itu, SAF mengkaji prosedur perkapalannya secara menyeluruh untuk "mengurangkan risiko peralatan SAF dijadikan tebusan dalam perjalanan".

Pada masa ini, SAF tidak menghantar semua peralatan secara langsung dari satu tempat ke satu tempat kerana ini akan menyebabkan kos tiga hingga empat kali lebih tinggi dan menambah beberapa ratus juta dolar kepada bajet tahunan Kementerian Pertahanan.

Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) tidak mempunyai kapal pengangkutan dengan skala dan keupayaan cukup besar untuk mengendalikan semua logistik perkapalan yang SAF perlukan.

Melangkah ke hadapan, SAF sedang menimbangkan pilihan lain, seperti menempatkan peralatan di luar negara untuk mengelakkan penghantaran sama sekali.

Kapal Pendarat Kereta Kebal RSN, kapal pelbagai guna dan pengangkutan terbesarnya, dijadualkan ditukar, dan SAF akan mengkaji apakah ia perlu digantikan dengan kapal berkapasiti lebih besar, kata Dr Ng.

Artikel Terkini