PASUKAN di balik tabir Wisma Geylang Serai (WGS) kini giat membuat persiapan menjelang pembukaan rasmi pusat itu pada hujung minggu ini.
Sempena pembukaan rasmi WGS, satu pesta tiga hari akan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini di bangunan yang terletak di bekas tapak Kampung Melayu Geylang Serai itu serta di tanah lapang sekitarnya.
Bertemakan 'Geylang Serai: Dahulu, Kini, Akan Datang', pesta itu akan menyajikan pelbagai acara termasuk pertunjukan bunga api, bazar bertema, serta konsert percuma.
Meskipun bakal dibuka rasmi minggu ini, hab sosial dan warisan budaya pertama di Singapura itu telah mula membuka pintunya kepada orang ramai sejak Mei lalu.
Sejak itu, pusat yang menggabungkan pelbagai agensi dan kemudahan di bawah satu bumbung itu telah dibuka secara berperingkat.
Dalam beberapa bulan lalu juga, pelbagai acara telah dianjurkan, menarik orang ramai daripada pelbagai latar belakang, baik pengunjung Melayu dan bukan Melayu.
Pengurus besar WGS, Encik Mulyadi Ahmad, berkata pasukannya telah bekerja keras sejak beberapa bulan lalu dan kini bersedia untuk menerima lebih ramai pengunjung.
Laporan lanjut: Wisma Geylang Serai tarik pengunjung pelbagai latar belakang