Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pekerja lahir perasaan bercampur aduk

Mar 26, 2021 | 05:30 AM



RAMAI pekerja melahirkan perasaan bercampur aduk berkenaan langkah membolehkan lebih ramai kakitangan kembali ke tempat kerja tidak lama lagi yang diumumkan kelmarin.



Meskipun ramai mengalu-alukan langkah tersebut setelah lebih setahun bekerja dari rumah, ada yang mengetengahkan keprihatinan tentang aturan penjagaan anak-anak mereka dan kerisauan tentang keselamatan dan kesihatan mereka memandangkan pandemik Covid-19 masih belum lenyap.



Para pekerja yang dihubungi Berita Harian semalam juga berharap majikan mereka dapat melaksanakan fleksibiliti kerana pandemik Covid-19 terus menimbulkan cabaran mengimbangi tugas kerja dan keluarga.



Kelmarin, pemerintah mengumumkan bahawa hingga 75 peratus pekerja yang buat masa ini bekerja dari rumah akan dapat kembali ke tempat kerja pada satu-satu masa mulai 5 April, naik daripada 50 peratus kini.



Ini sedang tempat kerja beralih daripada bekerja dari rumah sebagai aturan biasa ke cara bekerja yang lebih fleksibel, dan vaksinasi dilancarkan ke bahagian penduduk yang lebih besar.



Pegawai teknikal kanan, Cik Azilah Zainal, 41 tahun, berkata meskipun beliau menyambut baik berita tersebut, beliau juga menghargai masa bekerja dari rumah.



"Ia (bekerja dari rumah) sebenarnya baik bagi kesihatan mental saya kerana saya dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak apabila mereka pulang dari sekolah. Saya dapat menjaga kesejahteraan mereka, terutamanya kembar pertama saya yang bakal menduduki PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah) pada akhir tahun.



"Saya juga prihatin dengan jumlah penumpang pengangkutan awam yang ramai. Bagaimanakah boleh saya pastikan kesihatan kita tidak terjejas? Ini terutamanya kerana tidak ada langkah jarak selamat dalam pengangkutan awam," kata ibu dua pasangan kembar itu.



Cik Azilah turut melahirkan harapan agar majikan boleh mempertimbang untuk mengadakan aturan bekerja dari rumah dan tempat kerja yang berselang-seli kerana ia cara berkesan untuk mengimbangi masa antara pekerjaan dengan keluarga.



Seorang penterjemah, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Farzana, 31 tahun, pula berkata beliau sudah menjangkakan berita itu dan oleh itu, telah mendaftarkan bayinya yang berusia lima bulan di pusat penjagaan bayi.



Beliau turut melahirkan keprihatinan tentang isu kesihatan apabila lebih ramai pekerja boleh kembali ke tempat kerja mereka kelak, sambil menambah, "mereka yang boleh bekerja dari rumah tetap harus diberikan pilihan untuk bekerja dari rumah".



Pegawai sokongan kewangan, Encik Mohammad Ilyas, 33 tahun, yang kini bekerja dengan aturan separuh hari di tempat kerja dan separuh hari di rumah, pula berharap aturan kerjanya yang sekarang dapat dikekalkan kerana ia membolehkan beliau meluangkan masa untuk kerja dan keluarga secara fleksibel.



"Keadaan semasa lebih fleksibel bagi saya dan keluarga. Saya bukan hanya dapat bekerja di rumah, tetapi pada masa yang sama saya dapat bekerja di pejabat dan berjumpa dengan rakan sekerja saya," kata bapa seorang anak kecil itu.



Eksekutif projek, Encik Rieyan Eusoff, 30 tahun, yang kini bekerja dari rumah, pula berkata beliau bimbang kes Covid-19 akan melonjak, lebih-lebih lagi dengan orang ramai yang akan menaiki bas dan kereta api dan tiada langkah jarak selamat dilaksanakan.



"Saya rasa langkah bekerja dari rumah harus terus menjadi pilihan utama dan pekerja harus diberi kebebasan untuk memilih sama ada mereka mahu bekerja di rumah atau di pejabat," kata beliau.



Jurutera, Cik Nuruljannah Baharum, 26 tahun, berkata langkah untuk membolehkan lebih ramai orang kembali ke tempat kerja bukan satu keprihatinan baginya asalkan setiap orang bertanggungjawab menjaga kebersihan peribadi pada setiap masa, melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memantau kesihatan mereka dan mengamalkan jarak sosial di tempat kerja.



Oleh sebab beliau kini bekerja di pejabat dua hari seminggu, beliau telah menyesuaikan diri dengan keadaan bekerja di pejabat.



"Saya rasa penting bagi kedua-dua majikan dan pekerja mempunyai komunikasi terbuka. Aturan kembali ke tempat kerja ini mungkin bukan satu peralihan yang mudah untuk segelintir kakitangan, dan oleh itu, majikan boleh cuba memberikan kakitangan sedikit kelonggaran untuk mereka menyesuaikan diri semula dengan persekitaran tempat kerja," kata beliau.




"Saya rasa penting bagi kedua-dua majikan dan pekerja mempunyai komunikasi terbuka. Aturan kembali ke tempat kerja ini mungkin bukan satu peralihan yang mudah untuk segelintir kakitangan, dan oleh itu, majikan boleh cuba memberikan kakitangan sedikit kelonggaran untuk mereka menyesuaikan diri semula dengan persekitaran tempat kerja."
- Cik Nuruljannah Baharum, 26 tahun, seorang jurutera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >