Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Pelbagai cara kawal merpati batu biak di S’pura

Jul 10, 2023 | 05:30 AM



Pelbagai langkah digunakan di Singapura untuk mengawal populasi burung pergam batu termasuk mencantas pokok supaya haiwan itu tiada tempat bertenggek selain meletakkan alat penghalau bagi mengelak burung itu daripada mendarat atas bangunan.

Burung pergam batu juga disebut sebagai merpati batu – sejenis burung merpati invasif yang mudah biak – yang bersaing dengan merpati setempat untuk mendapatkan sumber makanan.

Namun begitu, dengan sekitar 190,000 burung pergam batu memenuhi kawasan perumahan, langkah kawalan populasi juga merangkumi kaedah menakai dan meracuni burung itu.

Langkah-langkah ini dilihat sebagai terlalu ekstrem oleh sesetengah anggota masyarakat dan kumpulan kebajikan haiwan seperti Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), lapor The Straits Times.


Pada 22 Mei 2023, 30 burung merpati, sama ada sudah mati atau dalam keadaan tidak sedar, ditemui atas rumput di Yishun Avenue 11.

Beberapa penduduk yang rasa bimbang telah menghubungi Acres dan Majlis Bandaran Nee Soon, yang memberitahu mereka bahawa “rawatan merpati dijadualkan” telah dijalankan untuk menangani populasi burung merpati.

Ini kerana haiwan itu telah menyebabkan masalah kebersihan dan telah mengganggu penduduk di kawasan tersebut.

Dalam satu kejadian berasingan, Acres memuat naik video di laman Facebooknya pada April 2019 yang menunjukkan satu kegiatan menakai burung merpati di luar stesen MRT Hougang.

Video itu menunjukkan burung merpati dipijak, disapu ke dalam penadah sampah dan dibuang ke dalam beg sampah sementara ia masih hidup.

Kegiatan itu dijalankan oleh kontraktor yang dihantar Majlis Bandaran Aljunied-Hougang.

Hanya syarikat yang berdaftar dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai pengendali kawalan vektor (VCO) boleh menjalankan kerja-kerja kawalan sedemikian.

Kakitangan VCO mesti mempunyai lesen sebagai teknisyen kawalan vektor atau diperakui sebagai pekerja kawalan vektor untuk menjalankan sebarang kerja kawalan vektor.

Encik Ryan Lee, pengarah kumpulan pengurusan hidupan liar di Lembaga Taman Negara (NParks), berkata bahawa pendekatan berasaskan sains digunakan dalam menangani spesies burung invasif seperti merpati.

Ini termasuk kajian untuk memahami ekologi burung yang dianggap sebagai perosak, seperti tabiat bertenggek dan mencari makanan mereka, menyingkirkan sumber makanan manusia, pengubahsuaian habitat seperti mencantas pokok dan menanam spesies pokok yang sesuai, serta kawalan populasi yang aktif, termasuk memerangkap dan membunuh.

Encik Lee menambah bahawa NParks bekerjasama dengan majlis bandaran untuk menangani populasi merpati.

“Ini termasuk menggalak amalan berperikemanusiaan alternatif bagi operasi pengurusan populasi merpati seperti memerangkap dan menggalak syarikat pengurusan haiwan untuk menghantar kakitangan menjalani kursus latihan pengurusan hidupan liar yang diadakan NParks,” kata beliau.

Kursus tersebut melengkapi karyawan dengan kemahiran untuk melaksanakan kerja pengurusan haiwan, sementara memastikan keselamatan orang awam dan kakitangan serta kebajikan haiwan, kata Encik Lee.

Burung pergam batu bukan berasal dari Singapura. Ia dianggap sebagai spesies invasif yang bersaing dengan spesies merpati setempat untuk mendapatkan sumber makanan.

Amalan berperikemanusiaan alternatif bagi pengurusan populasi merpati termasuk pengurusan sampah yang betul untuk mengurangkan potensi sumber makanan dan menggalak orang awam agar tidak memberi makan kepada burung tersebut.

Di bawah Akta Hidupan Liar dipertingkat, yang diperkenal pada 1 Jun 2020, individu yang memberi makan kepada sebarang burung liar boleh dikenakan denda sehingga $10,000.

Encik Lee berkata bahawa antara 1 Jun 2020 dengan 28 Jun 2023, NParks mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lebih 200 kes melibatkan perbuatan memberi makan kepada burung merpati. Ini termasuk mengeluarkan amaran dan denda.

Dalam tempoh yang sama, NParks menerima hampir 15,000 maklum balas berkaitan burung merpati.

Encik Lee berkata NParks bekerjasama dengan majlis bandaran dan agensi lain untuk mengurangkan sumber makanan bagi burung merpati.

Ia termasuk menangani isu pembuangan sampah dari tempat tinggi dan mengendalikan isu sisa makanan di tempat makanan dan pusat tong sampah.

“Kami juga mendampingi masyarakat dan sekolah melalui usaha pendidikan awam, untuk mengingatkan orang ramai agar mengelak daripada memberi makan kepada burung merpati dan untuk mengekalkan kebersihan persekitaran,” tambah beliau.

Syarikat kawalan haiwan perosak di sini menggunakan pelbagai strategi untuk menghalau burung merpati dari kawasan perumahan.

Ini termasuk memasang pancang agar burung tidak dapat bertenggek di tempat tertentu, dan meletakkan gel tidak toksik agar burung tidak dapat mendarat atas permukaan.

Kaedah lain, yang menurut kumpulan kebajikan haiwan menyebabkan penderitaan yang tidak perlu, termasuk meracuni burung dengan menggunakan dadah dipanggil ‘alpha-chloralose’, yang membuat burung hilang keupayaan mengawal suhu badan dan fungsi keseluruhan.

Merpati dikenali sebagai pembawa bakteria salmonela, yang menyebabkan salah satu jenis keracunan makanan paling biasa dialami, dan ornitosis, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan demam, sakit kepala, sakit otot dan batuk melalui najis yang dijangkiti.

Dr Qian Tang, zamil penyelidik poskedoktoran di Universiti Nasional Singapura (NUS), percaya burung merpati tidak menimbulkan risiko kesihatan sehebat haiwan perosak lain.

“Setahu saya, patogen yang dikesan dalam merpati tidaklah seserius (yang ada pada) tikus.

“Kebanyakannya menyebabkan beberapa masalah kulit atau perut. Tiada bukti yang saya tahu menunjukkan burung merpati boleh menularkan banyak penyakit berjangkit,” kata beliau.

Tikus diketahui menyebabkan penyakit pernafasan yang teruk seperti gejala paru-paru pembawa virus dan demam berdarah dengan gejala buah pinggang, kedua-duanya boleh membawa maut.

Beliau berkata tempat di mana kepadatan burung merpati yang tinggi boleh ditemui biasanya adalah bangunan tinggi, sambil menambah bahawa walaupun bukan asli Singapura, burung pergam batu menyebabkan gangguan minimum kepada ekosistem setempat.

Dr Qian, yang menjalankan projek penyelidikan pada 2018 mengenai merpati di Singapura, menganggarkan terdapat 190,000 burung pergam batu di sini.

Walaupun sebahagian penduduk tidak mahu burung itu berada di kawasan perumahan mereka, Cik Aarthi Sankar, pengarah eksekutif Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan, percaya bahawa ada orang yang tidak melihat burung itu sebagai gangguan.

“Walaupun sesetengah orang menganggap merpati sebagai haiwan perosak, yang lain mungkin melihatnya secara berbeza dan menghargai kehadiran mereka dalam persekitaran bandar.”

Cik Sankar berkata kaedah seperti meracuni adalah “kejam dan tidak berperikemanusiaan”, dan menambah bahawa pemandangan burung yang mati dan pembuangannya di tempat awam boleh menimbulkan “kebimbangan, terutamanya bagi kanak-kanak”.

“Dengan menangani punca pertumbuhan populasi dan menggunakan kaedah alternatif, kami boleh mencapai huraian yang lebih mampan dan penuh belas kasihan untuk wujud bersama merpati dalam persekitaran bandar,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >