Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peluang bina hidup baru di 'rumah' sementara

Oct 11, 2021 | 05:30 AM



Dalam bahagian kedua siri keganasan keluarga ini, BERITA HARIAN memaparkan dua pertubuhan setempat yang gigih membantu mangsa dengan memberi mereka perlindungan, kaunseling dan sokongan untuk pulih dan melepaskan diri daripada lingkaran keganasan. Rumah tumpangan Casa Raudha menawarkan tempat tinggal sementara bagi mangsa keganasan keluarga yang rata-rata adalah wanita dan kanak-kanak, manakala pusat pakar keganasan keluarga Pave menawarkan kaunseling untuk mangsa, penganiaya dan kanak-kanak yang terjejas. Ikuti laporan berikut.



RUMAH tumpangan Casa Raudha untuk mangsa keganasan keluarga bukan sebuah penjara.



Mereka yang mendapatkan perlindungan di sana boleh keluar dan menjalani kehidupan seperti biasa - malah mungkin lebih baik daripada sebelumnya tanpa rasa takut terhadap ahli keluarga yang menganiaya.



Demikian dinyatakan pekerja kes di Casa Raudha, Cik Nurul Syahirah Abd Rashid, dalam wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini.



"Ini sesuatu yang mungkin segelintir mangsa yang masih lagi terperangkap di rumah sangkakan dan membuat mereka tidak mahu mendapatkan bantuan.



"Kehidupan dengan penganiaya telah merampas rasa kebebasan daripada diri mereka, dan kehidupan di rumah tumpangan adalah sebaliknya. Kami mahu mangsa meneruskan kehidupan, pergi ke kerja, kukuhkan sistem sokongan dan anak-anak mereka terus ke sekolah," kata Cik Nurul Syahirah, 25 tahun.



Casa Raudha mempunyai dua rumah tumpangan dengan katil untuk 70 penghuni pada satu-satu masa.



Buat masa ini sekitar separuh jumlah katil berpenghuni, namun dalam tempoh pandemik Covid-19, rumah tumpangan itu pernah mencecah kapasiti penuh.



Casa Raudha, yang mempunyai 14 kakitangan, melihat lebih 200 kes bagi tahun lalu dan tahun sebelumnya.



Ia rata-rata menerima rujukan daripada pusat khidmat keluarga (FSC), pusat pakar bagi keganasan keluarga (FVSC), hospital atau polis, tetapi turut mendapat beberapa permohonan langsung melalui e-mel daripada klien atau orang awam.



Klien mereka termasuk wanita bujang atau sudah berkeluarga, warga tempatan atau asing, dan daripada pelbagai kaum serta peringkat usia.



Antara kes serius yang pernah Cik Nurul Syahirah uruskan di Casa Raudha melibatkan seorang wanita yang hamil lima bulan yang telah diherdik serta dianiaya secara fizikal dan emosi oleh pasangannya.



Lelaki itu telah mencampak kerusi ke arahnya, menarik kerusi apabila wanita itu mahu duduk, dan mencucuh puntung rokok ke perut wanita yang sedang mengandungkan anaknya itu.



Menurut Cik Nurul Syahirah, klien yang baru tiba di rumah tumpangan itu mungkin berasa putus asa, takut, tidak berdaya dan kesepian kerana mereka tidak tahu apa untuk dijangkakan daripada penginapan mereka di sana.



"Mereka tidak bersedia berada di rumah tumpangan, tetapi mereka tahu mereka perlu melakukannya demi keselamatan mereka. Mereka juga ragu-ragu sama ada keputusan keluar dari rumah mereka adalah pilihan yang betul. Ibu-ibu pula sering risau sama ada anak-anak mereka dapat menyesuaikan diri kepada rumah tumpangan itu," katanya.



Perkhidmatan untuk klien dan anak mereka



Cik Nurul Syahirah menerangkan yang klien rata-rata memerlukan perlindungan segera daripada penganiaya dan sekitaran yang tidak selamat.



Mereka yang datang sehelai sepinggang akan diberi pakaian.



Yang datang dengan anak-anak akan diberi bilik tidur yang tidak dikongsi dengan penghuni lain. Anak-anak mereka diberi susu tepung dan lampin.



Bahan masakan dan keperluan mencuci pakaian turut disediakan.



Pekerja kes kemudian membantu mereka membuat permohonan bagi perlindungan mahkamah dalam bentuk perintah perlindungan peribadi (PPO).



Sokongan kewangan juga diberikan kepada mereka yang tidak bekerja atau perlu menaiki pengangkutan untuk ke sekolah atau tempat kerja.



Selepas keperluan asas dipenuhi, barulah klien dibantu membuat rancangan jangka panjang, termasuk mencari penginapan alternatif seperti flat yang dibeli atau disewa, atau kembali ke pangkuan keluarga, kata Cik Nurul Syahirah.



Pekerja kes juga akan melakar rancangan penjagaan bersama klien, yang termasuk peluang pekerjaan dan peningkatan diri.



"Rancangan penjagaan ini termasuk rancangan keluar. Ini akan mendorong klien untuk sedar bahawa cabaran yang dihadapi hanya sementara dan dengan campur tangan yang ditetapkan oleh karyawan yang terlibat, beliau akan dapat pulang ke rumah atau ke tempat penginapan selamat lain di mana beliau boleh kembali bebas," kata Cik Nurul Syahirah.



Di rumah tumpangan itu, klien yang suka berkebun boleh memanfaatkan kebun hidroponik di sana sebagai sebahagian perjalanan pemulihan mereka.



Mereka juga boleh menggunakan ketuhar dan mesin menjahit untuk tujuan terapi.



Klien turut diberi kaunseling dan akses kepada nasihat perundangan.



Program pemerkasaan juga ditawarkan untuk membantu klien menemui kembali rasa harga diri selain mengajar mereka kemahiran keibubapaan dan cara menguruskan kewangan.



"Paling penting adalah untuk mereka faham makna lingkaran keganasan supaya mereka dapat membuat keputusan tepat dan diperkasa untuk keluar daripada kitaran penganiayaan," kata Cik Nurul Syahirah.



Tempoh penginapan



Klien di Casa Raudha boleh pilih untuk berhenti tinggal di rumah tumpangan itu pada bila-bila masa, kecuali bagi kanak-kanak yang merupakan mangsa utama.



Jika keputusan keluar diambil, pekerja sosial akan menilai tahap risiko dan melakarkan rancangan keselamatan.



Casa Raudha juga menawarkan tempoh percubaan yang membolehkan klien kembali ke rumah tumpangan itu pada bila-bila masa jika mereka merasa tidak selamat di rumah sendiri.



Bagaimanapun, Cik Nurul Syahirah berkata dalam kebanyakan kes, klien memilih untuk tinggal di rumah tumpangan itu lebih lama sementara menunggu prosiding mahkamah, seperti perbicaraan perintah perlindungan peribadi (PPO), perintah kaunseling dan prosiding perceraian, atau sementara menunggu masalah dengan penganiaya diselesaikan.



Bagi kebanyakan klien, mereka berjaya mendapatkan PPO dan/atau arahan pengasingan domestik (DEO).



Ada di antara mereka yang mempertimbangkan perceraian dan ada juga yang merancang berbaik-baik semula dengan ahli keluarga yang menganiaya mereka dahulu.



Terdapat juga kes individu yang belum berumah tangga yang mengalami penganiayaan daripada ahli keluarga mereka yang tidak memohon PPO tetapi menyewa bilik untuk memulakan semula kehidupan mereka.




"Mereka tidak bersedia berada di rumah tumpangan, tetapi mereka tahu mereka perlu melakukannya demi keselamatan mereka. Mereka juga ragu-ragu sama ada keputusan keluar dari rumah mereka adalah pilihan yang betul. Ibu-ibu pula sering risau sama ada anak-anak mereka dapat menyesuaikan diri kepada rumah tumpangan itu."
- Pekerja kes Casa Raudha, Cik Nurul Syahirah Abd Rashid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >