Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah akan terus bantu warga, niaga harungi kesan kadar faedah

Oct 05, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH akan terus memastikan bidang-bidang penting seperti perumahan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan akan kekal dimampui dan dapat diakses semua warga Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kewangan), Encik Chee Hong Tat.



Berucap sebagai responsnya kepada usul penangguhan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), Encik Chee berkata pemerintah akan menawarkan bantuan bagi meredakan impak ke atas isi rumah dan perniagaan di sebalik kadar faedah yang meningkat.



"Kadar faedah yang lebih tinggi yang dialami kita bukan fenomena yang sementara.



"Perangkaan kadar faedah sepanjang lima tahun akan datang atau lebih lama kemungkinan lebih tinggi daripada apa yang dialami dunia sepanjang 15 hingga 20 tahun lalu.



"Kita perlu buat persiapan untuk perubahan ini.



"Tidak kira jika kita berhadapan dengan kadar faedah rendah atau tinggi, pemerintah akan terus memastikan bidang penting seperti perumahan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan kekal dimampui dan dapat diakses semua warga Singapura," katanya.



Dalam usul penangguhannya, Encik Saktiandi berkata terdapat ruang untuk campur tangan yang disasarkan, dan dalam usulnya itu, beliau memberi tumpuan kepada cara membantu warga Singapura membuat peralihan daripada persekitaran kadar faedah rendah kepada persekitaran kadar faedah tinggi.



Antara lain, beliau menyarankan agar pemerintah meningkatkan fleksibiliti beberapa dasarnya agar dapat menyokong isi rumah yang lebih mudah terjejas yang mungkin memerlukan bantuan di tengah-tengah kos pinjaman yang lebih tinggi.



Memberikan contoh bantuan terhadap pendidikan, Encik Chee berkata pemerintah kini memberi subsidi sebanyak lebih 90 peratus daripada kos pendidikan daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke prauniversiti.



Kadar subsidi bagi Institut Pendidikan Teknikal (ITE) adalah lebih 90 peratus; bagi politeknik dan universiti autonomi dan pemerintah pula subsidinya masing-masing sekitar 85 peratus dan 75 peratus daripada kos keseluruhan.



Dari sudut perumahan awam, pemerintah akan terus menjual flat baru dengan harga di bawah nilai pasaran dengan subsidi perumahan yang besar.



"Secara keseluruhannya situasi hutang isi rumah di Singapura kekal sihat. Ini kerana dasar berhemah ke atas pinjaman tidak selamat bagi pelanggan serta gadai janji penginapan," katanya.



Pemerintah juga menawarkan bantuan kepada perniagaan menerusi pelbagai skim kredit, ujarnya.



"Agensi ekonomi kami menilai bahawa terdapat kemudahan kredit yang disediakan untuk perniagaan.



"Seperti contoh, jumlah pinjaman syarikat kecil dan sederhana (SME) masih terus stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini," tambahnya.



Dari sudut pemerintah pula, Encik Chee berkata entiti pelaburan seperti Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) dan Temasek memantau dengan teliti perkembangan makroekonomi dan geopolitik termasuk perubahan kepada sekitaran kadar faedah, dan akan terus kekalkan portfolio yang pelbagai dalam menguruskan risiko pelaburan.



Encik Chee turut menekankan satu lagi bidang penting - tentang bagaimana setiap individu dapat mainkan peranan dalam membantu satu sama lain dalam menjadi sebuah masyarakat yang penyayang dan inklusif.



"Pengupaya penting ialah kadar kepercayaan tinggi dalam masyarakat kita.



"Kepercayaan telah membenarkan kita mengharungi banyak ketidakpastian bersama, termasuk usaha menentang Covid-19 dan ia akan menjadi faktor kejayaan penting sedang kita berhadapan cabaran seperti inflasi yang meningkat serta kadar faedah yang yang semakin tinggi," katanya.




"Tidak kira jika kita berhadapan dengan kadar faedah rendah atau tinggi, pemerintah akan terus memastikan bidang penting seperti perumahan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan kekal dimampui dan dapat diakses semua warga Singapura."
- Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kewangan), Encik Chee Hong Tat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >