Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MELAKAR HALA TUJU SINGAPURA

Pemerintah mahu libatkan rakyat dalam fasa pembangunan seterusnya: Pengamat

Jun 30, 2022 | 05:30 AM



PERBINCANGAN nasional baru yang dilancarkan semalam telah mengisyaratkan usaha dan kesediaan berterusan pemerintah dalam melibatkan rakyat Singapura dalam fasa pembangunan negara yang seterusnya.



Dengan memberi penekanan kepada kompak sosial, inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura, membawa kelainan kepada perbincangan itu berbanding dengan usaha-usaha sebelum ini, menurut para pengamat.



Semasa membentangkan wawasan pasukan 4G menerusi inisiatif itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata antara lain, inisiatif tersebut banyak bertujuan mendapatkan penyertaan rakyat dalam membentuk naratif nasional dan mencipta matlamat bersama, yang akan memperkukuhkan modal sosial dan memupuk kepercayaan.



Beberapa pengamat ditinjau berkata bahawa inisiatif itu tentunya akan dibandingkan dengan usaha perbincangan nasional sebelum ini - seperti Perbincangan Singapura Kita pada 2012 dan paling terkini, gerakan Singapura Bersama, yang dilancarkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, semasa Covid-19.



Apa yang jelas, kata pengamat, ialah setiap usaha itu dilaksanakan di tengah-tengah cabaran politik dan ekonomi, dan sebelum atau selepas pilihan raya umum serta seringkali orang ramai akan mengaitkannya dengan generasi pemimpin yang berbeza.



Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata:



"Bagi saya sudah banyak sesi perbincangan yang dilakukan berskala besar sebelum ini.



"Apa yang berlainan kali ini ialah ia mempunyai matlamat ketara dalam menyegarkan dan meneliti semula kompak sosial di samping ia diterajui oleh kepimpinan baru di bawah Encik Wong.



"Saya fikir apa yang perlu sekarang ini adalah bukan hanya sekadar mendengar dan mencatat pandangan, tetapi kepimpinan, apakah yang sedia diubah, mahu diubah, dan perlu diubah.



"Selain itu, apakah definisi kompak sosial yang kita inginkan kerana hakikatnya, di mana-mana pun, masyarakat semakin rencam."



Melahirkan sentimen serupa, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata insiatif kali ini menunjukkan usaha jelas pemerintah untuk melibatkan rakyat dalam empat isu besar yang menjadi keprihatinan pada dewasa ini.



"Apa yang berbeza kali ini ialah kita dapat melihat usaha khusus untuk melibatkan rakyat Singapura dalam empat bidang utama yang ditentukan iaitu, bagaimana ekonomi dikendalikan dan bagaimana sistem ini memanfaatkan semua atau hanya segelintir, sistem meritokrasi, sistem sokongan sosial dan semangat perpaduan kita.



"Encik Wong menyifatkan ini sebagai usaha untuk menyemak semula dan menyegarkan kompak sosial. Ini adalah isu-isu yang asasnya, mempunyai kaitan dengan kesaksamaan dan keadilan dalam masyarakat kita.



"Ia bertujuan melibatkan rakyat dalam aspirasi kita, apa yang membentuk kita dan apakah maknanya menjadi seorang warga Singapura," ujar beliau.



Menurut pengamat, inisiatif perbincangan nasional kali ini telah didorong oleh pandemik Covid-19, yang telah membuka mata tentang beberapa perkara, seperti yang dijelaskan oleh Dr Norshahril.



"Kerencaman bukan hanya berkait isu identiti, kerana identiti itu sendiri adalah berdasarkan aspek kelas sosial.



"Justeru kompak sosial perlu meringankan bebanan golongan yang kurang celik digital dan meneliti bagaimana kita menyatukan masyarakat yang semakin menua, golongan belia yang bersemangat, dan jurang kelas serta digital yang semakin melebar," terang beliau.



Lantaran itu, untuk menjayakan perbincangan ini, masyarakat perlu diyakinkan tentang natijah perbincangan sebelum ini dan tindakan yang sudah dilakukan, apa yang belum atau sudah dicapai, menurut Dr Norshahril.



"Saya juga fikir perbincangan sebegini harus rentas ideologi, dan dilakukan pada skala-skala lebih kecil, agar suara-suara kecil yang kurang didengar sebelum ini dapat disuarakan," tambah beliau.



Dr Tan melahirkan harapan agar warga Singapura akan bersuara dan menyambut baik perbincangan nasional ini, memandangkan Encik Wong sudah menyediakan 'kunci' kepada perbincangan ini - mempunyai komitmen untuk terbuka minda dan menerima pandangan semua.



"Pada akhirnya, kejayaan perbincangan ini akan bergantung kepada bagaimana konsultasi ini dijalankan, sejauh mana ia inklusif serta bagaimana ia mendekati majoriti yang tidak bersuara," terang beliau.




Secara umum, kompak sosial adalah persefahaman bersama bagaimana kita semua dalam masyarakat berhubung dengan satu sama lain. Ia melibatkan peranan masing-masing dan tanggungjawab kumpulan yang berbeza. Apa yang sepatutnya Pemerintah, majikan dan masyarakat lakukan untuk pekerja dan individu? Apakah kewajipan kita sebagai individu kepada satu yang lain dan kepada masyarakat umumnya? Kompak sosial yang disifatkan adil oleh semua lapisan masyarakat akan mengukuhkan modal sosial dan memupuk kepercayaan, dan inilah yang akan membolehkan kita maju bersama sebagai satu bangsa. Inilah sebabnya ia begitu penting bagi kita menyegarkan dan memperbaharui kompak sosial kami, supaya ia kekal sesuai di sebalik perubahan konteks dan keadaan kita”.
– Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.




6 ASAS UTAMA MELAKAR HALA TUJU SINGAPURA



  • MEMPERKASA: TENTANG EKONOMI DAN PEKERJAAN

DIPIMPIN: Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; dan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.



  • Memperkasa setiap warga Singapura mempunyai daya kerja sepanjang hayat dalam ekonomi lebih berdaya saing.

  • MELENGKAPI: TENTANG PENDIDIKAN, PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

DIPIMPIN: Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How.



  • Lengkapi setiap warga Singapura dengan peluang untuk maju, berkembang dan merealisasikan aspirasi mereka.

  • MENJAGA: TENTANG KESIHATAN DAN SOKONGAN SOSIAL

DIPIMPIN: Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, serta Menteri Kedua kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; serta Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah.



  • Bolehkan setiap warga Singapura jalani kehidupan bermaruah dan memuaskan, jaga diri mereka dan orang lain di sekeliling dengan lebih baik.

  • MEMBINA: TENTANG TEMPAT TINGGAL DAN PERSEKITARAN KEHIDUPAN

DIPIMPIN: Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Pengangkutan Encik S. Iswaran; Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann.



  • Ubah sekitaran hidup Singapura dan bangunkan tempat tinggal yang lebih sesuai didiami untuk semua.

  • MENGURUS: TENTANG KEMAMPANAN ALAM SEKITAR DAN FISKAL

DIPIMPIN: Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin; dan Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat.



  • Pupuk cara hidup lebih mampan yang uruskan sumber Singapura secara bertanggungjawab untuk generasi akan datang.

  • MENYATUKAN: TENTANG IDENTITI SINGAPURA

DIPIMPIN: Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman; dan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.



  • Kembang rasa kepunyaan kepada Singapura, komitmen terhadap kewarganegaraan.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >