Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FORUM IPS-RSIS MENGENAI KAUM DAN PERKAUMAN DI SINGAPURA

Pemerintah pantau kes perkauman, komited dasar lindungi kaum minoriti

Jun 26, 2021 | 05:30 AM



TULARNYA beberapa kejadian perkauman di media sosial baru-baru ini tidak bermakna kejadian tersebut hanya baru berlaku sekarang dan keadaannya lebih teruk berbanding dahulu, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong.



Perbezaannya ialah kes tersebut lebih tersebar luas di media sosial sekarang, berbanding dahulu apabila kes seperti itu dihuraikan secara tertutup, katanya.



Malah, lebih banyak insiden perkauman yang tercetus dahulu dalam sejarah Singapura, dan kejadian seperti itu telah merosot sepanjang dekad-dekad lalu.



Tetapi tempoh setahun yang lalu melihat lebih banyak kes daripada biasa, "besar kemungkinan kerana tekanan Covid-19", kata Encik Wong di forum Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) mengenai topik 'Kaum dan Perkauman' semalam.



Katanya, pemerintah memantau semua kejadian melibatkan kaum dan agama, dan sedar insiden perkauman bukan baru.



"Dahulu, kejadian perkauman mungkin dihuraikan antara pihak yang terlibat dan dalam keadaan tertutup. Sekarang, kes itu mendapat perhatian di media sosial, disebar secara lebih meluas kepada lebih ramai penonton.



"Yang baiknya, media sosial kini telah membantu untuk memupuk lebih banyak kesedaran mengenai perkauman di sini," kata Encik Wong.



Tambahnya, ini telah membolehkan masyarakat, khususnya yang majoriti, untuk mencerminkan diri dan bermuhasabah untuk menjadi lebih baik.



"Jelas, kita tidak boleh membiarkan keadaan seperti ini. Di dalam atau luar talian, kita perlu meletakkan piawaian tinggi, dan mengatasi perkauman yang wujud dalam masyarakat," kata Encik Wong.



Dalam ucapannya semalam, Encik Wong menyorot usaha yang dilakukan Singapura dari tahun-tahun awal pembangunannya lagi untuk membina masyarakat yang berbilang kaum dan agama.



Pemimpin pengasas Singapura juga telah memupuk dasar yang melindungi minoriti, memastikan pihak majoriti tidak menyalahguna kuasanya, dan mengekang pihak cauvinis.



Sedang Singapura tidak sempurna dan banyak lagi usaha yang perlu dilakukan, Encik Wong berkata Singapura masih merupakan antara segelintir tempat di dunia yang membolehkan orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama untuk hidup bersama dengan aman.



SISTEM GRC



Beliau akur tidak semua setuju dengan dasar di Singapura. Beliau memberi contoh sistem GRC yang menurut sesetengah pihak tidak lagi diperlukan kerana warga Singapura akan mengundi calon terbaik, tidak kira kaum.



Encik Wong berkata beliau menghormati pandangan warga Singapura yang berpandangan sedemikian.



"Percayalah saya, tidak ada orang lain yang lebih gembira daripada kepimpinan PAP - dahulu dan sekarang, dari Lee Kuan Yew hingga S Rajaratnam dan seterusnya - jika satu hari nanti kita tidak lagi perlukan sistem GRC untuk pastikan perwakilan minoriti yang secukupnya.



"Tetapi kita belum lagi kebal sepenuhnya terhadap gesaan identiti kaum dan budaya yang eksklusif. Dan kita juga belum capai keadaan di mana kaum tidak penting.



"Kejadian baru-baru ini hanya mengesahkan perlunya sikap berhati-hati ini," kata Encik Wong.



Mengenai model kepelbagaian kaum yang unik di Singapura, Encik Wong berkata Singapura meraikan kepelbagaian, dan menggalakkan setiap masyarakat supaya bangga dengan budaya, tradisi masing-masing. Dasar dwibahasa Singapura ialah satu aspek penting dalam model ini.



"Ada yang mengkritik dasar kami yang bertujuan memelihara dan membangun budaya komponen itu. Mereka rasa dasar itu menjadikan kita lebih sedar mengenai isu kaum, dan mengurangkan kepelbagaian kaum," ujar Encik Wong.



SEKOLAH PELAN BANTUAN KHAS (SAP)



Beliau memberi contoh keprihatinan mengenai kekurangan kepelbagaian di sekolah Pelan Bantuan Khas (SAP).



"Kami akan terus melihat bagaimana cara memperkukuh kepelbagaian kaum di semua sekolah kami. Tetapi saya akan tanya mereka yang mengkritik sekolah SAP untuk pertimbangkan: adakah masyarakat kita akan berada dalam keadaan lebih baik jika standard bahasa tutur dan menulis vernakular merosot, dan budaya Cina, Melayu dan India, menjadi pudar?"



Encik Wong menjelaskan SAP bertujuan memastikan terdapat pelajar dwibahasa, seperti mana terdapat program di beberapa sekolah yang membolehkan pelajar mendalami bahasa Melayu dan Tamil.



"Kita juga mempunyai Madrasah, media vernakular yang kukuh, serta pelbagai pertubuhan budaya Cina, Melayu dan India... Adakah ini semua harus dihapuskan atas alasan mereka mengekalkan kesedaran kaum dan tidak inklusif kepada kaum, bahasa, budaya dan tradisi kaum?



"Sudah tentunya tidak, kerana itu bukan yang dimaksudkan apabila kita berikrar menjadi 'satu rakyat, tidak kira kaum, bahasa atau agama'.



"Seorang warga Singapura bukan hanya kosmopolitan yang berpendidikan bahasa Inggeris.. tetapi warga itu juga selesa dalam bahasa Mandarin, Melayu, Tamil atau bahasa lain, atau yang mempunyai perspektif budaya dan pandangan yang berlainan," kata Encik Wong.



Falsafah unik kepelbagaian budaya ini merupakan asas kepada peraturan, undang-undang dan amalan di Singapura yang telah dibangunkan secara pragmatik, untuk memenuhi keadaan dan hakikatnya sendiri, ujar Encik Wong.



RUMUSAN



Merumuskan ucapannya, Encik Wong berkata pemerintah tidak akan goyah dalam komitmennya untuk memupuk keharmonian antara semua kaum dan memastikan warga Singapura menikmati peluang penuh dan adil dalam kehidupan mereka.



"Walaupun ada teman senegeri kita yang mempunyai kekurangan atau gagal memainkan peranan mereka.. marilah kita lihat mereka sebagai sesama warga yang perlu dibawa bersama, bukan musuh untuk diteriak atau 'dibatalkan'.



"Kita mesti ada sikap rendah hati untuk akur kepelbagaian kaum kita masih perlu terus diperbaiki, dan tekad untuk melindungi kepelbagaian ini.



"Kemudian langkah demi langkah, kita akan menghampiri ideal kita: "rakyat yang bersatu padu, tidak kira kaum, bahasa atau agama," ujar Encik Wong.




''Kami akan terus melihat bagaimana untuk memperkukuh kepelbagaian kaum di semua sekolah kami. Tetapi saya akan tanya mereka yang mengkritik sekolah SAP untuk pertimbangkan: adakah masyarakat kita akan berada dalam keadaan lebih baik jika standard bahasa tutur dan menulis vernakular merosot, dan budaya Cina, Melayu dan India, menjadi pudar? SAP bertujuan memastikan terdapat pelajar dwibahasa, seperti mana terdapat program di beberapa sekolah yang membolehkan pelajar untuk mendalami bahasa Melayu dan Tamil. Kita juga mempunyai Madrasah, media vernakular yang kukuh, serta pelbagai pertubuhan budaya Cina, Melayu dan India... Adakah ini semua harus dihapuskan atas alasan mereka mengekalkan kesedaran kaum dan tidak inklusif kepada kaum, bahasa, budaya dan tradisi kaum? Sudah tentunya tidak...''
- Menteri Kewangan Lawrence Wong mengenai kepelbagaian kaum.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >