Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah tekad pasti sistem S’pura bebas rasuah, salah laku: PM Lee

Pemerintah juga akan sesuaikan skim HDB agar terus dimampui; bantu warga emas kurang mampu bersara
Aug 08, 2023 | 07:02 PM



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata pemerintah bertekad untuk terus memastikan sistem Singapura bebas rasuah dan salah laku dan ini akan dilaksanakan dengan memelihara tahap kejujuran dan tatasusila tinggi.

Dalam Amanat Hari Kebangsaannya yang disampaikan pada Selasa, sehari sebelum Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, Encik Lee berkata ini merupakan langkah penting dalam mengukuhkan tahap keyakinan tinggi rakyat terhadap sistem negara.

Piawaian tinggi ini juga sesuatu yang bukan hanya diharapkan rakyat tetapi juga rakan kongsi antarabangsa Singapura lain, tambahnya.

Menurut Encik Lee, kewibawaan pemerintah Singapura dipersoal susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang melibatkan beberapa menteri dan Anggota Parlimen (AP).

Ini termasuk siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) terhadap Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, serta peletakan jawatan mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan mantan Anggota Aarlimen (AP), Cik Cheng Li Hui, yang mengadakan hubungan sulit.

“Isu seperti ini akan timbul dari masa ke semasa. Apabila ia berlaku, kami akan tangani sewajarnya dan dengan telus.

“Ini yang kami lakukan sebelum ini dan ini yang telah kami lakukan kali ini,” katanya.

Tambah Encik Lee: “Anda tidak perlu ragu, pemerintah bertekad memastikan sistem kita bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan salah laku.

“Kami akan kekalkan tahap kejujuran, kewibawaan, dan tatasusila tinggi yang diharapkan rakyat Singapura serta rakan kongsi antarabangsa.”

Hubungan warga Singapura dengan pemerintah perlu dipelihara dan diperkukuh kerana pencapaian negara sejauh ini bergantung kepada kerjasama rapat pemerintah dengan masyarakat, kata Encik Lee.

Kerjasama yang lebih baik juga dapat dicapai melalui kontrak sosial lebih kukuh yang menekankan peranan setiap warga terhadap masyarakat dan masa depan Singapura.

Ini yang diusahakan melalui inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG - diterajui Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong - dalam melakar wawasan yang diimpikan serta cara untuk merealisasikannya, tambah Encik Lee.

Dalam pada itu, Encik Lee turut menyentuh mengenai perumahan dan penuaan dan rancangan pemerintah untuk rakyat berhubung dua perkara ini, yang akan disampaikan dengan lebih lanjut di Rapat Hari Kebangsaan pada 20 Ogos nanti.

Encik Lee yang berucap dari estet perumahan SkyOasis@Dawson di Queenstown, menegaskan komitmen pemerintah memastikan kos perumahan kekal dimampui bagi semua warga Singapura.

“Dekad demi dekad, Pemerintah terus melabur sumber yang banyak demi memastikan flat-flat HDB mampu dimiliki, mudah diakses, dan bermutu tinggi bagi jutaan rakyat Singapura.

“Kami perlu membuat beberapa perubahan terhadap skim perumahan HDB kerana kami mahu perumahan awam terus dimampui semua rakyat Singapura, tidak kira gaji mereka. Kami juga ingin pastikan sistem yang adil dan inklusif buat semua. Dasar ini akan kami kekalkan buat generasi-generasi seterusnya. Ini jaminan kami,” kata Encik Lee.

Menambah, Encik Lee berkata sedang Singapura berusaha membina lebih banyak perumahan awam, tapak yang tersedia untuk membangunkan estet baru akan berkurangan.

Justeru, lebih banyak flat HDB baru akan dibina di estet matang seperti Dawson dan tanpa dasar yang diperbaharui, permintaan tinggi bagi flat-flat itu akan menyebabkan harga pelancaran serta jualan semulanya melonjak tinggi.

Selain memastikan flat HDB terus dimampui, ia juga perlu disesuaikan agar lebih mesra warga emas bagi menyediakan ruang untuk masyarakat yang semakin menua, kata Encik Lee.

Ini termasuk dengan memasang lebih banyak papan tanda supaya warga emas tidak tersesat jalan, membina lebih banyak tempat rehat dan zon mesra pejalan kaki serta memasang kelengkapan yang diperlukan di kediaman, ujar Encik Lee.

Menjelang 2030, satu dalam empat warga Singapura akan berusia 65 tahun ke atas.

Menyentuh mengenai kemampuan warga emas untuk bersara pula, Encik Lee berkata sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang telah dipertingkat secara bertahap bertujuan memastikan rakyat dapat menyimpan wang yang mencukupi semasa bekerja bagi tempoh persaraan.

Namun, beliau akur sebahagian pekerja yang kini berusia 50-an dan awal 60-an tahun masih belum mempunyai simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang mencukupi dan wajar dibantu dan beliau akan bercakap tentang perkara ini di Rapat Hari Kebangsaan.

Menurut Encik Lee, isu perumahan dan penuaan ini antara isu yang sedang diteliti oleh Encik Wong dan pasukan 4G, yang akan menggulung usaha Melakar Hala Tuju Singapura pada akhir tahun ini.

“Agenda Melakar Hala Tuju Singapura meliputi lebih banyak perkara: bagaimana kita boleh persiapkan rakyat dengan kemahiran untuk belajar dan berjaya sepanjang hayat; bagaimana kita boleh bantu golongan yang mudah terjejas dan bagaimana kita boleh perkukuh perpaduan serta komitmen kita sebagai satu negara,” kata Encik Lee.

“Saya yakin DPM Wong dan pasukannya mampu bekerja rapat dengan rakyat Singapura dan melakar hala tuju baru untuk kita.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >