Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tumpu pada pertumbuhan S’pura, perkukuh keharmonian: Presiden Halimah

Puan Halimah turut rakam penghargaan diberi penghormatan berkhidmat
sebagai Ketua Negara dalam mesej Hari Kebangsaan terakhirnya sebagai Presiden
Aug 07, 2023 | 04:15 PM



Sedang negara bersiap untuk menyambut Hari Kebangsaan pada Rabu, ia perlu memberi tumpuan terhadap usaha membina Singapura, mengukuhkan keharmoniannya dan merancang untuk masa depan bersama, kata Presiden Halimah Yacob dalam mesej Hari Kebangsaan terakhirnya pada Isnin.

Beliau menekankan daya tahan ekonomi, keharmonian serta inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore dalam mesej tersebut.


Katanya, kejayaan ekonomi Singapura bergantung kepada keupayaannya untuk kekal relevan dan menambah nilai kepada dunia.

Justeru, Singapura telah berusaha melakukan yang terbaik di sebalik hambatannya.

“Keupayaan kita untuk menambah nilai dan kekal relevan lebih penting sekarang dalam menghadapi cabaran yang tidak menentu daripada perubahan teknologi pesat, persaingan geopolitik, dasar fahaman perlindungan yang meningkat, inflasi dan kadar faedah yang tinggi.

“Kita perlu terus kekalkan dan tidak kehilangan kelebihan kita ini,” katanya.

Sedang Singapura mengambil langkah inovatif dan menjangkau lebih jauh, ia perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran supaya pekerjanya boleh meraih manfaat daripada pekerjaan baru dan lebih baik dalam sektor yang sedang tumbuh, tambahnya.

Puan Halimah turut menekankan pentingnya keharmonian yang merupakan teras kewujudan Singapura.

“Kemerdekaan kita adalah berasaskan visi untuk membina masyarakat makmur berbilang kaum dan agama. Hari Kebangsaan menyediakan kita satu wadah penting untuk meraikan kepelbagaian kita bersama,” katanya.

Singapura perlu melabur dalam aset tersebut dan ia perlu dipupuk dan tidak boleh diambil mudah, tambahnya, sambil menyatakan bahawa sikap perkauman dan tidak bertoleransi di dunia semakin meningkat.

Perasaan tidak selamat dan ketakutan yang meningkat berkaitan masa depan mereka telah mendorong ramai ke arah bermain politik identiti dan memaksa mereka mundur ke dalam enklaf sendiri, mengecilkan ruang bagi persefahaman dan kewujudan bersama yang lebih aman.

“Rusuhan kaum pada tahun-tahun awal mungkin tidak berlaku lagi namun masih banyak yang boleh dilakukan di peringkat kolektif dan individu bagi menolak segala bentuk prasangka dan stereotaip untuk mengukuhkan nilai masyarakat yang bersatu padu dan harmoni.

“Kita perlu menjangkau lebih jauh daripada sekadar perkara yang cetek dan peristiadatan untuk mengadakan perbualan jujur dan penuh hormat yang belum kita capai,” ujarnya.

Berbanding banyak negara lain, Singapura masih menikmati mobiliti sosial yang tinggi, namun kadar mobiliti ini semakin perlahan, kata Puan Halimah.

Beliau berkata ini sesuatu yang membimbangkan terutama sekali jika ia mengakibatkan jurang pendapatan dan kekayaan yang lebih besar, yang lama-kelamaan boleh mengurangkan perpaduan sosial Singapura.

“Pendidikan dan pekerjaan adalah dua tonggak utama dalam menangani ketidaksamaan dan usaha sedang dibuat untuk merapatkan jurang melalui pembaharuan sistem pendidikan dan memperbaiki mutu pekerjaan menerusi kemahiran lebih baik dan pendapatan lebih tinggi,” tambahnya.

“Meritokrasi berguna kepada semua dengan syarat kita terlebih dahulu mengakui kelemahan dan berusaha untuk memeriksa dan menghapuskan struktur yang mengekalkan ketidakseimbangan yang wujud kini.”

Puan Halimah turut menekankan inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai usaha kerjasama dan kolaboratif untuk melibatkan semua warga Singapura dalam membentuk masa depan mereka.


Beliau berkata ini merupakan wadah bagi rakyat Singapura berhimpun bersama, kerana cabaran yang dihadapi bukan hanya dalaman tetapi juga dari luar dan persekitaran yang semakin kompleks.

“Anda mempunyai peluang untuk memastikan suara anda didengar, dan membuat perubahan,” kata Puan Halimah.

Beliau menambah selama lebih 58 tahun, Singapura telah mengatasi cabaran dan mewujudkan negara yang luar biasa:

“Nenek moyang kita yang menghadiri NDP pertama di Padang tidak tahu apa yang akan berlaku di Singapura, namun mereka mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang kuat dan meletakkan kepercayaan terhadap warga Singapura untuk berdiri di belakang mereka,” katanya.

Untuk maju ke hadapan, warga Singapura perlu ketabahan, keyakinan dan sokongan yang sama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu kita, katanya.

Maklum bahawa ini merupakan mesej Hari Kebangsaan terakhirnya, Puan Halimah berkata beliau berbesar hati diberikan penghormatan untuk berkhidmat sebagai Presiden selama enam tahun.

Penggalnya sebagai Presiden bakal berakhir pada 13 September.

Katanya: “Saya khususnya sangat menghargai rakyat Singapura kerana memberi sokongan terhadap banyak usaha yang kita perjuangkan bersama, dan bersatu dalam usaha kita membina masyarakat yang lebih bersikap ihsan dan penyayang. Selamat Hari Kebangsaan!”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >