Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penduduk flat sewa lega meski di tengah pandemik

Kerjasama antara sektor swasta dengan badan-badan kemasyarakatan amat penting dalam melalui tempoh sukar bagi membantu golongan kurang berkemampuan. Kempen We Care @ North West Service Weeks 2021, Master Contract Services Pte Ltd sekali lagi bergabung tenaga bersama Majlis Pembangunan Masyarakat Barat Laut untuk menghulur bantuan kepada penduduk berpendapatan rendah di kawasan Chong Pang, membantu lebih 80 isi rumah sejak 2015. BERITA HARIAN melaporkan.
Feb 05, 2021 | 05:30 AM



Dapur gas dari CDC luaskan pintu rezeki peniaga HBB



SEJAK kebelakangan ini, ramai menjalankan perniagaan dari rumah.



Perniagaan sebegini merupakan antara cara untuk mereka yang terjejas meneruskan kehidupan bagi menampung perbelanjaan harian.



Bagi Cik Suzanna Zainal, 45 tahun, beliau terpaksa berhenti kerja di sebuah kedai makan setelah ia ditutup.



Memikirkan tanggungjawab yang harus dijalankan, beliau tidak patah semangat dan membuka perniagaannya sendiri dari rumah pada 2016 setelah hampir setahun tidak bekerja.



"Pada waktu itu, saya memutuskan untuk menjalankan perniagaan saya secara kecil-kecilan dahulu.



"Saya menawarkan set roti jala di laman Facebook saya dan, alhamdulillah, saya menerima respons baik. Sejak itu, saya mula menawarkan lebih banyak jenis makanan untuk tempahan.



"Saya juga melakukan jualan di laman Facebook tiga hari seminggu untuk sarapan dan makan malam."



Namun beliau menghadapi masalah dua tahun lalu apabila dapur gasnya rosak.



Cik Suzanna terpaksa menggunakan dua periuk nasi yang dihadiahkan ibu mentuanya untuk memasak lauk-pauk bagi perniagaannya.



"Dengan tiada dapur gas, periuk nasi inilah yang membolehkan saya meneruskan perniagaan," ujarnya.



Pada awal Januari, pihak Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Barat Laut menghubunginya tentang keperluan keluarganya.



Beliau menjelaskan tentang keperluan memiliki dapur gas untuk memasak dan bagi perniagaannya.



Harapannya dipenuhi.



Cik Suzanna merupakan antara penerima bantuan kempen WeCare @ North West 2021 di Chong Pang.



Kempen itu bertujuan membantu penduduk berpendapatan rendah di blok rumah sewa di kawasan barat laut.



Selain dapur gas, Cik Suzanna juga menerima pek bantuan mengandungi makanan dan keperluan asas seperti serbuk minuman, mi segera dan minyak masak.



Acara itu dihadiri tetamu terhormat, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.



"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diterima. Ini merupakan mata pencarian saya. Saya tidak dapat memasak dengan banyak tanpa dapur gas ini," katanya.



Dalam usaha menambah pendapatan, beliau turut menjalankan perniagaan pakaian di Facebook dipanggil Sz Apparels bersama suami dan kakaknya. Ia dimulakan pada Ogos tahun lalu.



Suaminya, Encik Mohammad Hisham Dol, 45 tahun, telah berhenti kerja di syarikat kawalan serangga untuk menjalankan perniagaan itu bersamanya.



"Saya bekerja keras dalam perniagaan saya demi keperluan keluarga," kata beliau yang juga menjaga keperluan ibunya.



Walaupun sibuk dengan dua perniagaan, Cik Suzanna sempat menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.



Bersama ahli keluarganya, beliau membantu penduduk berpendapatan rendah di kawasan Sembawang bermula April tahun lalu dengan memberikan barangan asas yang diperlukan.



"Walaupun tidak banyak yang diperolehi daripada perniagaan saya, jika kita berendah hati dengan niat yang betul, insya-Allah rezeki ada walau hanya $40 sehari," ujarnya.




Keperluan si cilik turut dapat perhatian



PERJALANAN hidupnya yang penuh berliku tidak mematahkan semangat Encik Abdul Razak Abden, 60 tahun, untuk meneruskan kehidupan.



Beliau pernah beberapa kali gagal dalam perniagaan yang dijalankan bersama rakan niaganya.



Sungguhpun begitu, beliau tidak berputus asa, malah cekal untuk terus bekerja demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa, walau pada umur di mana ramai yang seusianya sudah merancang untuk bersara.



"Alhamdulillah, saya tiada sebarang penyakit serius. Cuma kadangkala kaki berasa sakit kerana usia sudah tua," katanya.



Bapa kepada seorang bayi berusia lapan bulan itu kini bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat logistik setempat.



Namun begitu, kerana beliau bekerja sebagai pemandu kontrak, gajinya tidak menentu.



Jelasnya: "Kerana saya tidak bekerja sepenuh masa, ini bermakna jika saya tidak bekerja untuk satu hari, maka tiada gaji untuk hari itu."



Encik Abdul Razak juga berkongsi bahawa beliau membelanjakan sekitar $500 sebulan untuk membeli barang-barang keperluan anaknya seperti lampin dan susu formula.



Isterinya, Cik Suraini, ialah seorang suri rumah yang berasal dari Indonesia.



Pasangan itu berumah tangga pada 2019.



Apabila didatangi pihak pegawai Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), beliau menyatakan barang-barang penting yang diperlukan.



Encik Abdul Razak merupakan penduduk blok rumah sewa di Chong Pang yang menerima bantuan kempen WeCare @ North West 2021 pada Jumaat lalu.



Selain menerima pek bantuan berisi makanan asas, beliau juga menerima dua pek lampin pakai buang bayi serta dua tin susu formula bayi yang ditaja oleh Master Contract Services Pte Ltd, salah sebuah syarikat yang terlibat dalam kempen tahun ini.



Dengan hadiah tersebut, ia membantu Encik Abdul Razak mengurangkan kos perbelanjaan, terutama untuk barang keperluan anaknya.



"Saya amat berterima kasih kepada pihak CDC dan Master Contract Services kerana menolong saya. Dengan bantuan yang saya terima ini, saya dapat mengurangkan beban perbelanjaan untuk bulan ini," jelasnya.



Beliau kini berharap dapat bekerja sebagai seorang pemandu teksi selepas keadaan pandemik kembali pulih.



"Saya sangat berharap untuk mendapat pekerjaan baru, kerana saya ingin membaiki situasi kehidupan keluarga saya," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >