Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penerima habuan projek Reben Kuning niat beri sejadah kepada abang

Apr 10, 2022 | 05:30 AM



MELIHAT sejadah yang diberi sebahagian hamper Hadiah Ramadan yang diterimanya semalam, hati Cik Siti (bukan nama sebenar) tergerak menghadiahkannya kepada abang beliau apabila dia keluar dari penjara Julai nanti.



Abangnya itu sedang menjalani hukuman penjara buat kali kedua atas kesalahan berkaitan dadah.



Semalam, Cik Siti yang ditemani ibunya, merupakan antara keluarga di bawah Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) yang hadir di Masjid An-Nur untuk menerima hamper Hadiah Ramadan.



YRCP ialah inisiatif yang diterajui akar umbi di mana sukarelawan terlatih melawat keluarga pesalah untuk menawarkan sokongan sosial dan bantuan untuk membantu mengurangkan beban mereka.



Berkongsi dengan Berita Minggu, Cik Siti berkata, kali pertama sukarelawan YRCP mengunjungi keluarganya untuk memberi sokongan, beliau terharu kerana dapat merasakan abangnya itu benar-benar mahu berubah.



Menyentuh tentang hamper yang diterimanya itu, beliau berkata:



"Memang adanya barang-barang dapur ini alhamdulillah, buat tambahan di rumah."



Hamper itu ditaja oleh Pos TKI Pte Ltd dan mengandungi barang makanan seperti kurma, teh dan bijirin, keperluan solat seperti sejadah dan telekung serta pek penjagaan termasuk pelitup dan suplemen Vitamin C.



Pengagihan hamper kepada sekitar 50 keluarga YRCP itu merupakan kali pertama inisiatif sedemikian dijalankan di GRC Marsiling-Yew Tee sempena Ramadan.



"Selain merujuk mereka kepada bantuan kewangan dan sokongan keagamaan, kami harap untuk terus mendekati keluarga-keluarga ini untuk menjadi sebahagian program kami agar mereka yakin akan sokongan holistik yang disediakan M³," kata anggota M³@Marsiling-Yew Tee dan Ketua Kawasan Tumpuan 2 M³ - Sokongan bagi Keluarga Terdedah, Encik Abdul Wahab Ahmad.



Hadir di Masjid An-Nur yang terletak di Woodlands untuk pengagihan hamper semalam ialah penasihat akar umbi GRO GRC Marsiling-Yew Tee, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor North West CDC, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh.



Ditemui selepas acara pengagihan tersebut, Encik Zaqy berkata, selain membantu pesalah, adalah penting untuk mendekati dan memberi sokongan kepada keluarga-keluarga mereka juga.



"Alhamdulillah, dengan kerjasama M³, kita dapat turun padang melihat keperluan mereka...dan bagaimana kita dapat membantu mereka melalui program-program yang dijalankan.



"Amat penting dalam bulan Ramadan kita terus membantu mereka dan menggunakan ini sebagai 'touchpoint' untuk memberi mereka sokongan moral juga...agar mereka tahu bahawa kita sebagai satu masyarakat sentiasa bersama mereka," ujar Encik Zaqy.



Turut hadir di acara semalam ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pos TKI, Encik Anwar Tahar, yang berkata ini merupakan peluang bagi mereka memberi balik kepada masyarakat sempena bulan puasa.



"Bagi kami, jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak, kita akan cuba membantu.



"Kali ini, terdapat permintaan daripada M³, jadi mengapa tidak kami pun sama-sama membantu keluarga-keluarga pesalah di bawah YRCP," kata beliau.



Sementara itu, turut memberikan sepatah dua kepada keluarga yang hadir, Encik Wong memberi keyakinan kepada mereka bahawa sokongan dan bantuan akan selalu tersedia.



"Semua dalam masyarakat sedang bekerjasama untuk membantu anda semua, dan komitmen kami kepada anda adalah kita semua ada di sini untuk mengharungi perjalanan ini bersama dan membantu anda dan keluarga, tidak kira apa cabarannya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >