Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengantin dibawa ke hospital dek penyakit autoimun jarang berlaku

Jun 26, 2023 | 03:30 PM



Majlis perkahwinannya merupakan salah satu hari paling bahagia dalam hidupnya.

Namun majlis itu juga berakhir dengan Cik Nurul Jannah Mohd Nasri, pengantin perempuan yang berusia 25 tahun, terpaksa dibawa ke hospital dan terlepas lawatan berbulan madu yang dirancang selama seminggu di Korea Selatan.

Menurut laporan The Straits Times (ST), seminggu sebelum hari perkahwinannya pada Mac, guru prasekolah itu mengalami apa yang beliau anggap sebagai migrain biasa yang menjejas belakang mata kirinya.


Namun, beliau mula risau apabila penglihatannya menjadi kabur dan apa yang kelihatan seperti garis piksel kelabu muncul di tengah-tengah penglihatannya.

Cik Jannah tidak memperdulikan hal itu dan ia hilang selepas beberapa ketika.

Selepas meraikan majlis perkahwinannya bersama keluarga dan rakan-rakan, Cik Jannah mendapati penglihatan di mata kirinya semakin teruk dan kepalanya tidak berhenti berdenyut.

Ketika kembali ke hotel bersama suaminya untuk berehat, beliau memberitahunya tentang keadaannya yang tidak sihat.

Cik Jannah berkata: “Saya mula bimbang bahawa saya tidak akan dapat terbang keesokan harinya untuk berbulan madu jika saya masih tidak sihat. Suami menggesa saya berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat.”

Ibu bapanya kemudian menghantarnya ke unit kecemasan di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Pakar mata datang untuk memeriksa dan cuba mengenal pasti isu yang beliau alami.

Mereka memberitahunya bahawa beliau mengalami keradangan saraf optik yang boleh menyebabkan penglihatan kabur dan terpaksa dimasukkan ke hospital dengan segera kerana gejalanya boleh menjadi lebih teruk.

Cik Jannah berkata: “Saya rasa bersalah terhadap suami saya, terutamanya kerana kami benar-benar mahu pergi berbulan madu.

“Kami sudah mengumpul wang dan membuat perancangan teliti untuk bulan madu ini. Saya meminta maaf berkali-kali kepada suami dan dia memujuk bahawa kesihatan saya lebih utama.”

Cik Jannah menjalani pelbagai ujian, termasuk imbasan CT, MRI, tusukan lumbar dan ujian darah, untuk mengesahkan punca keradangan itu.

Seorang pakar neurologi kemudian memberitahunya bahawa beliau mungkin menghidap penyakit berkaitan antibodi ‘Myelin Oligodendrocyte Glycoprotein’, atau penyakit antibodi MOG.

Penyakit antibodi MOG adalah penyakit autoimun, keradangan yang dikenal pasti baru-baru ini yang menyasarkan sistem saraf pusat.

Semasa serangan, keradangan menyasarkan terutamanya saraf optik, saraf tunjang dan/atau otak, kata perunding kanan bahagian neurologi NUH, Dr Amy Quek.

Bergantung pada bahagian yang disasarkan, mereka yang menghidap penyakit ini boleh mengalami gejala yang berbeza.

Mereka yang mengalami neuritis optik, seperti Cik Jannah, mungkin mengalami kekaburan atau kehilangan penglihatan, manakala keradangan saraf tunjang boleh mengakibatkan kelemahan anggota, kebas dan gangguan dalam fungsi kencing atau usus.

Dr Quek berkata otak yang terjejas boleh mengakibatkan gejala seperti kekeliruan, sakit kepala, muntah, masalah pertuturan, lemah dan sawan.

Kadar kejadian penyakit itu tidak diketahui kerana ia adalah gangguan neurologi yang agak luar biasa dan baru dikenal pasti, katanya kepada ST.

Tiada ubat untuk penyakit ini, tetapi rawatan untuk menguruskan keadaan sudah tersedia. Buat masa ini, Cik Jannah mengambil ubat setiap hari untuk mengurangkan gejalanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >