Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengarah Eksekutif, Pusat Penyakit Berjangkit Nasional:

Covid-19 kian berlalu tapi tugas tangani virus baru pada masa depan giat dapat tumpuan

May 01, 2023 | 05:30 AM



WALAUPUN pandemik Covid-19 kian berlalu, kerja menyekat virus tersebut serta kemunculan pandemik baru pada masa depan kekal berterusan, kata Profesor Leo Yee Sin, Pengarah Eksekutif, Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID) pada Ahad.



Sementara kajian menunjukkan bahawa varian Covid-19 terkini memberi kesan lebih ringan kepada pesakit secara klinikal, "tiada pakar di dunia yang dapat menjamin dengan sepenuhnya bagaimana ia akan berubah pada masa depan".



Lantaran itu, Singapura harus kekal bersedia menangani wabak dengan mengamalkan tanggungjawab sosial serta mendapatkan vaksin terkini terutamanya bagi golongan yang lebih terdedah.



Profesor Leo berkata Singapura telah memberi respons yang baik terhadap Covid-19, di mana "jika ia tidak mempunyai sebuah NCID, ia masih akan dapat melangkah keluar dari pandemik disebabkan rakyatnya yang bertanggungjawab".



Profesor Leo menyatakan demikian dalam satu sesi perbincangan dengan penduduk di Kelab Masyarakat (CC) Bukit Panjang pagi Ahad.



Sesi perbincangan itu adalah sebahagian segmen majlis penyampaian pingat khas dari Persatuan Rakyat (PA) Bukit Panjang CC kepada lebih 370 relawan dan pemimpin akar umbi yang telah menyumbang kepada usaha menangani pandemik Covid-19 di peringkat masyarakat.



Vaksinasi, tanggungjawab sosial perlu kekal meski pascapandemik



Para relawan yang diiktiraf antara lain telah membantu dalam usaha negara menangani pandemik.



Ini termasuk mengagihkan pelitup muka dan pensanitasi tangan, membantu para penduduk yang kehilangan kerja mendapatkan bantuan dari pemerintah serta menggalak orang ramai mengambil vaksin.



Professor Yeo berkata pandemik Covid-19 telah menunjukkan bagaimana virus telah menjejas setiap individu dari semua lapisan masyarakat dan ia tidak terhad kepada kakitangan kesihatan sahaja.



Justeru, beliau berharap usaha menangani pandemik dari setiap sudut masyarakat dapat dikekalkan.



"Ia adalah satu peringatan besar kepada kita, bahawa kita hidup sebagai satu masyarakat. Setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan dan kemaslahatan satu sama lain," tambahnya,



Dalam sesi itu, ketika ditanya oleh Anggota Parlimen (SMC Bukit Panjang) Encik Liang Eng Hwa - selaku hos sesi perbincangan itu - mengenai bagaimana Singapura dapat menangani pandemik jika tiadanya NCID, Professor Yeo berkata:



"Kami masih dapat melangkah keluar (dari pandemik), sebab (di sebalik NCID adalah) rakyat kita. Rakyat kita sendiri yang dapat berpadu dan menjadikan setiap huraian menjadi satu kenyataan."



Menyentuh tentang latar belakang virus Covid-19, Professor Yeo, yang telah menerajui pasukannya dalam menangani pelbagai wabak termasuk Sars pada 2003, berkata terdapat kekurangan dari segi kajian yang dilakukan terhadap penyakit jenis koronavirus, yang berasal dari haiwan.



Beliau berkata penyakit jenis koronavirus yang berkongsi ciri-ciri seperti flu biasa, telah wujud di dunia sejak abad-abad yang lalu.



"Tetapi, tidak seperti Sars, di mana simptom yang dialami pesakit agak jelas, mereka yang menghidap penyakit jenis koronavirus ini mungkin menunjukkan simptom ringan atau tidak menunjukkan sebarang simptom langsung. Kemudian, kajian menunjukkan mereka yang tidak menghidap simptom pun boleh menyebarkan jangkitan," katanya.



"Pendek kata, kami (pakar sedunia) seolah tidak meraih apa-apa pengajaran sepanjang kejadian dari Sars," tambahnya.



Oleh itu, apabila seluruh dunia menerima hakikat bahawa Covid-19 berupaya merebak secara diam, Professor Yeo berkata terdapat dua huraian membolehkan masyarakat melindungi diri mereka.



Pertama adalah melindungi diri dari sudut individu, dan kedua adalah dengan mempengaruhi seluruh masyarakat mengamalkan sikap tanggungjawab agar dapat melindungi satu sama lain.



Itu termasuk menerapkan langkah sekatan pergerakan, pemakaian pelitup, jarak sosial dan vaksinasi.



Namun, menurutnya, dunia tidak terkecuali dari jenis virus baru yang berupaya mengancam sistem kesihatan negara. Gelombang jangkitan dari virus-virus dan endemik tertentu - seperti denggi misalnya - akan sentiasa naik turun sepanjang tahun.



"Jadi yang penting adalah pertama, seluruh masyarakat perlu dididik dengan pengetahuan ini agar mereka sentiasa bersedia menangani keadaan sebegini. Kedua adalah menerusi sudut sekitaran, bagaimana untuk membina sebuah sekitaran yang dapat menyekat penularan dengan sendirinya.



"Dan untuk mencapai matlamat ini, kami harus bekerjasama dan menyelaras usaha ini dengan seluruh masyarakat," kata Professor Yeo lagi.




 "Ia adalah satu peringatan besar kepada kita, bahawa kita hidup sebagai satu masyarakat. Setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan dan kemaslahatan satu sama lain... Kami masih dapat melangkah keluar (dari pandemik), sebab (di sebalik NCID adalah) rakyat kita. Rakyat kita sendiri yang dapat berpadu dan menjadikan setiap huraian menjadi satu kenyataan."



- Profesor Leo Yee Sin, Pengarah Eksekutif, Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >