Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengaruh datuk jadi motivasi dapatkan kenderaan klasik sendiri

Jun 19, 2023 | 05:30 AM



Ketika usianya masih kecil, beliau sering melihat datuknya gigih memperbaiki motosikal-motosikal klasik kesayangan dan menjaganya dengan baik hampir setiap hari.

Maka tidak hairanlah apabila pengaruh datuknya itu telah memutik minat Encik Juffrie Juma’at dalam kenderaan klasik.

Seperti kata pepatah ‘ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’.

Bahkan, datuk beliaulah yang telah membantu Encik Juffrie Juma’at mendapatkan van klasik pertamanya, iaitu Volkswagen (VW) Vanagon T3 – satu-satunya model kenderaan ini yang ada di Singapura sekarang.

“Datuk saya merupakan seorang yang gemar mengumpul motosikal klasik.

“Saya mula tertarik dan menghargai kenderaan klasik setelah melihat bagaimana datuk saya menjaga koleksi motosikalnya.

“Beliau benar-benar menjaga semua motosikalnya itu dengan baik dan hampir setiap hari akan melakukan kerja pembaikan terhadap koleksi motosikalnya.

“Apabila saya mendapat lesen motosikal saya, beliaulah yang memberikan saya salah satu motosikalnya dan kami berdua akan keluar menunggang bersama-sama,” kata Encik Juffrie.

Pengarah komersial berusia 34 tahun itu merupakan seorang yang gemar mengembara dan meminati sukan lasak seperti bermain papan gelongsor, ‘motorcross’ atau lumba kereta lasak selain luncur air.

Justeru, beliau telah menetapkan hatinya untuk mendapatkan kenderaan praktikal bagi kegunaan hariannya dan paling penting sesuai dengan gaya hidupnya.

Hatinya terpaut pada sebuah van klasik selepas melihatnya di portal menjual beli kenderaan, sgCarMart sekitar 2022.

Yang menjadikannya lebih unik dan menarik adalah ia merupakan satu-satunya model VW Vanagon T3, yang masih lagi dipandu di negara ini.

“Biasanya saya akan saja-saja lungsuri sgCarMart untuk melihat apakah kenderaan klasik yang terdapat di pasaran.

“Saya tidak teragak-agak menghubungi pemilik yang ingin melepaskan VW Vanagon T3 itu dan beliau sanggup menjualnya kepada saya dengan harga yang menepati bajet saya, sekitar $40,000,” kongsinya.

Namun, Encik Juffrie tidak dapat periksa kereta itu secara fizikal kerana berada di luar negara ketika.

Oleh itu, beliau telah menghubungi individu yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang kenderaan klasik iaitu datuknya sendiri.

“Beliaulah yang telah membantu saya melihat keadaan serta menguji pandu van itu dan telah memberi saya lampu hijau untuk membelinya,” seloroh beliau.

Mujur bagi Encik Juffrie, keadaan enjin kenderaan yang berusia lebih 40 tahun itu masih lagi baik dan tidak perlu melakukan sebarang kerja baik pulih yang besar.

Namun begitu, beliau berasa keadaan luaran serta dalamannya kelihatan usang dan perlu menjalani pengubahsuaian yang ketara.

Beliau telah membelanjakan lebih $10,000 bagi memulihkan kenderaan itu menjadi lebih cantik dan selesa.

Antara bahagian yang ditukarnya termasuk memberi warna baru kepada van tersebut, menukar tayar yang lebih tahan lasak, fabrik kerusi dan bahagian dalaman kenderaan, lantai dalaman serta wayar dan elektrikal van itu.

“Saya terpesona dengan budaya ‘camper van’ yang ada di seluruh dunia dan itulah sebabnya saya memutuskan untuk mereka bentuk van ini supaya saya boleh membawanya untuk perjalanan pengembaraan merentasi sempadan.

“Itulah yang telah saya lakukan selang beberapa minggu selepas memiliki van ini.

“Perlahan-lahan saya akan menguji sama ada ia dapat bertahan perjalanan yang jauh dan lama ke Malaysia, sambil membuat pengubahsuaian yang diperlukan,” tambahnya yang juga memiliki sebuah lagi kenderaan Land Rover Defender.

Encik Juffrie akur minat dan hobi ini bukanlah murah, namun bagi beliau, kepuasan yang dirasakan apabila memandu kenderaan klasik itu tidak dapat dibandingkan.

“Memang seronok, dan saya berharap dapat mencipta lebih banyak kenangan indah dengan van saya ini dan saya juga ingin turut mengajak rakan-rakan sebaya untuk bersama menghidupkan semula minat terhadap kereta-kereta lama,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >