Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penggiat tarian tradisional India, penasihat teater terima Pingat Budaya

Dec 06, 2022 | 05:30 AM



KAEDAH baru dan inovatif dalam menyajikan persembahan tarian tradisional India sering difikirkan pengarah artistik Encik Aravinth Kumarasamy.



Lebih 35 kerja seni asli pula sudah dipentaskan yang menampakkan kerencaman dan betapa dalamnya kemahiran dan ilmu seninya.



Di bawah kepimpinannya, syarikat seni Apsaras Arts telah menjelajah ke lebih 40 negara bagi kerjasama antarabangsa dan pesta seni, lantas menempatkan tarian India di Singapura di mata dunia.



Atas kegigihan dan sumbangannya itu, Encik Aravinth, 56 tahun, disampaikan dengan Pingat Budaya yang ditadbir Majlis Seni Kebangsaan (NAC) di Istana semalam.



Selain beliau, penggiat teater, penulis naskhah pentas dan penasihat drama atau 'dramaturg' veteran, Encik Kok Heng Leun, yang juga pengarah artistik Drama Box, 56 tahun, turut menerima Pingat Budaya daripada Presiden Halimah Yacob.



Pingat Budaya yang diperkenal pada 1979 mengiktiraf kecemerlangan seni dan sumbangan pada semarak ekosistem seni Singapura serta kedudukan negara ini dalam pentas seni global.



Mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah ini, Puan Halimah berkata pertumbuhan berterusan ekosistem seniman setempat amat menggembirakan dan mencerminkan kepentingan seni dalam cara hidup warga Singapura.



"Kita tidak sabar meraikan warisan berkekalan penerima anugerah tahun ini dan berharap pencapaian mereka akan memberi inspirasi kepada masyarakat dan generasi mendatang yang lebih meluas dalam terus memperkaya persada seni kita," kata Puan Halimah.



Encik Aravinth, yang pernah diundang institusi pengasas tarian di India, Yayasan Kalakshetra, untuk membimbing jurutari dan mengarah persembahan tarian tahunan Lingalayam Dance Company di Sydney, Australia, berkata:



"Tarian India adalah bentuk seni bercerita. Kita menyampaikan kisah kemanusiaan. Kita bercerita tentang kehidupan silam dan masa kini serta cuba meninjau masa depan.



"Kami mahu penonton berhubung dan menghargai penceritaan tentang manusia ini dan mudah-mudahan meraih inspirasi daripada kisah ini.



"Sebagai pemelihara budaya dan warisan, kami berharap dapat mengalihkan khazanah masa lalu kami kepada generasi mendatang."



Kerja seni Encik Kok pula sering berlegar di sekitar isu sekitaran, berbilang bahasa, ruang dan peranan seniman dalam masyarakat.



Beliau adalah pengarah bersama teater dengan penyerapan emosi, Ubin, yang menyelongkar kisah di sebalik Pulau Ubin untuk Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa).



Misinya adalah mewujudkan ruang terbuka bagi dialog dan keberanian memperbaiki, masuk campur dan refleksi tentang isu sekeliling berbekal imaginasi dan harapan.



"Seni kemasyarakatan dan amalan keterlibatan sosial sering kali dilihat sebagai instrumental, di mana kelebihan estetik dan artistiknya kebiasaannya tidak dibicarakan dan dibincangkan.



"Saya harap dengan anugerah ini, saya dapat membuka sembang kritikal tentang amalan seni sebegini," jelasnya, yang pernah menerima Anugerah Seniman Muda pada 2000.



Setiap penerima Pingat Budaya diberi akses memanfaatkan hingga $80,000 daripada Dana Pingat Budaya bagi mengendalikan projek atau inisiatif memajukan seni di Singapura.



Semalam, empat penggiat seni berusia 35 tahun ke bawah turut disampaikan dengan Anugerah Seniman Muda oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.



Mereka terdiri daripada pereka bunyi, Cik Guo Ningru, 35 tahun; seniman visual, Encik Ho Rui An, 32 tahun; pembikin filem animasi, Encik Jerrold Chong, 31 tahun; dan peniup seruling Encik Rit Xu, 33 tahun.



Kata Encik Chong:



"Saya percaya animasi mempunyai kuasa ajaib yang unik untuk menyampaikan cerita yang merentasi batas realiti serta mencabar penonton untuk melihat sesetengah perkara daripada perspektif berbeza."



Mereka diberi geran $20,000 bagi memburu ilmu seni atau memperkasa pembangunan seni mereka dalam tempoh dua tahun selepas menerima anugerah itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >